CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 30, 2009

LAGENDA ZOY !

Sejak berusia 15 tahun, Zoy yang cukup meminati karya kartunis Lat, Halim Teh dan Raja Hamzah mengasah bakat melukis lalu menghasilkan komik. Yakin dengan kemampuan diri serta semangat mahu meneroka industri kreatif, Zoy membawa naskhah komiknya itu ke Kuala Lumpur untuk diterbitkan.

Pendedahan di Kuala Lumpur menajamkan lagi bakat Zoy. Sebagai kartunis baru, Zoy bertuah kerana dibimbing pelukis komik, Yamin Daud. Mula cerita, sejurus tamat persekolahan, Zoy diterima bekerja di sebuah syarikat akhbar sebagai artis grafik. Antara karya awalnya di syarikat akhbar itu ialah siri kartun, Ragam Wazata yang menampilkan watak Wazata seorang penghibur dan pelawak popular pada era 1980-an.

Pada 1985, Zoy beralih angin ke sebuah syarikat akhbar tabloid, Harian Nasional sebagai pelukis kartun editorial. Di sinilah, Zoy mula berjinak-jinak menghasilkan kartun politik. “Sebagai kartunis editorial, karya yang ditampilkan lebih banyak tertumpu kepada isu semasa dalam masyarakat manakala bagi kartun politik, subjek sudah pastinya berfokus kepada isu politik. “Sebenarnya, saya tidak berapa menggemari melukis kartun politik kerana ia agak mengundang risiko. Ini kerana penerbitan akhbar tertakluk kepada isu sensitiviti dan Akta Mesin Cetak.

“Pucat lesi jugalah muka setiap kali ada isu yang dibangkitkan bersangkut-paut dengan karya yang kita hasilkan,” kata Zoy mengingatkan detik awal menjadi pelukis kartun politik.
Mengulas ruangan kartun dalam akhbar, Zoy berkata, segmen kartun dalam akhbar bukan bersifat hiburan kosong sebaliknya menjadi tarikan kepada pembeli untuk membaca is kandungan akhbar terbabit. “Sukar untuk menarik minat orang membaca akhbar jika tidak diserikan dengan hiburan komik atau kartun. Biarpun ruangan kartun kecil berbanding kolum berita semasa atau ruangan lain, lazimnya orang akan lebih tertarik membaca kolum kartun terlebih dulu,” katanya yang kini mengetuai kumpulan 29 artis grafik di Unit Grafik Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) sebagai Ketua Unit Grafik BHSB. Karya Zoy yang menarik hati boleh ditatap dalam sisipan Sabtu akhbar ini, yang diterbitkan setiap hari Sabtu. Ikuti temubual bersama Zoy atau mesra disapa Pak Zoy oleh ‘anak-anak buahnya’ di BHSB.

Apakah sumber yang sering menjadi rujukan anda dalam berkarya?
Sebagai kartunis yang tidak mendapat pendidikan formal, saya jadikan kartunis senior yang berjaya sebagai panduan. Selain itu, saya merujuk majalah komik dan humor luar negara seperti Mad dan Punch. Stroke atau idea yang dipersembahkan dalam majalah ini sedikit sebanyak membuahkan ilham dalam berkarya. Lama-kelamaan, apabila kita sudah temui gaya karya sendiri, kita teruskanlah dengan cara sendiri. Namun, biar apapun, pembacaan serta pergaulan adalah penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri. Kedua-dua elemen ini dapat memberi idea kepada kartunis.

