CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, November 20, 2009

KARTUNIS DEEN.



KETIKA berkarya, kartunis Nordin Misnan atau lebih dikenali sebagai Deen, sering menampilkan elemen kehijauan alam sebagai latar kartunnya. Ini kerana, selain seni lukis dan muzik, Deen amat mencintai keindahan alam. Bagi Deen, elemen alam semula jadi pada karya mampu impak dan keistimewaan tersendiri, berbanding kartun luar negara yang lazimnya sangat ringkas.


Elemen keindahan alam semula jadi jelas dilihat dalam siri kartun yang dihasilkan Deen, Cerita Atuk yang disiarkan dalam sisipan Sabtu terbitan Berita Harian. Kata Deen, sambil menghibur pembaca, beliau mengajak audiens menghayati persekitaran desa menghijau, bersih dan nyaman seperti yang dipaparkan dalam karyanya itu.


Bagi Deen, andai mesej mencintai alam semula jadi itu sampai kepada pembaca, sudah pasti mereka juga akan mengambil inisiatif untuk memastikan persekitaran indah, bersih dan nyaman. Tidak cukup itu, Deen cenderung mengutarakan isu alam sekitar sebagai topik perbualan watak dalam Cerita Atuk. Deen juga menyelitkan mesej kekeluargaan dan kemasyarakatan serta isu semasa.


Sebelum berkarya untuk akhbar Berita Harian, Deen yang bertugas sebagai artis grafik akhbar ini pernah berkhidmat di pelbagai organisasi akhbar, majalah hiburan dan humor seperti Variapop, Gelihati, Boom dan Gelagat.


Selain itu, sentuhan kreatif Deen sering menghiasi kad ucapan hari raya. Kad raya kartun cukup popular di kalangan remaja dan kanak-kanak. “Sekarang, sambutan untuk kad raya kartun sudah berkurangan, namun permintaannya masih ada. Ramai beralih kepada kad ucapan elektronik yang tidak membabitkan kos dan lebih mudah dihantar. “Namun, dari sudut sentimental, kad ucapan lebih tinggi nilainya kerana ia boleh disimpan,” kata Deen.


Masih ingat bila karya pertama anda disiarkan dalam majalah?


Ketika menuntut di sekolah menengah, saya sering menghantar karya ke pelbagai majalah. Jika tidak silap, karya pertama saya disiarkan di majalah Variapop pada 1984. Ketika itu, saya masih menuntut di tingkatan lima. Saya sudah lupa watak dan cerita kartun itu, tapi apa yang pasti, saya masih ingat perasaan saya cukup teruja melihat karya saya disiarkan di majalah itu.


Berbeza dengan majalah, ruangan kartun di akhbar agak terhad. Bagaimana anda mempersembahkan idea dalam ruang terhad seperti ini?

Disebabkan cerita perlu disampaikan dalam ruang kecil, selalunya saya akan merancang subjek yang hendak ditampilkan serta bagaimana lukisan jalan ceritanya. Proses ini menguji kreativiti kerana kadangkala, banyak perkara yang hendak disampaikan tetapi ruang tidak cukup.


Dari mana datangnya sumber ilham anda ketika berkarya?

Ilham selalunya muncul apabila saya melakukan aktiviti membabitkan alam semula jadi. Misalnya, apabila saya meneroka hutan atau memancing. Mungkin disebabkan itulah, subjek yang selalu saya ketengahkan berkisar alam semula jadi. Antara pengalaman peribadi yang pernah saya paparkan dalam karya adalah lawatan saya ke hutan Belum. Mungkin sebelum ini ramai yang menyangka hutan ini masih terpelihara sepenuhnya. Namun, ketika saya melawatnya, saya dapat melihat aktiviti kemusnahan alam di beberapa lokasi di hutan Belum.
Kekecewaan melihat kemusnahan alam itu saya luahkan dalam karya.


Siapa kartunis dan karya kartun yang banyak memberi inspirasi kepada anda?

Saya suka karya yang dihasilkan kartunis Lat dan Nan. Idea yang dipersembahkan kartunis Nan dalam siri Din Teksi sarat dengan mesej, namun disampaikan dengan bersahaja. Karya kartunis Lat pula berjaya menghiburkan pembaca dengan paparan kehidupan budak kampung. Ini secara tidak langsung membangkitkan kenangan kebanyakan pembaca yang pernah melalui kehidupan di desa. Jika karya luar negara pula, saya suka komik Groo dan komik Calvin and Hobbes.


Apa yang membuatkan anda beralih daripada melukis kartun sepenuh masa kepada kerjaya dalam bidang grafik?

Kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri kartun yang sebelum itu berkembang maju. Ketika itu, saya sudah menjangka sukar untuk bergantung kepada kerjaya kartunis saja. Ini kerana kebanyakan penerbit mula ‘liat’ memberi bayaran dan penjualan bahan bacaan berunsur humor juga makin suram. Kebetulan ada peluang, saya membuat keputusan bekerja di Berita Publishing. Di bawah syarikat ini, saya membuat ilustrasi untuk majalah serta melukis kartun untuk majalah BIP. Beberapa tahun kemudian, saya berpindah ke Berita Harian hingga sekarang. Sejak detik itu, sedikit demi sedikit saya belajar memahirkan diri dengan teknologi komputer dalam berkarya. Mujur terbuka hati saya untuk beralih ke bidang sekarang. Jika saya masih berharap kepada kerjaya kartunis saja, mungkin sekarang saya menetap di kampung saja.


Apa perbezaan berkarya secara manual berbanding digital?

Kaedah mana yang lebih memberi kepuasan? Sudah semestinya kaedah manual lebih memberi kepuasan. Sebelum ini, saya pernah menghasilkan Cerita Atuk menggunakan komputer. Tetapi, rasanya tidak puas seperti melukis dan mewarna di atas kertas. Hasilnya juga tidak memuaskan, tidak ‘hidup’ seperti yang kita hasilkan secara lukisan tangan. Berkarya menggunakan komputer, pada saya, banyak unsur ‘penipuan’. Jika tersilap sedikit, kita boleh betulkan dengan mudah. Tidak seperti karya manual, jika tersilap, terpaksa buat yang baru. Namun, tidak dinafikan teknologi sebenarnya banyak membantu mempercepatkan kerja. Namunm, jika ingin menghasilkan karya kreatif bernilai tinggi, kaedah manual adalah yang terbaik.


Apa perancangan anda di masa depan?

Seperti kebanyakan kartunis lain, ‘impian emas’ mereka adalah melihat siri karya dihimpunkan atau dikompilasikan. Selain itu, saya berharap industri ini akan lebih aktif melalui usaha dan kerjasama berterusan dari semua pihak, terutama penerbit dan media. Penerbit diharapkan lebih aktif menghasilkan karya bermutu dari kartunis berbakat. Ini bagi memastikan khalayak menikmati karya yang berkualiti lalu menyemarakkan semula industri ini. Media pula dapat membantu dengan sentiasa menyiarkan karya dan memberi publisiti membabitkan industri kartun tempatan. Jika ini terjadi, tidak mustahil arena kartun tempatan akan kembali meriah seperti dulu.

Profil Kartunis Deen.

Nama : Nordin Misnan
Tarikh lahir : 1 Mac 1968
Umur : 41 tahun
Asal : Segamat, Johor.

KARTUN LAT DI AWAN BIRU.

LAT bersama Fernandes (kiri); Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun (dua dari kiri) dan Geldof (kanan) pada majlis AirAsia-Lat Livery di Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang


Kartunis negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, diberi penghormatan untuk mengabadikan hasil lukisannya pada barangan cendera hati yang akan dijual di dalam pesawat AirAsia Bhd (AirAsia). Cenderahati seperti kemeja-T, topi dan buku yang mengandungi lukisan Lat itu akan dijual di dalam pesawat tunggal AirAsia, Airbus A320, yang mana badannya turut dihiasi lukisan kartunis itu. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes, berkata pihaknya bercadang untuk meluaskan mesej Lat yang boleh disampaikan dalam bentuk watak kartun supaya dapat diterima orang ramai.


"Memang saya ada menerima pujian secara peribadi oleh penumpang sebaik mereka melihat lukisan (Lat) pada badan pesawat AirAsia sebelum ini. Selepas ini saya bercadang untuk bekerjasama lagi dengan Lat supaya kartunnya bermesej dapat dipaparkan dengan cara berbeza. "Sebagai contoh mungkin antara karakter kartun yang boleh dipaparkan ialah bagaimana Kampung Boy memakai jaket keselamatan," katanya pada sidang media selepas melancarkan AirAsia-Lat Livery di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, semalam. Hadir sama, Lat dan isteri Datin Faezah Ahmad Zanzali serta aktivis kemanusiaan, Sir Bob Geldof.


Pesawat Airbus A320 adalah pesawat ke-17 baru milik AirAsia yang lebih besar mengetengahkan kartun Lat pada badannya bagi menggantikan kapal terbang lebih kecil Boeing 737-300 sebelum ini.

Thursday, November 12, 2009

MAC3 MSC Malaysia jana dunia kreativiti Animasi anak tempatan.

*Dengan kadar sewa yang minimun bakal usahawan kreativiti dan animasi berpeluang menggunakan kemudahan yang ada di MAC3.


DUNIA kreativiti dan inovasi kini merupakan satu alam yang bukan asing di kalangan anak muda negara ini, bermula dengan cerita pendek Upin & Ipin yang mendapat sambutan hangat bukan saja di kalangan kanak-kanak malah golongan dewasa.
Ekoran itu filem Pengembaraan Bermula: Upin & Ipin membuka lembaran baru dalam dunia animasi tempatan.


Justeru, penubuhan Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) sememangnya membantu memaju perkembangan industri animasi negara.
Mengikuti perkembangan dan cabaran dunia dalam teknologi maklumat (IT), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melebarkan aktivitinya dengan membangunkan MSC Inisiatif Kreatif Multimedia MSC (M-CMCI).


Ketua MAC3 MDeC, Hasnul Hadi berkata, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dilihat dapat menyediakan kandungan animasi yang sesuai bagi kebudayaan dan sejarah negara.
"Berbekalkan tenaga kerja yang mempunyai pelbagai latar belakang serta pengalaman, kami percaya program ini akan berjaya.


"Di sini (MAC3), kami memberikan kesedaran kepada penuntut dan mereka yang berminat dengan dunia animasi," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Cyberjaya baru-baru ini.
Bertindak sebagai inkubator kepada usahawan muda yang mula berjinak-jinak dalam dunia animasi, MAC3 juga merupakan tempat latihan bagi pelajar yang berminat.
MAC3 dibina di Cyberjaya sebagai hos dan menawarkan kemudahan animasi kepada syarikat animasi tempatan.


Diilhamkan daripada Pusat Animasi Seoul di Korea Selatan, MAC3 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih berteknologi tinggi.


Menterjemahkan idea
"Di sini bakat-bakat baru tempatan akan dilatih untuk menterjemahkan idea mereka kepada produk yang dapat memikat pasaran antarabangsa," katanya.
Di sini mereka diajar bagaimana kandungan digital digunakan seperti IT, tanpa wayar dan media fizikal.


Selain itu juga mereka juga dibimbing bagaimana kandungan berkenaan dizahirkan sama ada dalam bentuk animasi, permainan komputer, filem, interaktif atau kesan visual.
Hasnul berkata, peserta di pusat tersebut juga akan dibantu dalam aspek pengedaran dan pemasaran.


Matlamat MDeC adalah bagi membangunkan industri kreatif dan inovasi tempatan.
MAC3 dilihat sebagai pemangkin dalam membangunkan industri kandungan digital yang mempunyai pasaran besar terutama dalam animasi, permainan dan kesan khas.
Sejak M-CMCI dilancarkan pada 2006, negara telah berjaya melakar nama ke persada antarabangsa dengan projek animasi Saladin.


Hasil cukai industri animasi pada tahun 2006 saja berjumlah RM435 juta dan kerajaan mensasarkan RM1.1 bilion menjelang 2012 dan mampu menjana 13,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, MAC3 mempunyai rakan di peringkat antarabangsa seperti Rythm and Hues, Codemaster dan Tripod bagi membantu penggiat tempatan.


MAC3 dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
1. Zon Digital
2. Pembangunan Bakat
3. Pra-produksi


Di bawah Zon Digital dibahagikan kepada Zon Bisnes dan Zon Pembelajaran.
Di bawah Pembangunan Bakat para graduan, pelajar dan orang awam boleh menggunakan kemudahan yang ada.


Misalnya syarikat berstatus MSC diberikan pelbagai inisiatif menarik apabila mengambil graduan baru bekerja di syarikat mereka.
Selain itu MDeC juga menganjurkan persidangan kreatif bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.


MAC3 juga bertindak sebagai inkubator yang menempatkan dan melatih usahawan sebelum mereka dapat berdikari sendiri.


Ketua Pegawai Eksekutif Studio Caterpillar, Ridhwan Bakir yang membangunkan permainan komputer mudah alih amat berpuas hati dengan kemudahan yang diberikan di MAC3.
"Di sini kami dapat menggunakan segala kemudahan yang ada dengan yuran sewa yang minimum. "Misalnya di sini terdapat perisian, perkakasan, bilik seminar, bilik mesyuarat, kemudahan kafe, yang boleh digunakan bersama-sama penyewa lain," katanya.
Sementara itu rakan kongsinya, Sufyan Bakir berkata, mereka sedang membangunkan permainan Mystic Agriculture menggunakan kemudahan MAC3.


Ketua Pegawai Eksekutif Red Turtle Animation Studios Sdn. Bhd., Hersen Lee turut sangat berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan di MAC3.
"Di sini kami boleh bekerja bila-bila masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa sebarang gangguan. "Kami membangunkan siri animasi Cheekily Cheekily Poom Poom iaitu kisah ahli sihir perempuan," katanya. Di MAC3 mereka menggunakan segala kemudahan yang ada di sini seperti perkakasan dan perisian untuk membangunkan produk.

(sumber Akhbar utusan.)

Thursday, November 5, 2009

GILA-GILA 705!