CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, January 29, 2010

GILA-GILA TERBARU!


Tuesday, January 26, 2010

KARTUNIS TEMBAKAU


Azhar pertahan hak cipta karya, papar cerita zaman sekolah.


APABILA menjadikan pengalaman sendiri sebagai bahan karya, mungkin ada yang menganggap ia tugas mudah. Mengapa tidak, luahkan saja semua peristiwa hidup yang selama ini tersimpan dalam kotak memori dan selitkan dalam karya. Realitinya, cabaran besar menanti kartunis yang cenderung menjadikan kisah hidup sebagai bahan tatapan peminat. “Antara cabarannya ialah bagaimana hendak menyampaikan cerita dengan berkesan tanpa mengguris hati individu yang wataknya ditampilkan dalam karya.


“Selain itu, kaedah ini sebenarnya menguji kesediaan kartunis berkongsi cerita dengan pembaca. Kemampuan mengolah cerita supaya masih ada ruang privasi kepada diri kartunis juga menjadi antara cabaran yang menanti,” kata kartunis Azhar Ahmad atau lebih popular dengan nama pena, Tembakau. Tembakau popular dengan siri kartun, Kartini yang pernah disiarkan majalah Lanun pada akhir 1990-an. Siri Kartini menampilkan ragam sekumpulan pelajar sekolah menengah agama berasrama. Watak utama, Ariyon atau Muhammad Asri digambarkan sebagai pelajar nakal dan menaruh hati kepada pelajar junior, Kartini.


Biarpun menghadapi pelbagai halangan, Ariyon tetap berusaha mengejar cinta Kartini. Selepas disiarkan dalam majalah Lanun, siri Kartini beberapa kali diterbitkan dalam bentuk koleksi. Terbaru, siri Kartini diterbitkan Syarikat PTS Millenia Sdn Bhd pada tahun lalu. Ketika ini, Tembakau masih aktif berkarya dan terbabit dalam beberapa produksi animasi tempatan. Mengimbas perjalanan kerjayanya, segala-galanya bermula ketika Tembakau bekerja sebagai animator di Kharisma Pictures bagi menerbitkan siri animasi, Usop Sontorian.


Namun, jiwa Tembakau lebih senang dengan tugas yang memberinya kebebasan untuk berkarya. Minatnya itu disedari majikan lalu Tembakau diberi tanggungjawab melakar ‘storyboard’ siri animasi, Usop Sontorian. Tembakau mula serius melukis kartun apabila bekerja dengan majalah Ujang. Kartunis Ujang mencadangkan beliau melukis kartun manakala rakan kartunis, Aie berkongsi tip menampilkan humor dalam karya. Pada peringkat awal, karya Tembakau kebanyakannya disiarkan di ruangan kartun loose dan ‘lawak antarabangsa’.


Tembakau juga cenderung menampilkan watak gadis bertudung dan pantas mencuri perhatian peminat. Tembakau kemudian mengikut Ujang meninggalkan majalah Ujang, lalu berkarya untuk majalah Lanun. Ketika inilah, siri Kartini diperkenalkan kepada peminat majalah humor itu.


Kisah terbaru, Tembakau sedang menghasilkan siri kartun yang masih bersandarkan pengalaman hidupnya. “Dalam siri cerita keluarga ini, saya paparkan insiden lucu dalam proses membesarkan anak-anak. Bagi saya, jika mereka yang membaca siri ini dapat mengesyorkan kepada anak-anak untuk membacanya, ia suatu penghormatan kepada saya,” katanya.


Mengapa agaknya anda menampilkan kisah Kartini sebagai karya utama?


Kata rakan saya, jika hendak memikat gadis, buatlah cerita mengenai dia. Inilah yang menjadi antara faktor yang mendorong saya menghasilkan siri Kartini. Siri ini adalah berdasarkan kisah benar. Tetapi tidaklah diceritakan semuanya 100 peratus. Dari segi watak, karakter dan jalan ceritanya diubah serba sedikit supaya kelihatan lebih menarik sebagai siri kartun. Bukanlah niat saya untuk memalukan sesiapa, cuma ingin berkongsi cerita dan pengalaman sendiri. Rupa-rupanya, apa yang diceritakan itu mempunyai persamaan dengan kisah yang dilalui kebanyakan orang ketika di bangku sekolah. Mungkin atas faktor itu, siri Kartini mendapat maklum balas yang baik daripada pembaca. Sekarang pun, ramai yang bertanya, bila sambungan siri Kartini akan diterbitkan. Dari situ, boleh dikatakan siri ini memberi kesan tersendiri di jiwa pembaca.


Apakah pengisian siri Kartini betul-betul berdasarkan pengalaman anda di sekolah dulu?


Pengisian dalam siri Kartini ini lebih kepada kombinasi kisah rakan-rakan ketika di sekolah dulu. Hendak jual karya yang 100 peratus jujur tidak boleh juga. Ia perlu ditambah dengan pelbagai elemen lain untuk menjadikan ia lebih menarik dibaca. Sebagai contoh, watak Muhammad Asri atau Ariyon mewakili diri saya dan perspektif saya sebagai individu yang melalui kisah yang diceritakan itu. Saya ‘warnakan’ karakter beliau dengan sifat yang tidak ada dalam diri saya suatu ketika dulu, tapi sikap berkenaan dapat menyerlahkan lagi watak Ariyon.


Apakah sukar bagi anda mengimbau kembali kenangan yang sudah lama ditinggalkan itu?


Apabila menetap di asrama selama lima tahun, bukanlah masalah besar untuk kita mengimbas kembali kenangan yang dilalui ketika zaman itu. Ibaratnya, apabila dipejamkan mata, setiap kenangan seakan berputar semula dalam fikiran. Maklumlah, kenangan pahit dan manis ketika zaman persekolahan biasanya akan dikenang sampai bila-bila.


Bagaimana reaksi rakan-rakan lama apabila siri Kartini diterbitkan?


Di kalangan rakan-rakan sekolah saya dulu, lebih ramai yang bertanya mengapa watak mereka tidak ditampilkan dalam siri ini. Sebenarnya, melalui tiga atau empat watak rakan Ariyon dalam siri Kartini, saya tampilkan perwatakan rakan-rakan saya secara keseluruhan. Jika hendak ditampilkan satu-satu, terlalu banyak pula watak yang terpaksa diwujudkan.


Apa pula reaksi gadis sebenar di sebalik watak Kartini?


Beliau nampaknya gembira dan faham karya yang dihasilkan bukanlah bertujuan memburukkan sesiapa. Kisah ini menggambarkan bagaimana pandangan seseorang lelaki terhadap wanita dan bagaimana lelaki itu berusaha memenangi hati wanita terbabit. ‘Kartini’ yang sebenar juga pernah menghadiri majlis pelancaran dan promosi koleksi siri Kartini. Ada antara rakan kartunis dapat meneka mana satu ‘Kartini’ ketika beliau hadir di majlis terbabit. Ketika itu, sebenarnya, masing-masing sudah meneruskan haluan hidup sendiri.


Karya anda masih lagi dapat diterbitkan walaupun anda tidak terikat dengan mana-mana syarikat penerbitan. Apa pandangan anda mengenai isu hak cipta karya seperti ini?


Disebabkan saya memegang hak cipta siri Kartini yang saya hasilkan ini, siri ini masih boleh diterbitkan di syarikat penerbitan lain. Ini secara tidak langsung membuatkan siri Kartini terus dikenali termasuk di kalangan generasi pembaca baru. Isu ini tertakluk kepada perjanjian antara kartunis dengan syarikat penerbitan tempat mereka bekerja. Kebanyakan perjanjian menyatakan bahawa karya kartunis akan menjadi hak milik syarikat penerbitan. Dalam kes saya, selepas meninggalkan majalah Ujang, saya disarankan untuk mendaftarkan hak cipta karya sendiri. Justeru, selepas terhentinya penerbitan majalah Lanun, karya saya masih boleh diterbitkan mana-mana syarikat penerbitan mengikut pilihan saya. Semua ini bergantung kepada kartunis itu sendiri. Sejauh mana mereka hendak melihat karya mereka berkembang. Bagi saya, semakin lama berada dalam industri ini, saya ingin karya saya menjadi lebih baik dan lebih berkembang melalui setiap aspek, contohnya bidang animasi atau filem. Seseorang kartunis wajar memperkayakan kebolehan mereka dan tidak membataskan kreativiti pada karya atas kertas saja. Sekurang-kurangnya, cuba mahirkan diri dengan bidang lain yang berkaitan seperti penerbitan animasi.


Bagaimana proses kerja yang biasa anda lalui?


Jika boleh, pada peringkat sekarang, saya hendak peruntukkan kira-kira empat jam saja sehari. Maklumlah, hidup berkeluarga, saya harus bijak membahagikan waktu - bukan seperti ketika muda-muda dulu, berkarya sehari suntuk pun tidak ada masalah. Sekarang, untuk lakaran saja, saya boleh siapkan kira-kira 14 muka surat dalam tempoh sejam setengah. Cuma untuk bahagian finishing saja yang selalunya mengambil masa agak lama. Biarpun ada yang mengatakan kerja yang membabitkan kreativiti ini tidak boleh ditentukan mengikut jadual, hakikatnya ia bergantung kepada fokus, disiplin dan kemampuan seseorang pengkarya. Kepuasan pula, bagi saya, akan diperoleh apabila kerja dapat disempurnakan. Ini boleh juga disifatkan sebagai proses kematangan dalam berkarya. Kematangan bukan saja boleh dilihat pada strok lukisan, bahkan sistem kerja kita.


