CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, June 25, 2009

ANIMASI MAT KACAU




Animasi Mat Kacau Muncul mulai November sebanyak 26 episod dalam bentuk animasi 2D.
DARIPADA hanya watak sampingan dalam program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing, Mat Kacau muncul antara karakter paling dikenali di saluran Astro Ceria. Peranannya untuk mengganggu atau mengacau peserta dalam rancangan popular kendalian Abang Zoey itu akhirnya meletakkan Mat Kacau sebagai karakter yang dominan dan diminati. Justeru, tidak menghairankan apabila tiba-tiba Astro Ceria mengumumkan pembikinan sebuah siri animasi berdasarkan karakter yang sentiasa muncul dengan seragam berbelang-belang berkenaan. Melihat kepada populariti watak Mat Kacau, di mana saja kemunculannya, tentunya penghasilan program animasi terbabit keputusan paling tepat diambil stesen televisyen berbayar itu.

Sejarah buat Astro

Jika diimbas kembali ke sekitar tahun 1995 hingga 1996, Astro telah memperuntukkan untuk melabur mendapatkan siri animasi Lat The Kampung Boy dan selepas 13 tahun, Astro sekali lagi melabur untuk yang terbaru, siri animasi Mat Kacau.

"Kami (pihak Astro) melihat animasi merupakan satu lagi cabang seni dan ia termasuk dalam peruntukan tahunan RM300 juta yang dirancang untuk rancangan-rancangan hiburan di Astro.
"Untuk siri animasi terbaru, kami rasa berbangga kerana Mat Kacau menjadi titik mula fasa terbaru di Astro. Apa yang akan kita saksikan di sini ialah kegiatan Mat Kacau mengganggu dan membuli rakan-rakannya.
"Kita merancang tayangannya pada akhir tahun ini bagaimanapun proses menghasilkan animasi tersebut memakan masa yang panjang dan rumit. Apapun, kita harapkan Mat Kacau mampu menjadi produk yang berjaya di Astro," katanya.
Untuk permulaan, siri animasi Mat Kacau bakal bersiaran selama 26 episod dan setiap episod, siri tanpa dialog yang diusahakan pembikinannya bersama syarikat multimedia, Inspedia.


Kenali watak-watak dalam animasi Mat Kacau:

Dina
Seorang individu yang suka menolong rakan-rakannya ketika kesusahan. Dia adalah ketua darjah di dalam kelasnya.

Boboy
Fizikalnya yang buncit menyerlahkan lagi bahawa dia seorang yang kuat makan. Dia juga kebal daripada dikacau oleh Mat Kacau.

Judy
Wanita yang menjadikan sukan sebagai hobi utamanya.

Amber
Keayuannya menjadikan Amber sangat digemari oleh sesiapa saja. Merah jambu adalah warna kegemarannya.

Van
Seorang budak lelaki yang tidak pernah lekang daripada permainan komputer. Dalam ramai-ramai, dia selalu memiliki gajet berteknologi paling terkini.

Miss Agnes
Watak guru kepada kanak-kanak di dalam animasi Mat Kacau.

Auntie Lim
Seorang yang garang dan ditakuti. Sudah tentu, kerana dia adalah pengetua sekolah.

Omar
Watak lelaki dewasa yang sering berada di samping kanak-kanak ini.


sumber :
Akhbar tempatan

Sunday, June 21, 2009

GAYOUR KARTUNIS ROCK!

MAZLI IBRAHIM (GAYOUR)

KARTUNNYA bersahaja, namun mesej di sebaliknya pernah menginsafkan peminat lelaki ini mengenai hakikat hubungan manusia di dunia ini.
Malah, karyanya pada lewat 1990-an seperti Bersama Selamanya dalam majalah Ujang menjadi satu fenomena bagi golongan remaja.
Menongkah arus dengan menggunakan karakter-karakter yang menggemari irama rock, berambut panjang serta elemen motosikal dan gitar elektrik, namanya kini sebaris pelukis-pelukis komik ternama di Malaysia.