Anda menghasilkan karya kartun yang serius dan pada masa yang sama tampil dengan karya humor. Bagaimana proses menjana idea bagi kedua-dua kartun berbeza genre ini?
Ada pelbagai jenis kartunis. Antaranya, yang menghasilkan karya komersial seperti iklan, papan tanda dan sebagainya. Kartun begini, penumpuannya lebih kepada seni kartun itu saja. Sesetengah kartunis kurang berminat dengan isu arus perdana. Sebaliknya, mereka lebih suka memilih isu masyarakat. Sebahagian yang lain pula menampilkan kartun di mana subjeknya serius. Tidak kurang juga ada kartunis yang memiliki kekuatan karya pada stroke atau dialog. Stroke kartun atau dialog saja sudah boleh buat orang ketawa. Melukis kartun ini sama juga seperti kita menulis. Ia bergantung kepada apa yang perlu kita hasilkan dan bagaimana idea yang diperoleh ketika itu. Ada masanya, idea diperoleh ketika kita sedang melakukan sesuatu kerja dan jika lambat melukisnya, kita akan terlupa. Di sinilah pentingnya untuk membawa buku catatan ke mana saja kita pergi. Ini supaya idea yang dicetuskan boleh dicatat dan digunakan apabila hendak berkarya. Apabila timbul saja idea, terus catat dalam buku. Setahu saya, kebanyakan individu berjaya mengamalkan kaedah ini seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Anda dikenali dengan karya komik berunsur pendekar dan persilatan. Mengapa memilih subjek begitu?
Apa yang saya minat, saya akan sampaikan dalam karya. Dulu, saya suka gusti, jadi karya saya berkisar sukan gusti. Saya memilih subjek silat dan pendekar bukan saja meminati seni mempertahankan diri ini, tetapi merasa bertanggungjawab untuk memelihara warisan budaya. Bagi siri seperti ini, saya banyak mencurahkan apa yang saya tahu mengenai dunia persilatan di dalam karya. Pengetahuan seperti ini penting supaya kita dapat mengurangkan kesilapan. Dulu, saya pernah hasilkan karya berlatarkan zaman Perang Dunia Kedua. Saya semak sejarah bagaimana tentera Jepun sampai ke Tanah Melayu dan sebagainya. Tetapi, saya tersilap dalam melukis pakaian seragam Tentera Jepun. Saya lukis saja dengan pedang diletak pada bahagian salah. Tidak lama selepas itu, saya menerima surat daripada seorang pembaca yang menegur mengenai kesalahan saya itu. Rupa-rupanya, beliau adalah bekas askar Jepun. Beliau kirimkan gambar menunjukkan bagaimana rupa pakaian seragam askar Jepun sebetulnya. Pengajaran yang saya peroleh ialah sebelum kita melakukan sesuatu, kita perlu kaji terlebih dulu. Bagi kartun editorial pula, subjek yang ditampilkan lazimnya membabitkan perkembangan semasa.

Apakah anda memiliki asas dalam dunia persilatan?
Saya memiliki sedikit pengetahuan asas dalam bidang persilatan. Seperti saya katakan, jika kita memilih subjek tertentu untuk berkarya, kita harus ada pengetahuan mengenainya. Sekurang-kurang tahu apa itu silat sebenarnya, falsafahnya dan pelbagai aspek lain dalam dunia silat. Perlu dinyatakan, karya yang kita hasilkan memberi maklumat dan mungkin juga membawa pengaruh kepada pembaca.


Bagaimana anda mentafsirkan idea yang baik dalam menghasilkan karya?
Idea yang kita fikirkan bagus tak semestinya bagus kepada orang lain. Ini kerana, lain orang, lain pemahaman dan pemerhatiannya. Apabila kita merasakan karya kita tidak bagus, orang melihatnya sebagai bagus pula. Apabila kita merasakan karya kita sudah cukup baik dan kelakar, maklum balas sebaliknya pula diterima. Itulah sukarnya hendak mengagak karya yang disukai pembaca.

Berkarya melalui akhbar mempunyai batasan tertentu. Bagaimana anda melihat perkara ini?
Kadang-kadang kita ada idea dan kita merasakan idea itu bagus. Namun, belum tentu ia dapat disampaikan melalui kartun kerana ada batasan undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi. Kartun yang dihasilkan untuk akhbar bukannya boleh disiarkan sembarangan. Jika tersalah lukis atau tulis, ia boleh jadi bahan fitnah ataupun penghinaan terhadap orang lain. Ini tentunya membolehkan kita dikenakan tindakan undang-undang. Justeru, kita harus bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan. Ttidak kiralah penulis, pengarang atau kartunis. Disebabkan itulah, sukar untuk kartunis editorial menghasilkan karya yang tidak akan membuatkan mana-mana pihak tersinggung.


Ada juga karya bersiri anda bertemakan hubungan keluarga dan percintaan. Bagaimana anda memperoleh idea mengembangkan jalan cerita berunsur drama seperti itu?
Dalam menghasilkan karya bersiri, kita tidak lari daripada kisah percintaan. Hakikatnya, dalam diri setiap orang, ada keinginan untuk meluahkan perasaan cinta tapi bagi sesetengah orang, ia tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Bagi golongan yang tidak dapat melahirkan rasa cinta melalui ucapan seperti saya, semua perasaan itu diterjemah melalui karya. Dalam menghasilkan kisah bersiri, saya selalu letakkan diri saya dalam cerita dan watak bagi ‘menghidupkan’ cerita. Bukanlah bermaksud watak hero itu sebenarnya adalah saya, tapi saya bayangkan, saya ada dalam dirinya. Barulah hidup cerita itu. Selalunya, alunan cerita atau tema penceritaan sudah ada, tetapi kisahnya atau plot terperinci akan datang kemudian. Bagi karya bersiri, saya terpaksa rekodkan nama watak yang ditampilkan supaya tidak terlupa.


Dalam semua jenis karya yang anda hasilkan, yang mana satu lebih memberikan kepuasan kepada anda?
Jika diikutkan, saya lebih puas dengan karya komik. Karya jenis inilah yang menjadi permulaan saya dalam bidang ini. Melalui komik juga saya mempunyai ruang untuk mencurahkan perasaan dan pemikiran. Banyak perkara yang tidak dapat saya luahkan dalam realiti, saya salurkan dalam komik. Bukan sebab itu saja, pelbagai kisah yang dipaparkan dalam komik boleh dikaitkan dengan realiti kehidupan kebanyakan pembaca. Jadi mereka merasakan kisah yang dipaparkan ada kena-mengena dengan pengalaman mereka.


Apakah antara maklum balas yang sering diterima daripada peminat?
Khabarnya, ada juga yang mencadangkan supaya siri komik pendekar diterbitkan dalam bentuk animasi?
Rata-ratanya meminta supaya siri komik yang saya hasilkan dibukukan. Ada rakan memberitahu kawannya selalu mengikuti karya komik bersiri saya dan menangis setiap kali membacanya. Saya juga kadang-kadang tertanya-tanya, bahagian mana pula dalam karya itu yang sangat menyentuh hati pembaca? Ada juga mencadangkan supaya karya itu diadaptasi dalam bentuk animasi. Namun, persoalannya, apakah serius atau tidak serius untuk kita menjayakannya.

Bagaimana anda melihat perubahan penghasilan kartun dan komik daripada kaedah manual kepada digital?
Walaupun banyak aspek dalam seni lukis kartun atau komik dibantu teknologi digital, teknik penghasilan secara manual juga penting. Penggunaan teknologi baru ini selalunya lebih banyak tertumpu kepada kerja pewarnaan. Kita boleh juga melukis kartun menggunakan komputer, tetapi ia memakan masa dan hasilnya agak kaku. Jadi, lebih mudah dan puas hati jika melukis menggunakan tangan... Sama juga keadaanya dengan seni lukisan lain. Sesuatu perisian komputer mungkin boleh menghasilkan karya yang nampak serupa. Namun, karya itu tidak akan dapat menandingi karya yang dihasilkan secara manual. Teknologi sekadar membantu dan mempermudahkan kerja kita saja, terutama dalam menyimpan dan memfailkan karya yang dihasilkan.


Adakah penguasaan dalam teknologi grafik digital memberi kelebihan kepada kartunis?
Dari awal saya menceburi bidang ini hingga hari ini, saya menyaksikan pelbagai fasa perubahan dalam industri seni kartun dan komik. Dari zaman menekap dan menampal ke penggunaan blok dan negatif, hinggalah zaman penggunaan komputer. Saya perhatikan, biar apapun tekniknya, apa yang paling penting adalah idea dan sentuhan pengkarya. Secanggih mana pun teknologi, sentuhan dan lakaran lukisan secara manual tetap menjadi asas penting sesebuah karya. Buktinya, seniman terkenal di dunia, hampir kebanyakannya mahir melukis. P Ramlee, Bruce Lee, Steven Spielberg - mereka semua bergantung kepada lakaran storyboard untuk menjayakan sesebuah babak dalam filem. Produksi filem Indonesia juga sering berpandukan lakaran storyboard sebelum dirakam dalam bentuk visual. Sebab itulah sudut rakaman mereka menarik. Dalam konteks kartunis pula, jika mereka mempunyai asas melukis yang mantap, karya yang dihasilkannya akan lebih baik. Bukan teknologi komputer yang menentukannya.

Apa pendapat anda mengenai industri kartun dan komik tempatan ketika ini? Bakat muda kita dalam bidang ini memang ramai. Untungnya generasi kartunis muda ini, orang ramai tidak memandang rendah kerjaya kartunis seperti dulu. Sekarang, , kerjaya sebagai kartunis dianggap menarik dan dibanggakan. Begitu juga dari segi pendidikan. Ada banyak peluang pendidikan dalam seni yang boleh diikuti untuk memperkayakan diri. Namun, apa yang menyedihkan mengenai industri kita ini, kebanjiran bahan bacaan kartun dan komik dari luar negara yang tidak dipantau. Apa yang dibimbangkan, kemasukan karya ini membuatkan penggiat dan pembaca tempatan, terutamanya golongan muda terpengaruh dengan unsur negatif. Kartunis asing tidak ada batasan dari sudut moral, tidak seperti kita yang bersandarkan agama, budaya dan undang-undang. Mereka abaikan didikan sosial kepada masyarakat. Justeru, untuk memelihara industri penerbitan tempatan, kemasukan bahan bacaan dari luar negara ini perlu dikawal dan ditapis. Ini dilakukan di Jepun. Biarpun negara itu maju dalam industri kreatif, mereka menjaga industri itu dengan memastikan bahan bacaan dari luar negara dialih ke dalam bahasa Jepun sebelum dijual. Selain itu, bagi menghidupkan industri kartun, usaha ini juga diambil pemimpin dalam sesebuah organisasi masyarakat. Jika mereka nampak kepentingan dan keistimewaan seni kartun serta menyedari potensi seni ini bagi membangunkan masyarakat, langkah meningkatkan industri ini kepada tahap lebih baik boleh dilakukan.

Profil

Nama : Mohd Zohri Sukimi
Tarikh lahir : 23 Januari 1959
Umur : 50 tahun
Asal : Klang, Selangor

Thursday, October 15, 2009

BOBOIBOY !







Animonsta Studios adalah pasukan yang sama mencipta Upin & Ipin dan Geng : Pengembaraan Bermula. Kini, kami melebarkan sayap dengan menubuhkan syarikat sendiri bagi tujuan meneroka perkara baru dan membawa kepelbagaian animasi kepada industri kreatif.
SETELAH berjaya mencipta fenomena Upin & Ipin yang sehingga kini menjadi perbualan ramai, pengarahnya, Mohd. Nizam Abdul Razak atau Nizam kini muncul dengan produk animasi terbarunya, Boboiboy.

Jika Upin & Ipin sehingga kini kekal dengan konsep 1Malaysia, Boboiboy pula mengetengahkan animasi tiga dimensi (3D) superhero berwajah tempatan.
Dulu ramai yang terpegun dengan hasil kerja yang dilakukan Nizam dan rakan-rakannya dalam menterjemah animasi Upin & Ipin sehingga berjaya diangkat ke layar perak.
Maka, tidak mustahil jika lebih ramai yang akan teruja menanti buah tangan terbaru mereka yang lebih segar dan menarik itu.

Bezanya kali ini, Boboiboy merupakan produk sulung milik syarikat Animonsta Studios yang diterajui oleh Nizam serta dua rakan kongsinya, Mohd Safwan Ab. Karim (Safwan) dan Muhammad Anas Abdul Aziz (Anas).
Dijangka bakal mencipta satu lagi fenomena terbaru ‘dunia’ interaktif tempatan, produk tersebut tidak mustahil mampu membawa kelainan dalam perkembangan profil dan penghasilan animasi tempatan.

Bertemu Nizam, Safwan dan Anas baru-baru ini, masing-masing rancak bercerita perihal siri projek animasi itu yang dijangka menemui peminat di kaca televisyen pada tahun depan.
Siri tersebut bakal disiarkan selama 26 episod di mana setiap satunya dengan durasi selama 11 minit.

“Ketika ini, kami masih dalam peringkat perbincangan. Watak-watak yang bakal memainkan peranan penting dalam siri ini sudah ada dan minggu ini kami akan cuba menyiapkan kesemua karakter itu.

“Berbanding animasi Upin & Ipin, dalam Boboiboy kami ingin berkongsi banyak pengetahuan. Ditambah dengan pengunaan pelbagai gajet, secara tidak langsung ia dapat menimbulkan pelbagai perasaan kepada yang menontonnya nanti.

“Bagi kami yang penting ialah penyampaian. Kalau boleh kami ingin mencipta satu lagi ‘ikon’ untuk kanak-kanak di negara ini,” kata Nizam mewakili rakan-rakannya.
Apa yang menarik dalam Boboiboy ialah beberapa daya tarikan yang terkandung meliputi karakter superhero Bo, Boi dan Boy, nilai-nilai murni, karakter makhluk asing (alien) dan juga unsur futuristik di sekitar ibu kota.

Ringkasnya mengenai animasi tersebut, ia memaparkan karakter utama iaitu seorang kanak-kanak bernama Boboiboy dan dibantu oleh beberapa karakter tambahan seperti Gopal, Ying, Yaya.

Dalam usaha menyalur bantuan kepada orang ramai, Boboiboy akan terpisah kepada tiga orang iaitu Bo, Boi dan Boy yang mempunyai tiga kuasa berbeza termasuk tanah, angin dan petir.
Turut diwujudkan ialah karakter makhluk asing yang membawa pulang biji kopi ke planetnya, namun kerana aroma dan rasa kopi yang begitu sedap, seluruh kroni makhluk asing itu sanggup turun ke bumi semata-mata untuk mendapatkan kopi tersebut.
Secara ringkasnya juga, Gopal iaitu karakter budak India yang mempunyai kuasa menukar sesuatu barang kepada barang yang lain.
Ying karakter budak Cina yang mempunyai kuasa yang membolehkannya bergerak pantas berbanding rakan-rakannya yang lain. Sementara itu, Yaya pula merupakan karakter kanak-kanak perempuan comel yang bertudung.

Boboiboy bukan saingi Upin & Ipin
Biarpun pernah menyertai Les’ Copaque Productions Sdn. Bhd. (LCPSB) dalam membangunkan animasi Upin & Ipin tetapi kata Nizam, kemunculan animasi Boboiboy bukanlah bertujuan untuk bersaing.

Nizam, Anas, Safwan serta lima lagi kakitangan LCPSB yang lain membuat keputusan keluar daripada syarikat tersebut pada September lalu demi mencari ‘tapak’ dalam mengembangkan lagi bakat mereka dalam dunia animasi tempatan.
Setelah bersengkang mata hampir sebulan akhirnya idea untuk melahirkan Boboiboy hampir menjadi kenyataan.

“Kami tiada sebarang masalah dengan LCPSB. Malah, selama ini haji (Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi) telah banyak membantu kami dan memberi tunjuk ajar sepanjang penglibatan kami menghasilkan Upin & Ipin.

“Kami keluar dari LCPSB pun sebab kami ingin mencuba sesuatu yang baru.
“Terus terang, kami memang sayang kepada karakter Upin & Ipin tetapi rasanya tidak salah jika kebolehan yang ada kami pelbagaikan demi memeriahkan lagi industri animasi tempatan sebab pulangannya nanti kepada penonton juga.

“Kita perlu mengikut peredaran masa. Mungkin ini juga rezeki buat kami. Sebab itu kami perlu berani mencuba sebab bagi kami lebih banyak pelopor dalam industri animasi lebih baik untuk industri ini,” kata Nizam yang juga Pengarah Urusan Animonsta Studios.
Menurut Nizam dalam industri kreatif tidak wujud persaingan yang terlalu besar kerana segalanya bergantung kepada penerimaan penonton.
Bagaimanapun, melihat kepada jalan cerita dan pelbagai kelainan yang ada pada Boboiboy, mungkinkah ia bakal ‘menelan’ populariti serta fenomena yang pernah dicetuskan oleh Upin & Ipin?

“Saya tidak rasa kehadiran Boboiboy akan mengganggu perjalanan Upin & Ipin. Ini kerana, jenama Upin & ipin itu sendiri sehingga kini begitu kuat.
“Saya rasa LCPSB pun ada strategi mereka sendiri dan dengan 70 orang kakitangan yang LCPSB ada, saya percaya mereka mampu mengekalkan apa yang Upin & Ipin ada kini untuk masa akan datang,” kata Nizam lagi.

Menurut Nizam lagi, sambutan terhadap Boboiboy menggalakkan apabila terdapat beberapa stesen penyiaran tempatan dan antarabangsa yang bertanyakan tentang produk tersebut.
Malah, beberapa agensi kerajaan termasuk Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), membekalkan beberapa perisian untuk kemudahan mereka menghasilkan Boboiboy.

Bukan itu sahaja mereka juga mendapat kerjasama daripada sebuah lagi agensi, Cradle Fund Sdn. Bhd., yang membantu menyalur dana bagi merealisasikan projek tersebut.
layari laman sesawang: http:// www.animonsta.com.