CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, December 18, 2010

JOM SERTAI SEGERA!!


SEBARANG PERTANYAAN HUBUNGI- 0377701160/0136352728

MOH LEKASSS MENDAFTAR!!!!

Wednesday, November 17, 2010

GILA-GILA tv series!

MULAI 29 NOVEMBER 2010
JAM 9.30 MALAM
DI
ASTRO WARNA

DRAMA AKU BUDAK MINANG MUSIM BARU!

SIRI AKU BUDAK MINANG-KARYA UJANG

MASUK MUSIM BARU


ARAHAN ZULKIFLE M. OSMAN

BERSAMA BARISAN PELAKON YANG MANTAP


SAKSIKAN

DI TV2

SETIAP RABU- 8.30 MALAM







KAMPUNG BOY the teater muzikal!



Sebuah Teater muzikal KAMPUNG BOY- Karya kartun Datuk Lat ini merupakan hasil usahasama Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Tall Order Theater Production di IStana budaya sepatutnya bakal di tayangkan disember ini.

Namun atas sebab kesibukan aktor Hans Isaac selaku pengerak teater muzikal ini ianya di tunda pada tahun 2011.

Nantikan sebuah adaptasi karya kartun ke layar teater. Satu sejarah penghormatan kepada dunia kartun di Malaysia.


Friday, July 23, 2010

BERITA GEMPAR!!


SEMUA DIJEMPUT HADIR!!
KEPADA INDIVIDU/SYARIKAT/STUDIO ANIMASI YANG BERMINAT TURUT SERTA
SILA HUBUNGI
- BIRO SOSIAL ANIMAS-
TEL : 03-77701160/0132375492
ATAU
HUBUNGI S/U ANIMAS EN. ZAHIR ~0166861714

Monday, June 7, 2010

JOM! TENGOK RAMAI-RAMAI...




Thursday, May 6, 2010

JOM PERGI PAMERAN ANIMASI 1MALAYSIA.


Tuesday, April 13, 2010

AKU BUDAK MINANG VERSI ANIMASI 3D!


UJANG DAN TEAM ANIMAGIS SDN BHD

BAKAL MEMERIAHKAN ANIMASI 3D DI MALAYSIA

BAKAL

MENAMPILKAN

'AKU BUDAK MINANG'

VERSI 3D ANIMATION

RUMAH PUSAKA


AYAM



UJANG MASA KECIL



ACA

UJANG



ATUK





NANTIKAN KEMUNCULANNYA!!!

Monday, March 29, 2010

KARTUNIS MIE BURGER


GELARAN Mie Burger diberi kepada kartunis ini kerana selain berkarya, beliau juga membuka gerai burger. Malah, subjek kartun yang dipaparkannya dalam karya berkisar pengalaman berniaga.Kisah ragam manusia, kerenah pelanggan dan situasi berdepan agensi penguat kuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah dipaparkan dalam siri Burger Corner yang dihasilkan Mie Burger atau nama sebenarnya, Ahmad Fadlullah Suhaimi, 53.


Mie Burger yang pernah berkarya dengan majalah humor seperti Mat Jenin, Gelihati dan Batu Api, bukan saja memiliki bakat dan kemahiran melukis kartun malah berjiwa usahawan.


Tidak hairanlah, ketika menjadi kartunis dulu, Mie Burger sempat meluangkan waktu rehat tengah hari untuk membuka gerai burger selama sejam atau dua jam. Habis waktu pejabat, beliau singgah ke Pasar Seni pula untuk menguruskan gerai kemeja-T yang diusahakannya.“Saya seorang business minded. Apa saja perkara yang saya lihat boleh menjana wang, saya akan ambil peluang hingga ada rakan memberitahu, jika diberi pen dan kertas, saya akan mencurahkan kreativiti dan ‘membuat duit’ daripadanya,” kata Mie.


Begitulah kecenderungan Mie Burger hingga hari ini. Biarpun tidak lagi menjual burger atau berkarya sebagai seorang kartunis, Mie Burger mengembangkan perniagaan rekaan dan cetakan kemeja-T yang dikendalikannya. Selain itu, beliau turut menganjurkan kursus bagi mereka yang ingin mempelajari teknik rekaan, cetakan dan perniagaan kemeja-T.Seperti yang ditampilkan ketika menjadi kartunis sepenuh masa, Mie Burger masih mengekalkan konsep karya berunsur positif serta memberi motivasi kepada khalayak. “Dalam siri Burger Corner, saya selalu menerapkan idea yang dapat memberi sesuatu yang positif kepada individu yang membacanya. Ini sama ada secara langsung atau tidak.“Ketika menghasilkan kemeja-T pula, saya lebih suka kemeja-T yang tertera kata-kata hikmat yang memberi inspirasi dan motivasi kepada si pemakai atau mereka yang membaca kata-kata itu.“Bagi saya, tidak mengapa jika pengkarya tidak dapat memberikan sesuatu yang positif, namun elak daripada menghasilkan sesuatu yang bersifat negatif,” katanya.


Bagaimana anda memilih subjek atau cerita yang ingin diketengahkan dalam karya?


Saya sering menggunakan pengalaman sendiri dan kisah benar yang berlaku di sekeliling setiap hari. Untuk siri Burger Corner, saya gunakan kisah yang berlaku ketika berniaga burger dan paparkannya dalam karya.Saya tidak pandai mereka-reka cerita ataupun fantasi untuk dijadikan subjek dalam karya, jadi saya tampilkan kisah realiti. Siri Burger Corner secara tidak langsung adalah gambaran kisah anda sendiri sebagai pengusaha gerai burger.


Adakah ia memberi kelebihan bagi anda untuk mendapatkan idea dalam berkarya?


Itu saya tidak nafikan. Oleh kerana saya memaparkan kisah penjual burger yang sebenarnya menyentuh diri sendiri, saya tidak menghadapi masalah mendapatkan idea untuk siri ini.Saya tidak perlu menanti idea untuk datang kerana sentiasa saja ada idea. Malah terlalu banyak hingga saya terpaksa simpan dulu untuk keluaran akan datang. Selain gerai burger, saya juga banyak menjadikan sitkom di televisyen sebagai rujukan dalam berkarya.


Anda sering mendapat idea ketika berada di luar daripada tempat anda berkarya. Jadi, setiap kali anda memperoleh idea, bagaimana anda menyimpannya sebelum ia dapat diluahkan dalam karya?


Saya mempunyai cara tersendiri untuk merekodkan idea yang saya peroleh. Dulu, saya menaiki bas untuk ke sana-sini. Saya akan sentiasa bersedia dengan pen bersama saya setiap waktu dan saya juga sentiasa menyimpan tiket bas di dalam poket.Setiap kali memperoleh idea, saya akan mencatatkannya di atas tiket bas dan menyimpannya di atas meja tempat saya berkarya.


Boleh kongsikan pengalaman sebenar anda yang anda tampilkan dalam karya yang anda masih ingat sehingga kini?


Ada satu pengalaman lucu, dulu-dulu, rakan saya pernah berpesan, kalau kita ternampak duit yang tercicir di atas jalan, kita perlu jatuhkan wang kita berdekatan wang berkenaan supaya selepas itu, kita boleh mengaut kedua-duanya (duit tercicir dan duit sendiri) tanpa dipandang serong orang lain.Suatu hari, saya terjumpa syiling 20 sen ketika berjalan-jalan. Jadi, dalam usaha untuk mengambilnya, saya jatuhkan wang syiling 50 sen saya. Malangnya, wang saya itu bergolek dan jatuh ke dalam longkang bertutup. Akhirnya, saya rugi 30 sen semata-mata mengikut ‘amalan’ karut ini. Saya pernah paparkan cerita kartun ini dalam sebuah siri kartun loose.Baik dalam kerjaya sebagai kartunis dan juga perniagaan yang anda jalankan sekarang ini,


Adakah keuntungan yang menjadi dorongan utama bagi anda?


Ketika kartunis menjadi pekerjaan tetap manakala perniagaan burger dan kemeja-T dijadikan sumber pendapatan sampingan, saya menggunakan bakat yang saya ada untuk menjana pendapatan.Di luar tanggungjawab sebagai kartunis, saya memanfaatkan kreativiti untuk menghasilkan produk yang boleh dijual. Bagi saya, mengapa kita perlu serahkan hasil kerja kreatif kita kepada pihak lain dan membiarkan mereka yang mendapat untung lebih daripada kita, sedangkan kita boleh menjualnya sendiri dan menikmati keuntungan sepenuhnya?Apa yang saya pelajari dan amalkan dulu, saya manfaatkan dalam menguruskan perniagaan saya. Namun, selain berniaga, saya ingin melakukan sesuatu yang memberi manfaat berpanjangan kepada diri sendiri dan masyarakat. Sebab itulah, saya memilih menghasilkan karya dan produk yang memberi mesej positif.


Untuk produk kemeja-T yang dihasilkan, bagaimana anda memperoleh kata-kata semangat yang ditampilkan di atas kemeja-T?


Saya bersyukur kerana saya sentiasa sensitif dalam perkara yang membabitkan motivasi dan inspirasi ini. Kadangkala, kata-kata semangat yang dipaparkan dipetik daripada ucapan seseorang, tidak kisah sama ada beliau seorang yang berpengaruh ataupun orang biasa.Kata-kata semangat ini juga ada yang datangnya dari pemerhatian saya dalam kehidupan. Bagaimana saya melihat sesuatu perkara, saya terjemahkannya dalam bentuk kata-kata semangat begini. Pada pendapat saya, anda tidak perlu menjadi seorang guru untuk mendidik orang lain, dengan cara ini juga anda boleh berkongsi sesuatu yang baik.


Selepas sekian lama meninggalkan dunia kartunis, tidakkah anda terfikir untuk berkarya semula?


Sekarang, saya tidak terasa untuk kembali berkarya dalam bidang kartun. Industri kartun tempatan pun nampaknya tidak dalam keadaan yang dapat memberi jaminan jika saya ingin berkarya semula.Namun, saya masih melukis kartun lagi, khususnya bila ada tempahan kemeja-T yang memerlukan saya melukis watak kartun bersama-sama kata-kata semangat. Saya juga masih berhubung dengan rakan kartunis dan apabila berkesempatan, memberi sokongan jika ada acara yang berkaitan dengan industri kartun tempatan.Sekarang, saya ingin memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan dan bercadang melatih lebih ramai individu yang berminat dalam perniagaan ini mengusahakan bisnes sendiri.


Profil


Nama: Ahmad Fadlullah Suhaimi

Tarikh lahir: 12 Oktober 1957

Umur: 53 tahun

Asal: Serdang, Kedah



SUMBER: BHARIAN

Thursday, February 11, 2010

KARTUNIS UBI.


Manfaat internet untuk berkarya, pupuk kesedaran dalam kartun.


UBI boleh disenaraikan antara kartunis bebas tempatan yang berjaya memanfaatkan prasarana internet untuk mengembangkan kerjaya sebagai kartunis profesional. Melalui laman web www.kartunisubi.com yang dibangunkannya kira-kira dua tahun lalu, Ubi bukan saja berinteraksi dengan peminat, malah laman itu juga menjadi gedung online menjual hasil karya.

Melalui laman web ini, Ubi atau nama sebenarnya Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar, melihat sendiri bagaimana 15,000 peminat sudah pun mendaftar dengan anggaran 700 hingga 1,000 peminat berbuat demikian setiap hari. Ketika ditemui, Ubi berkata, sejak tidak lagi bernaung di bawah syarikat penerbitan, beliau mula mencari jalan menggerakkan karya seninya. Ubi mengakui internet adalah medium paling berkesan termasuk peluang mempromosi karya di luar negara. Hasilnya, ada antara karya Ubi menarik perhatian pihak luar yang ingin mendapatkan lesen menggunakan karya terbabit bagi tujuan pendidikan. Ternyata, laman web yang dibangunkannya itu menjadi penggerak kepada perjalanan karier Ubi.


Ubi bercerita, minatnya terhadap kartun secara tidak langsung didorong ibunya yang cukup menggemari majalah humor Gila-Gila. Dek sering membaca majalah Gila-Gila yang dibeli ibunya, minat Ubi terhadap kartun mula berputik. Berbekalkan bakat dan minat, Ubi sering menghasilkan karya dan ada antaranya disiarkan di majalah. Tamat sekolah, Ubi ditawarkan bekerja sebagai kartunis di majalah Ujang terbitan MOY Publications pada 1994. Ubi bergerak solo selepas meninggalkan Ujang pada 2002. Ketika bersama majalah Ujang, Ubi dikenali sebagai kartunis yang cenderung menghasilkan karya bertema kehidupan pelajar sekolah dan percintaan remaja. Sejak beberapa tahun lalu, Ubi menampilkan siri Aku, Dia & Test yang berkisar kisah cinta remaja pada laman webnya. Harapan Ubi, melihat siri karyanya itu diadaptasikan ke medium animasi suatu hari nanti.


Mari berkongsi batas kehidupan Ubi...


Bagaimana perasaan anda sebaik ditawarkan bekerja dengan majalah Ujang?


Ketika masuk bekerja, saya adalah kartunis paling muda di majalah itu. Perasaan saya waktu itu cukup teruja kerana dapat bertemu dengan kartunis idola seperti Ujang, Gayour dan sebagainya. Tidak sangka dapat menjadi rakan sekerja kepada kartunis yang saya minati selama ini. Menjadi budak baru di situ, biasalah, sempat juga saya merasa disuruh membeli makanan dan juga rokok untuk senior. Itu antara kenangan yang saya ingat hingga kini. Sepanjang kerjaya, pernahkah semangat anda luntur untuk berkarya apabila menghadapi tekanan? Tidak dinafikan, ada ketikanya semangat untuk bekerja agak berkurangan. Tetapi memikirkan sokongan pembaca yang tidak pernah berhenti, saya kembali bersemangat untuk berkarya dengan lebih baik.


Apa antara siri kartun yang pernah anda hasilkan?


Selepas kira-kira enam bulan menghasilkan karya untuk ruangan Lawak Antarabangsa, saya diberi ruang menghasilkan karya bersiri, Budak Hostel. Banyak kenangan dan pengalaman ketika saya tinggal di asrama dijadikan modal karya siri ini. Budak Hostel mendapatkan sambutan hangat terutama dari golongan pelajar. Ceritakan serba sedikit mengenai satu lagi karya popular anda, Aku, Dia dan Volkswagen? Selepas agak kering idea menghasilkan Budak Hostel dan bimbang pembaca bosan dengan siri itu, saya perkenalkan siri baru, Aku, Dia dan Volkswagen (ADV). Ia mengisahkan seorang remaja lelaki, Ubi yang jatuh hati dengan gadis yang lebih berusia daripadanya iaitu Zurina. Walaupun temanya kisah cinta, saya cuba berikan sedikit kelainan dalam penyampaiannya. Sengaja saya memilih kisah remaja lelaki yang mencintai wanita yang lebih berusia kerana pada pemerhatian saya, ramai lelaki yang melalui pengalaman yang sama. Mesej utama dalam siri ini lebih menjurus kepada kasih sayang dan juga kekeluargaan.


Difahamkan, perjalanan siri ADV ini berhenti separuh jalan?


Siri Aku, Dia dan Volkswagen tergantung selepas saya meninggalkan majalah Ujang. Rasa terkilan juga kerana tidak dapat meneruskan sambungan siri itu. Ketika saya berhenti dari majalah Ujang, jalan ceritanya sudah menghampiri penamat. Ramai pembaca yang mengikuti siri ini sering bertanya mengenai sambungannya. Tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana hak untuk menerbitkannya terletak di bawah kuasa syarikat penerbitan. Sambil siri ADV disiarkan, saya juga menghasilkan siri ‘IN’, kisah percintaan gadis tomboy yang jiwanya lebih meminati kaum sejenis. Agak sukar untuk menghasilkan siri ini kerana saya terpaksa meletakkan pemikiran saya sebagai gadis ini.


Ada sebarang maklum balas negatif yang diterima untuk siri ‘IN’?


Memang pada mulanya ada segelintir pihak yang memberi respons negatif. Tetapi kebanyakan pembaca yang mengikuti siri ini boleh melihat sendiri - paparan kisah ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat. Siri ini bukan bertujuan menggalakkan amalan atau sesuatu yang berunsur negatif. Malah, apa yang cuba disampaikan ialah seburuk manapun luaran seseorang, masih ada perkara positif yang boleh kita pelajari darinya.


Bagaimana proses yang anda lalui untuk membina karier anda sebagai kartunis bebas?


Banyak yang saya pelajari selepas meninggalkan syarikat penerbitan tempat saya bernaung sebelum ini. Cara kerja saya mula berubah dan saya mula mencari kaedah berkesan untuk memasarkan karya dan kreativiti saya. Jadi, saya belajar serba sedikit mengenai selok-belok teknologi maklumat dan perniagaan melalui internet. Pada awalnya, sukar juga untuk melaksanakan projek laman web saya ini kerana beberapa tahun lalu, belum ada lagi mekanisme transaksi bayaran secara online. Tetapi selepas kemudahan itu wujud, semuanya menjadi lebih lancar dan saya fikir, sekarang saya lebih dikenali sebagai kartunis internet. Pendapatan dijana melalui langganan karya, penjualan cenderahati bertemakan siri karya dan banyak lagi. Biar apapun, saya bersyukur kerana perjalanan yang saya tempuhi sejak mula menceburi dalam bidang ini membawa diri ke tempat sekarang dan semestinya, menjadi impian sesiapa pun untuk lebih berjaya pada masa depan.


INFO:
Nama : Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar
Tarikh lahir : 26 Jun 1975
Umur : 35 tahun
Asal : Kuantan , Pahang
Laman web : www.kartunisubi.com


(SUMBER: AKHBAR TEMPATAN)

Friday, January 29, 2010

GILA-GILA TERBARU!


Tuesday, January 26, 2010

KARTUNIS TEMBAKAU


Azhar pertahan hak cipta karya, papar cerita zaman sekolah.


APABILA menjadikan pengalaman sendiri sebagai bahan karya, mungkin ada yang menganggap ia tugas mudah. Mengapa tidak, luahkan saja semua peristiwa hidup yang selama ini tersimpan dalam kotak memori dan selitkan dalam karya. Realitinya, cabaran besar menanti kartunis yang cenderung menjadikan kisah hidup sebagai bahan tatapan peminat. “Antara cabarannya ialah bagaimana hendak menyampaikan cerita dengan berkesan tanpa mengguris hati individu yang wataknya ditampilkan dalam karya.


“Selain itu, kaedah ini sebenarnya menguji kesediaan kartunis berkongsi cerita dengan pembaca. Kemampuan mengolah cerita supaya masih ada ruang privasi kepada diri kartunis juga menjadi antara cabaran yang menanti,” kata kartunis Azhar Ahmad atau lebih popular dengan nama pena, Tembakau. Tembakau popular dengan siri kartun, Kartini yang pernah disiarkan majalah Lanun pada akhir 1990-an. Siri Kartini menampilkan ragam sekumpulan pelajar sekolah menengah agama berasrama. Watak utama, Ariyon atau Muhammad Asri digambarkan sebagai pelajar nakal dan menaruh hati kepada pelajar junior, Kartini.


Biarpun menghadapi pelbagai halangan, Ariyon tetap berusaha mengejar cinta Kartini. Selepas disiarkan dalam majalah Lanun, siri Kartini beberapa kali diterbitkan dalam bentuk koleksi. Terbaru, siri Kartini diterbitkan Syarikat PTS Millenia Sdn Bhd pada tahun lalu. Ketika ini, Tembakau masih aktif berkarya dan terbabit dalam beberapa produksi animasi tempatan. Mengimbas perjalanan kerjayanya, segala-galanya bermula ketika Tembakau bekerja sebagai animator di Kharisma Pictures bagi menerbitkan siri animasi, Usop Sontorian.


Namun, jiwa Tembakau lebih senang dengan tugas yang memberinya kebebasan untuk berkarya. Minatnya itu disedari majikan lalu Tembakau diberi tanggungjawab melakar ‘storyboard’ siri animasi, Usop Sontorian. Tembakau mula serius melukis kartun apabila bekerja dengan majalah Ujang. Kartunis Ujang mencadangkan beliau melukis kartun manakala rakan kartunis, Aie berkongsi tip menampilkan humor dalam karya. Pada peringkat awal, karya Tembakau kebanyakannya disiarkan di ruangan kartun loose dan ‘lawak antarabangsa’.


Tembakau juga cenderung menampilkan watak gadis bertudung dan pantas mencuri perhatian peminat. Tembakau kemudian mengikut Ujang meninggalkan majalah Ujang, lalu berkarya untuk majalah Lanun. Ketika inilah, siri Kartini diperkenalkan kepada peminat majalah humor itu.


Kisah terbaru, Tembakau sedang menghasilkan siri kartun yang masih bersandarkan pengalaman hidupnya. “Dalam siri cerita keluarga ini, saya paparkan insiden lucu dalam proses membesarkan anak-anak. Bagi saya, jika mereka yang membaca siri ini dapat mengesyorkan kepada anak-anak untuk membacanya, ia suatu penghormatan kepada saya,” katanya.


Mengapa agaknya anda menampilkan kisah Kartini sebagai karya utama?


Kata rakan saya, jika hendak memikat gadis, buatlah cerita mengenai dia. Inilah yang menjadi antara faktor yang mendorong saya menghasilkan siri Kartini. Siri ini adalah berdasarkan kisah benar. Tetapi tidaklah diceritakan semuanya 100 peratus. Dari segi watak, karakter dan jalan ceritanya diubah serba sedikit supaya kelihatan lebih menarik sebagai siri kartun. Bukanlah niat saya untuk memalukan sesiapa, cuma ingin berkongsi cerita dan pengalaman sendiri. Rupa-rupanya, apa yang diceritakan itu mempunyai persamaan dengan kisah yang dilalui kebanyakan orang ketika di bangku sekolah. Mungkin atas faktor itu, siri Kartini mendapat maklum balas yang baik daripada pembaca. Sekarang pun, ramai yang bertanya, bila sambungan siri Kartini akan diterbitkan. Dari situ, boleh dikatakan siri ini memberi kesan tersendiri di jiwa pembaca.


Apakah pengisian siri Kartini betul-betul berdasarkan pengalaman anda di sekolah dulu?


Pengisian dalam siri Kartini ini lebih kepada kombinasi kisah rakan-rakan ketika di sekolah dulu. Hendak jual karya yang 100 peratus jujur tidak boleh juga. Ia perlu ditambah dengan pelbagai elemen lain untuk menjadikan ia lebih menarik dibaca. Sebagai contoh, watak Muhammad Asri atau Ariyon mewakili diri saya dan perspektif saya sebagai individu yang melalui kisah yang diceritakan itu. Saya ‘warnakan’ karakter beliau dengan sifat yang tidak ada dalam diri saya suatu ketika dulu, tapi sikap berkenaan dapat menyerlahkan lagi watak Ariyon.


Apakah sukar bagi anda mengimbau kembali kenangan yang sudah lama ditinggalkan itu?


Apabila menetap di asrama selama lima tahun, bukanlah masalah besar untuk kita mengimbas kembali kenangan yang dilalui ketika zaman itu. Ibaratnya, apabila dipejamkan mata, setiap kenangan seakan berputar semula dalam fikiran. Maklumlah, kenangan pahit dan manis ketika zaman persekolahan biasanya akan dikenang sampai bila-bila.


Bagaimana reaksi rakan-rakan lama apabila siri Kartini diterbitkan?


Di kalangan rakan-rakan sekolah saya dulu, lebih ramai yang bertanya mengapa watak mereka tidak ditampilkan dalam siri ini. Sebenarnya, melalui tiga atau empat watak rakan Ariyon dalam siri Kartini, saya tampilkan perwatakan rakan-rakan saya secara keseluruhan. Jika hendak ditampilkan satu-satu, terlalu banyak pula watak yang terpaksa diwujudkan.


Apa pula reaksi gadis sebenar di sebalik watak Kartini?


Beliau nampaknya gembira dan faham karya yang dihasilkan bukanlah bertujuan memburukkan sesiapa. Kisah ini menggambarkan bagaimana pandangan seseorang lelaki terhadap wanita dan bagaimana lelaki itu berusaha memenangi hati wanita terbabit. ‘Kartini’ yang sebenar juga pernah menghadiri majlis pelancaran dan promosi koleksi siri Kartini. Ada antara rakan kartunis dapat meneka mana satu ‘Kartini’ ketika beliau hadir di majlis terbabit. Ketika itu, sebenarnya, masing-masing sudah meneruskan haluan hidup sendiri.


Karya anda masih lagi dapat diterbitkan walaupun anda tidak terikat dengan mana-mana syarikat penerbitan. Apa pandangan anda mengenai isu hak cipta karya seperti ini?


Disebabkan saya memegang hak cipta siri Kartini yang saya hasilkan ini, siri ini masih boleh diterbitkan di syarikat penerbitan lain. Ini secara tidak langsung membuatkan siri Kartini terus dikenali termasuk di kalangan generasi pembaca baru. Isu ini tertakluk kepada perjanjian antara kartunis dengan syarikat penerbitan tempat mereka bekerja. Kebanyakan perjanjian menyatakan bahawa karya kartunis akan menjadi hak milik syarikat penerbitan. Dalam kes saya, selepas meninggalkan majalah Ujang, saya disarankan untuk mendaftarkan hak cipta karya sendiri. Justeru, selepas terhentinya penerbitan majalah Lanun, karya saya masih boleh diterbitkan mana-mana syarikat penerbitan mengikut pilihan saya. Semua ini bergantung kepada kartunis itu sendiri. Sejauh mana mereka hendak melihat karya mereka berkembang. Bagi saya, semakin lama berada dalam industri ini, saya ingin karya saya menjadi lebih baik dan lebih berkembang melalui setiap aspek, contohnya bidang animasi atau filem. Seseorang kartunis wajar memperkayakan kebolehan mereka dan tidak membataskan kreativiti pada karya atas kertas saja. Sekurang-kurangnya, cuba mahirkan diri dengan bidang lain yang berkaitan seperti penerbitan animasi.


Bagaimana proses kerja yang biasa anda lalui?


Jika boleh, pada peringkat sekarang, saya hendak peruntukkan kira-kira empat jam saja sehari. Maklumlah, hidup berkeluarga, saya harus bijak membahagikan waktu - bukan seperti ketika muda-muda dulu, berkarya sehari suntuk pun tidak ada masalah. Sekarang, untuk lakaran saja, saya boleh siapkan kira-kira 14 muka surat dalam tempoh sejam setengah. Cuma untuk bahagian finishing saja yang selalunya mengambil masa agak lama. Biarpun ada yang mengatakan kerja yang membabitkan kreativiti ini tidak boleh ditentukan mengikut jadual, hakikatnya ia bergantung kepada fokus, disiplin dan kemampuan seseorang pengkarya. Kepuasan pula, bagi saya, akan diperoleh apabila kerja dapat disempurnakan. Ini boleh juga disifatkan sebagai proses kematangan dalam berkarya. Kematangan bukan saja boleh dilihat pada strok lukisan, bahkan sistem kerja kita.


Biodata:


Nama : Azhar Ahmad
Tarikh lahir : 29 Ogos 1972
Umur : 38 tahun
Asal : Kuala Kangsar, Perak
Blog : olehtembakau.blogspot.com
SUMBER: AKHBAR BERITA (OLEH: Diyanah Anuar)

Tuesday, January 5, 2010

KARTUNIS JURAGAN.

Bekas guru tampil kartun kritikan sosial memikat, bersahaja

SETIAP hari, karya tamu kolum Di Sebalik Nama ini ditatap pembaca akhbar Harian Metro. Isu yang menjadi perbualan masyarakat dan paparan berita akhbar tabloid itu menjadi topik watak kartun lakarannya dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya. Antara elemen ketara yang dapat dilihat dalam dua siri kartun popular itu ialah dialog lucu dan sinis yang ditampilkan pada watak kartun. Tidak hairanlah, ramai pengikut ternanti-nanti karya kartunis popular yang dikenali sebagai Juragan ini, saban hari.

Bagi yang mungkin tidak tahu, kartunis Mohd Desa Omar atau lebih popular dengan nama penanya, Juragan menyumbang kreativitinya untuk akhbar Harian Metro sejak awal penerbitan akhbar ini. Pembabitan Juragan dalam dunia kartun bermula sejak 1978 ketika beliau berusia 13 tahun. Ketika itu, Juragan mula berkarya secara sambilan untuk majalah Gila-Gila. Di majalah Gila-Gila, Juragan mendapat bimbingan kartunis tersohor, Rejabhad. Kemudian, apabila berusia 18 tahun, Juragan berkhidmat secara sepenuh masa sebagai penerbit di majalah Batu Api bersama kartunis Mishar.


Sebelum melukis kartun untuk akhbar Harian Metro, Juragan pernah menyepi seketika dari bidang ini. Beliau bertugas sebagai guru selama kira-kira 10 tahun sebelum kembali menjadi kartunis. Cerita Juragan, selama kira-kira 30 tahun menjadi kartunis, boleh dikatakan beliau sudah mencapai semua yang diimpikan. “Hendak menjadi kartunis sejak kecil, saya sudah capai. Kemudian saya menjadi penerbit, berkarya untuk majalah dan akhbar dan mendapat pengiktirafan... Semuanya sudah diperoleh setakat ini. “Apa yang tinggal sekarang ini hanya menunggu hendak bersara sajalah” katanya sambil tertawa.

Terbaru, Juragan terbabit dengan projek penerbitan buku sejarah berkonsep komik yang sudah siap kira-kira 90 peratus. Beliau berkata, projek ini lahir dari idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Projek ini bertujuan mendekatkan lagi rakyat dengan sejarah tempatan melalui medium komik. Kaedah ini dilihat lebih menarik dan berkesan. Dalam projek buku sejarah berkonsepkan komik ini, Juragan bertanggungjawab mengolah skrip dan meneliti lukisan untuk komik yang menggunakan khidmat tiga kartunis. Melalui buku yang dijangka siap tidak lama lagi ini, pembaca didedahkan dengan sejarah tanah air dari peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 hingga saat kemerdekaan negara pada 1957.


Pada suatu ketika, anda pernah menyepi daripada industri kartun. Apa sebabnya?

Pada 1988, ketika negara dilanda krisis ekonomi, saya memohon memasuki maktab perguruan. Bukannya saya tidak serius untuk menjadikan kartunis sebagai kerjaya, cuma keadaan industri pada waktu itu tidak begitu stabil hingga banyak syarikat penerbitan terpaksa gulung tikar. Sehubungan itu, saya perlu mencari pekerjaan yang lebih stabil. Saya sempat bergelar guru kira-kira 10 tahun dan sambil mengajar, saya masih lagi menyumbang karya untuk akhbar terbitan Berita Harian Sdn Bhd, Berita Minggu.

Ceritakan serba sedikit pengalaman anda bekerja bersama Harian Metro?

Sebelum akhbar Harian Metro dilancarkan pada 1991, saya diundang melukis kartus untuk akhbar terbabit hingga hari ini. Bersama Harian Metro, saya banyak menerima anugerah dan penghargaan terutama karya yang menyentuh soal kepenggunaan melalui siri ‘Salesman’. Apa yang menarik, melalui khidmat saya di Harian Metro inilah menjadikan saya kartunis tempatan pertama yang karyanya disiarkan setiap hari dalam akhbar harian. Ada antara rakan kartunis saya memberitahu, tindakan saya menerima tawaran Harian Metro adalah suatu perkara ‘gila’ kerana saya perlu berkarya setiap hari. Tambah mereka lagi, sampai suatu tahap nanti, saya akan kekeringan idea. Bagi saya, ini hanya sebahagian cabaran yang perlu dihadapi apabila kita memilih bergiat dalam bidang ini. Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, ia tidak memberi tekanan kepada saya. Ini saya bekerja bersama rakan-rakan yang rata-ratanya sentiasa memberi sokongan dan memahami.

Apa pengalaman manis anda sepanjang menjadi kartunis?

Kartun saya pernah menjadi bahan dalam ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kartun berkenaan dijadikan contoh, untuk menegur sebuah persatuan tempatan berhubung masalah dalaman mereka. Kartun itu juga digunakan untuk bercakap mengenai isu membanteras gejala rasuah. Ketika itu, saya tidak sangka, ada juga pemimpin negara yang membaca kartun dan menjadikan ia bahan rujukan dalam ucapan.

Bagaimana anda menghadapi golongan yang memberi kritikan negatif terhadap karya anda?

Saya tidak ada masalah dengan kritikan. Ia lebih baik daripada kehadiran karya kita langsung tidak disedari. Di peringkat awal pembabitan saya dalam industri ini, kartun mempunyai ramai pengikut. Namun, kebanyakan ibu bapa tidak begitu bersetuju jika anak-anak mereka terlalu leka dengan bahan bacaan seperti ini. Berbeza dengan keadaan sekarang, apabila wujudnya pelbagai hiburan seperti permainan digital dan internet. Rata-rata ibu bapa merasa lebih baik anak-anak mereka menjadikan majalah humor sebagai bacaan sampingan daripada menghabiskan terlalu banyak waktu dengan permainan digital atau internet.

Bagaimana reaksi anda terhadap pendapat segelintir pihak yang mendakwa kartun sebagai hiburan yang tidak berfaedah?

Saya tidak nampak pula kartun ini tidak berfaedah dan merosakkan minda masyarakat. Malah, ia secara tidak langsung dapat memupuk tabiat membaca. Mungkin ketika usia muda, kebanyakannya lebih berminat membaca komik dan kartun. Tetapi apabila meningkat dewasa, tentu mereka akan beralih kepada bahan bacaan yang sesuai dengan peningkatan usia. Banyak perubahan yang dapat saya lihat sepanjang pengalaman saya dalam bidang ini. Sekarang, golongan kartunis tidak lagi diberi perhatian istimewa seperti suatu ketika dulu. Dulu kartunis dijemput hadir dalam pelbagai acara, diminta memberi ceramah dan sebagainya. Pembaca kartun zaman dulu juga cukup teruja untuk pergi ke acara yang membolehkan mereka melihat wajah dan berjumpa dengan kartunis yang diminati. Sekarang, banyak yang sudah berubah.

Menyaksikan naik turun industri kartun ini, pernah anda terfikir untuk meninggalkan karier ini?

Saya pernah nekad meninggalkan kerjaya ini pada 1988 hingga ‘membawa diri’ ke bidang perguruan. Sebagai guru, saya ditempatkan pula di Kuala Lumpur. Ini membuatkan saya masih berpeluang bertemu rakan-rakan yang bergiat dalam bidang ini. Jadi, tarikan dunia kartun masih dekat dengan saya. Ketika di maktab dan sewaktu bertugas sebagai guru, saya masih melukis kartun hingga saya kembali semula ke bidang ini lalu meninggalkan kerjaya guru pada 1998.

Dari mana anda memperoleh inspirasi berkarya?

Boleh dikatakan, saya jenis yang memerlukan ‘tekanan’ apabila hendak menghasilkan sesuatu karya. Apabila kurang tekanan yang diterima, susah juga saya hendak menjadi kreatif. Apabila tahu deadline yang diberi kepada saya singkat, lebih mudah dan cepat untuk saya melahirkan idea dan lukisan kartun. Sebab itulah, saya menetapkan deadline untuk diri saya sendiri selain deadline yang diberi syarikat akhbar. Melalui pembacaan isu-isu yang dipaparkan di akhbar, saya akan terus fikir sudut cerita yang perlu saya tampilkan. Proses ini agak sukar dan mengambil masa.

Apa kekuatan yang ada dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya?

Bagi Salesman, ia mudah untuk sampai kepada masyarakat. Ini kerana semuanya berlaku dalam kehidupan kita. Maksudnya, rata-rata kita sudah biasa bertemu dengan jurujual. Begitu juga dengan golongan yang bekerja dalam bidang jualan. Kadang kala mereka memberi maklum balas apabila terasa ada antara karya saya merujuk kepada mereka. Kebanyakan perkataan khusus dalam bidang jualan selalunya saya ambil daripada apa yang saya belajar dalam pertemuan dan perbincangan bersama mereka yang bekerja sebagai jurujual. Untuk siri Dialog Kota Raya pula, ia lebih bersifat kritikan sosial. Untungnya, karya saya disiarkan setiap hari jadi isu yang dipaparkan tidak basi. Tidak hairanlah, jika ada yang berpendapat, berkarya untuk akhbar harian lebih senang daripada akhbar mingguan.

Apa perubahan yang ditampilkan pada strok dan persembahan kartun anda dulu dan sekarang?

Tidak dinafikan, pada peringkat awal, saya mencuba pelbagai strok hinggalah bertemu dengan teknik yang dirasakan sesuai. Apabila sudah biasa, secara automatik kita akan melukis menggunakan strok yang sama dengan mudah. Secara tidak langsung strok ini akan menjadi identiti kita. Lazimnya, orang akan mengenali kita melalui strok yang dipaparkan.

Profil Nama : Mohd Desa Omar
Umur : 44 tahun
Tarikh Lahir : 18 Mei 1965
Asal : Batu Kurau, Perak

(SUMBER- B.HARIAN)

Saturday, January 2, 2010

KINI DIPASARAN GILA-GILA 707