Bagi peminat Mazli Ibrahim, 43, atau lebih dikenali sebagai Gayour, karyanya sepanjang 25 tahun lalu pasti melekap kuat di hati mereka.
“Saya cuba ketengahkan karakter tersebut kerana mahu masyarakat tahu bahawa golongan rocker juga mampu bercakap tentang apa saja. Muzik, politik, kasih sayang, persahabatan malah tentang dunia,” katanya.
Masih tegar mengekalkan imej berjaket kulit dan berambut panjang, Gayour menjelaskan bukan mudah untuknya bertapak dalam bidang pengkaryaan kartun sementelah dirinya tiada asas melukis.

“Cuma minat melukis kartun saya sangat ketara. Daripada langsung tidak mengenali jenis pen dan kertas yang betul untuk melukis, saya merangkak mencari ilmu hinggalah sekarang,” jelas anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan ini.
Memulakan perjalanan sebagai pelukis kartun pada tahun 1998, hasil tangan Gayour tidak pernah mengecewakan peminatnya.
Bukan tidak mahu menggunakan teknologi komputer bagi menghasilkan kartun namun ia tidak menjelmakan kepuasan hakiki.
“Ia memang remeh dan memenatkan kerana menggunakan kekuatan tangan. Tapi bagi saya, itu saja caranya untuk kita dekat dengan karya kita,” kata beliau.
MENURUT Gayour, banyak aspek perlu diambil kira sebelum sesuatu karakter kartun diwujudkan.

Belek saja karyanya seperti kartun satu muka surat berwarna, Slash dan Love Story serta pelbagai lagi kartun satu muka surat hitam putih sama ada yang berdialog atau tidak, semuanya mempunyai impak tersendiri.
“Ia tidak semudah yang dilihat dan dibaca peminat. Banyak kajian perlu dilakukan sebelum sesuatu karakter itu diwujudkan.
“Malah, untuk melukis aksi bermain gitar, drum serta alat muzik lain pun perlu ada rujukan agar gambar yang dilukis tepat,” ujarnya.
Peminat rock metal

Sebenarnya, kejayaan yang dikecapi Gayour sekarang ada kaitan dengan era kebangkitan lagu rock metal pada lewat 1970-an.
Mengambil peluang sementelah dirinya juga peminat tegar genre rock metal, Gayour memberitahu cara tersebut memudahkannya ‘membeli’ jiwa penggemar kartun.
“Saya bermula tanpa identiti yang khusus. Apabila berada di zaman ramai orang menggemari seluar ketat, jaket kulit serta kegilaan terhadap kumpulan Deep Purple, Metalica serta Scorpion, apa salahnya saya ambil kesempatan itu.

“Dan hasilnya sudah terbukti. Saya berjaya mempotretkan kehidupan penggemar rock metal dengan mesej persahabatan,” katanya sambil membetulkan rambut kerintingnya.
Rambut kerinting yang melepasi bahu itu disimpannya sejak tamat persekolahan menengah. Kali terakhir beliau menggunting rambut ialah pada tahun 1998.
Tambah Gayour, siapa tidak suka kartun yang selamba, menyeronokkan serta kena dengan kehidupan mereka setiap hari. Justeru, resipi ‘ini adalah karakter kita’ menjadikan kartunnya digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Menyentuh mengenai keakraban dirinya dengan dunia kartun rock metal, Gayour tergelak panjang. “Dari dulu hinggalah kini, inilah imej saya. Alasannya cukup mudah. Kalau dulu orang mengenali saya sebegini, dengan rambut panjang, jaket serta keselambaan saya, sekarang pun, inilah saya,” ujarnya tenang.
sumber : akhbar kosmo (Oleh SHANIKA ABDULLATIB--shanika.abdullatib@ kosmo.com.my)