CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, August 29, 2007

CABARAN KARTUNIS WANITA.


*kartunis Cabai.


*Kartunis Rosmah Hanim


*Kartunis LeenMafia


*Kartunis Mona


*Kartunis Sarah








Kartunis humor wanita yang sensasi, Cabai atau nama sebenarnya Sabariah Jais, bukan calang-calang kartunis humor.Beliau mula berkarya pada tahun 1988 sehingga hari ini, ibu kepada tiga orang anak ini telah menempuh pelbagai kejayaan dan kecemerlangan dalam kerjaya kartunis humor. Kartunis Cabai telah melakar sejarah menjadi kartunis humor wanita pertama di negara ini dan mempunyai karektor kartun yang tersendiri dan watak-watak kartun humornya dikenali oleh peminat. karya popular beliau yang turut dijadikan telemovie ialah 'Tiga Dara Pingitan'. Kini selepas hampir 30 tahun, perjuangan majalah humor seperti ini di pasaran kian tenggelam. Begitu juga dengan pelukis-pelukis kartun wanita.

Tidak ramai pelukis kartun wanita yang berani menongkah arus berjuang bersama-sama majalah humor sedangkan yang sedia ada sudah pun berusia.

Berbalik kepada kerjaya sebagai kartunis humor wanita yang dikatakan semakin kurang dipelopori oleh para remaja wanita hari ini, kartunis Cabai berkata, faktor utama yang menyebabkan bidang ini kurang diminati ialah bidang ini tidak pernah ditonjolkan sebagai satu kerjaya yang menarik.``Mereka melihat kerjaya ini bukan sebagai bidang untuk mencari sumber rezeki, sedangkan ramai di kalangan kartunis humor di luar negara yang dapat pendapatan lebih hanya sebagai kartunis humor,'' katanya.

Manakala Rosmah Hanim pula berpendapat, kekurangan kartunis wanita mungkin diakibatkan pekerjaan ini dimonopoli oleh golongan lelaki. Keadaan berkurangnya kartunis wanita juga mungkin akibat dipengaruhi oleh keadaan senario majalah humor di negara ini dan mereka mungkin beralih kerjaya ke bidang yang lebih bagus dari segi pendapatan.``Untuk menjadi kartunis perlu ada bakat dan minat. Setakat ini kita tidak ada pendatang baru dalam dunia kartunis humor. Kartunis wanita memang sedikit pada masa dahulu dan sekarang makin hilang.
``Sebenarnya saya bimbang dengan ketiadaan kartunis humor wanita atau pelapis mereka. Kartunis lelaki sebenarnya ramai, malah mereka bekerja secara `part time','' katanya.

kartunis Ida atau nama sebenarnya Norhasida Che Basa @ Othman, berkata, untuk menjadi seorang kartunis humor wanita, mesti mempunyai minat dan azam yang kuat.
Untuk mendapatkan idea lakaran dan cerita, selalunya kartunis akan membayangkan dahulu bentuk dan jalan cerita, memandangkan bukan mudah untuk membuat orang ketawa.
``Adakalanya saya akan ketawa atau tersenyum sendirian sebelum menghasilkan lakaran,'' katanya yang menjadikan Cabai sebagai idola kartunis beliau.
Ibu kepada tiga orang anak ini juga berkata, ramai yang beranggapan seorang kartunis sentiasa hidup dalam happy go-lucky dan seorang yang kelakar.Tapi pada hakikatnya seorang kartunis ialah seorang yang pendiam, tidak banyak cakap dan suka menyendiri.

Sementara itu, Mona Ibrahim, yang terkenal dengan watak Monalisa berminat dengan lukisan kartun sejak dari kecil. Memasuki Creative Enterprise pada tahun 1998, bercita-cita untuk membuka galeri kartunis wanita pada masa akan datang.
``Saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah galeri kartunis untuk wanita yang bertujuan untuk meningkat dan menaikkan taraf kartunis wanita di samping menonjolkan golongan ini.
``Selain itu saya mahu kerjaya ini dijadikan sebagai bidang yang sesuai dan menarik untuk wanita agar lebih ramai golongan wanita yang menjadi kartunis humor,'' katanya.
Kebanyakan idea untuk berkarya beliau peroleh daripada pengamatan semasa dan pergaulan seharian.
Beliau mengakui, biarpun penglibatan kartunis wanita semakin malap , sekiranya kerjaya ini ditonjolkan dengan baik, ia pasti menjadi satu tarikan kepada golongan remaja yang meminati hasil seni.

(Sumber: Akhbar Utusan.)

0 comments: