CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 5, 2010

KARTUNIS JURAGAN.

Bekas guru tampil kartun kritikan sosial memikat, bersahaja

SETIAP hari, karya tamu kolum Di Sebalik Nama ini ditatap pembaca akhbar Harian Metro. Isu yang menjadi perbualan masyarakat dan paparan berita akhbar tabloid itu menjadi topik watak kartun lakarannya dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya. Antara elemen ketara yang dapat dilihat dalam dua siri kartun popular itu ialah dialog lucu dan sinis yang ditampilkan pada watak kartun. Tidak hairanlah, ramai pengikut ternanti-nanti karya kartunis popular yang dikenali sebagai Juragan ini, saban hari.

Bagi yang mungkin tidak tahu, kartunis Mohd Desa Omar atau lebih popular dengan nama penanya, Juragan menyumbang kreativitinya untuk akhbar Harian Metro sejak awal penerbitan akhbar ini. Pembabitan Juragan dalam dunia kartun bermula sejak 1978 ketika beliau berusia 13 tahun. Ketika itu, Juragan mula berkarya secara sambilan untuk majalah Gila-Gila. Di majalah Gila-Gila, Juragan mendapat bimbingan kartunis tersohor, Rejabhad. Kemudian, apabila berusia 18 tahun, Juragan berkhidmat secara sepenuh masa sebagai penerbit di majalah Batu Api bersama kartunis Mishar.


Sebelum melukis kartun untuk akhbar Harian Metro, Juragan pernah menyepi seketika dari bidang ini. Beliau bertugas sebagai guru selama kira-kira 10 tahun sebelum kembali menjadi kartunis. Cerita Juragan, selama kira-kira 30 tahun menjadi kartunis, boleh dikatakan beliau sudah mencapai semua yang diimpikan. “Hendak menjadi kartunis sejak kecil, saya sudah capai. Kemudian saya menjadi penerbit, berkarya untuk majalah dan akhbar dan mendapat pengiktirafan... Semuanya sudah diperoleh setakat ini. “Apa yang tinggal sekarang ini hanya menunggu hendak bersara sajalah” katanya sambil tertawa.

Terbaru, Juragan terbabit dengan projek penerbitan buku sejarah berkonsep komik yang sudah siap kira-kira 90 peratus. Beliau berkata, projek ini lahir dari idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Projek ini bertujuan mendekatkan lagi rakyat dengan sejarah tempatan melalui medium komik. Kaedah ini dilihat lebih menarik dan berkesan. Dalam projek buku sejarah berkonsepkan komik ini, Juragan bertanggungjawab mengolah skrip dan meneliti lukisan untuk komik yang menggunakan khidmat tiga kartunis. Melalui buku yang dijangka siap tidak lama lagi ini, pembaca didedahkan dengan sejarah tanah air dari peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 hingga saat kemerdekaan negara pada 1957.


Pada suatu ketika, anda pernah menyepi daripada industri kartun. Apa sebabnya?

Pada 1988, ketika negara dilanda krisis ekonomi, saya memohon memasuki maktab perguruan. Bukannya saya tidak serius untuk menjadikan kartunis sebagai kerjaya, cuma keadaan industri pada waktu itu tidak begitu stabil hingga banyak syarikat penerbitan terpaksa gulung tikar. Sehubungan itu, saya perlu mencari pekerjaan yang lebih stabil. Saya sempat bergelar guru kira-kira 10 tahun dan sambil mengajar, saya masih lagi menyumbang karya untuk akhbar terbitan Berita Harian Sdn Bhd, Berita Minggu.

Ceritakan serba sedikit pengalaman anda bekerja bersama Harian Metro?

Sebelum akhbar Harian Metro dilancarkan pada 1991, saya diundang melukis kartus untuk akhbar terbabit hingga hari ini. Bersama Harian Metro, saya banyak menerima anugerah dan penghargaan terutama karya yang menyentuh soal kepenggunaan melalui siri ‘Salesman’. Apa yang menarik, melalui khidmat saya di Harian Metro inilah menjadikan saya kartunis tempatan pertama yang karyanya disiarkan setiap hari dalam akhbar harian. Ada antara rakan kartunis saya memberitahu, tindakan saya menerima tawaran Harian Metro adalah suatu perkara ‘gila’ kerana saya perlu berkarya setiap hari. Tambah mereka lagi, sampai suatu tahap nanti, saya akan kekeringan idea. Bagi saya, ini hanya sebahagian cabaran yang perlu dihadapi apabila kita memilih bergiat dalam bidang ini. Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, ia tidak memberi tekanan kepada saya. Ini saya bekerja bersama rakan-rakan yang rata-ratanya sentiasa memberi sokongan dan memahami.

Apa pengalaman manis anda sepanjang menjadi kartunis?

Kartun saya pernah menjadi bahan dalam ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kartun berkenaan dijadikan contoh, untuk menegur sebuah persatuan tempatan berhubung masalah dalaman mereka. Kartun itu juga digunakan untuk bercakap mengenai isu membanteras gejala rasuah. Ketika itu, saya tidak sangka, ada juga pemimpin negara yang membaca kartun dan menjadikan ia bahan rujukan dalam ucapan.

Bagaimana anda menghadapi golongan yang memberi kritikan negatif terhadap karya anda?

Saya tidak ada masalah dengan kritikan. Ia lebih baik daripada kehadiran karya kita langsung tidak disedari. Di peringkat awal pembabitan saya dalam industri ini, kartun mempunyai ramai pengikut. Namun, kebanyakan ibu bapa tidak begitu bersetuju jika anak-anak mereka terlalu leka dengan bahan bacaan seperti ini. Berbeza dengan keadaan sekarang, apabila wujudnya pelbagai hiburan seperti permainan digital dan internet. Rata-rata ibu bapa merasa lebih baik anak-anak mereka menjadikan majalah humor sebagai bacaan sampingan daripada menghabiskan terlalu banyak waktu dengan permainan digital atau internet.

Bagaimana reaksi anda terhadap pendapat segelintir pihak yang mendakwa kartun sebagai hiburan yang tidak berfaedah?

Saya tidak nampak pula kartun ini tidak berfaedah dan merosakkan minda masyarakat. Malah, ia secara tidak langsung dapat memupuk tabiat membaca. Mungkin ketika usia muda, kebanyakannya lebih berminat membaca komik dan kartun. Tetapi apabila meningkat dewasa, tentu mereka akan beralih kepada bahan bacaan yang sesuai dengan peningkatan usia. Banyak perubahan yang dapat saya lihat sepanjang pengalaman saya dalam bidang ini. Sekarang, golongan kartunis tidak lagi diberi perhatian istimewa seperti suatu ketika dulu. Dulu kartunis dijemput hadir dalam pelbagai acara, diminta memberi ceramah dan sebagainya. Pembaca kartun zaman dulu juga cukup teruja untuk pergi ke acara yang membolehkan mereka melihat wajah dan berjumpa dengan kartunis yang diminati. Sekarang, banyak yang sudah berubah.

Menyaksikan naik turun industri kartun ini, pernah anda terfikir untuk meninggalkan karier ini?

Saya pernah nekad meninggalkan kerjaya ini pada 1988 hingga ‘membawa diri’ ke bidang perguruan. Sebagai guru, saya ditempatkan pula di Kuala Lumpur. Ini membuatkan saya masih berpeluang bertemu rakan-rakan yang bergiat dalam bidang ini. Jadi, tarikan dunia kartun masih dekat dengan saya. Ketika di maktab dan sewaktu bertugas sebagai guru, saya masih melukis kartun hingga saya kembali semula ke bidang ini lalu meninggalkan kerjaya guru pada 1998.

Dari mana anda memperoleh inspirasi berkarya?

Boleh dikatakan, saya jenis yang memerlukan ‘tekanan’ apabila hendak menghasilkan sesuatu karya. Apabila kurang tekanan yang diterima, susah juga saya hendak menjadi kreatif. Apabila tahu deadline yang diberi kepada saya singkat, lebih mudah dan cepat untuk saya melahirkan idea dan lukisan kartun. Sebab itulah, saya menetapkan deadline untuk diri saya sendiri selain deadline yang diberi syarikat akhbar. Melalui pembacaan isu-isu yang dipaparkan di akhbar, saya akan terus fikir sudut cerita yang perlu saya tampilkan. Proses ini agak sukar dan mengambil masa.

Apa kekuatan yang ada dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya?

Bagi Salesman, ia mudah untuk sampai kepada masyarakat. Ini kerana semuanya berlaku dalam kehidupan kita. Maksudnya, rata-rata kita sudah biasa bertemu dengan jurujual. Begitu juga dengan golongan yang bekerja dalam bidang jualan. Kadang kala mereka memberi maklum balas apabila terasa ada antara karya saya merujuk kepada mereka. Kebanyakan perkataan khusus dalam bidang jualan selalunya saya ambil daripada apa yang saya belajar dalam pertemuan dan perbincangan bersama mereka yang bekerja sebagai jurujual. Untuk siri Dialog Kota Raya pula, ia lebih bersifat kritikan sosial. Untungnya, karya saya disiarkan setiap hari jadi isu yang dipaparkan tidak basi. Tidak hairanlah, jika ada yang berpendapat, berkarya untuk akhbar harian lebih senang daripada akhbar mingguan.

Apa perubahan yang ditampilkan pada strok dan persembahan kartun anda dulu dan sekarang?

Tidak dinafikan, pada peringkat awal, saya mencuba pelbagai strok hinggalah bertemu dengan teknik yang dirasakan sesuai. Apabila sudah biasa, secara automatik kita akan melukis menggunakan strok yang sama dengan mudah. Secara tidak langsung strok ini akan menjadi identiti kita. Lazimnya, orang akan mengenali kita melalui strok yang dipaparkan.

Profil Nama : Mohd Desa Omar
Umur : 44 tahun
Tarikh Lahir : 18 Mei 1965
Asal : Batu Kurau, Perak

(SUMBER- B.HARIAN)

3 comments:

tembakau said...

Kartunis Juragan,

Saya membaca kartun kritikan sosial yang disiarkan akhbar Harian Metro 5/03/2010. Walaupun ini bukan ruang Juragan, namun saya ingin menyampaikan. Melalui ruangan kartun Salesman .. terlalu banyak perkara negatif yang saudara Juragan hamburkan. Seperti yang dipaparkan melalui tarikh akhbar yang saya nyatakan ... ingin saya katakan .. segalanya bermula dengan mimpi ... jadi Juragan .. tolong banyakkan membaca ... jadilah kartunis yang positif .. apa teruk sangat ker keje salesman ?? tadak masa depan ke salesman ? saya bukan salesman .. tapi saya hormat salesman kerana mereka ini istimewa .... tolonglah Juragan ... tolong jadi bijak .. thanks..

ray sharks said...

kepada juragan..
katun yg kamu lukis di akbar harian metro 27/01/2011 tu mmg mencermin kan yg kamu ni jahil agama!..kenapa kamu xdapat didikan agama ke semasa kamu kecil?ada salah ibu bapa kamu atau kerana mmg kamu ni yg jahil?bab hukum hakam jgn di bawa main2..adalah menjadi hak wanita muslimah untuk menjaga aurat..adakah anda ni bukan muslim seperti ketua MCA?atau pun kamu ni mmg suka memandang remeh ttg agama?berhibur pun jgn sampai menghina hukum hakam agama!!semoga kamu dapat hidayah dari Nya..

KUNYiiL said...

http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2011/01/biadap-akhbar-harian-metro-hina-islam.html meh gi sini