Biodata:


Nama : Azhar Ahmad
Tarikh lahir : 29 Ogos 1972
Umur : 38 tahun
Asal : Kuala Kangsar, Perak
Blog : olehtembakau.blogspot.com
SUMBER: AKHBAR BERITA (OLEH: Diyanah Anuar)

Tuesday, January 5, 2010

KARTUNIS JURAGAN.

Bekas guru tampil kartun kritikan sosial memikat, bersahaja

SETIAP hari, karya tamu kolum Di Sebalik Nama ini ditatap pembaca akhbar Harian Metro. Isu yang menjadi perbualan masyarakat dan paparan berita akhbar tabloid itu menjadi topik watak kartun lakarannya dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya. Antara elemen ketara yang dapat dilihat dalam dua siri kartun popular itu ialah dialog lucu dan sinis yang ditampilkan pada watak kartun. Tidak hairanlah, ramai pengikut ternanti-nanti karya kartunis popular yang dikenali sebagai Juragan ini, saban hari.

Bagi yang mungkin tidak tahu, kartunis Mohd Desa Omar atau lebih popular dengan nama penanya, Juragan menyumbang kreativitinya untuk akhbar Harian Metro sejak awal penerbitan akhbar ini. Pembabitan Juragan dalam dunia kartun bermula sejak 1978 ketika beliau berusia 13 tahun. Ketika itu, Juragan mula berkarya secara sambilan untuk majalah Gila-Gila. Di majalah Gila-Gila, Juragan mendapat bimbingan kartunis tersohor, Rejabhad. Kemudian, apabila berusia 18 tahun, Juragan berkhidmat secara sepenuh masa sebagai penerbit di majalah Batu Api bersama kartunis Mishar.


Sebelum melukis kartun untuk akhbar Harian Metro, Juragan pernah menyepi seketika dari bidang ini. Beliau bertugas sebagai guru selama kira-kira 10 tahun sebelum kembali menjadi kartunis. Cerita Juragan, selama kira-kira 30 tahun menjadi kartunis, boleh dikatakan beliau sudah mencapai semua yang diimpikan. “Hendak menjadi kartunis sejak kecil, saya sudah capai. Kemudian saya menjadi penerbit, berkarya untuk majalah dan akhbar dan mendapat pengiktirafan... Semuanya sudah diperoleh setakat ini. “Apa yang tinggal sekarang ini hanya menunggu hendak bersara sajalah” katanya sambil tertawa.

Terbaru, Juragan terbabit dengan projek penerbitan buku sejarah berkonsep komik yang sudah siap kira-kira 90 peratus. Beliau berkata, projek ini lahir dari idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Projek ini bertujuan mendekatkan lagi rakyat dengan sejarah tempatan melalui medium komik. Kaedah ini dilihat lebih menarik dan berkesan. Dalam projek buku sejarah berkonsepkan komik ini, Juragan bertanggungjawab mengolah skrip dan meneliti lukisan untuk komik yang menggunakan khidmat tiga kartunis. Melalui buku yang dijangka siap tidak lama lagi ini, pembaca didedahkan dengan sejarah tanah air dari peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 hingga saat kemerdekaan negara pada 1957.


Pada suatu ketika, anda pernah menyepi daripada industri kartun. Apa sebabnya?

Pada 1988, ketika negara dilanda krisis ekonomi, saya memohon memasuki maktab perguruan. Bukannya saya tidak serius untuk menjadikan kartunis sebagai kerjaya, cuma keadaan industri pada waktu itu tidak begitu stabil hingga banyak syarikat penerbitan terpaksa gulung tikar. Sehubungan itu, saya perlu mencari pekerjaan yang lebih stabil. Saya sempat bergelar guru kira-kira 10 tahun dan sambil mengajar, saya masih lagi menyumbang karya untuk akhbar terbitan Berita Harian Sdn Bhd, Berita Minggu.

Ceritakan serba sedikit pengalaman anda bekerja bersama Harian Metro?

Sebelum akhbar Harian Metro dilancarkan pada 1991, saya diundang melukis kartus untuk akhbar terbabit hingga hari ini. Bersama Harian Metro, saya banyak menerima anugerah dan penghargaan terutama karya yang menyentuh soal kepenggunaan melalui siri ‘Salesman’. Apa yang menarik, melalui khidmat saya di Harian Metro inilah menjadikan saya kartunis tempatan pertama yang karyanya disiarkan setiap hari dalam akhbar harian. Ada antara rakan kartunis saya memberitahu, tindakan saya menerima tawaran Harian Metro adalah suatu perkara ‘gila’ kerana saya perlu berkarya setiap hari. Tambah mereka lagi, sampai suatu tahap nanti, saya akan kekeringan idea. Bagi saya, ini hanya sebahagian cabaran yang perlu dihadapi apabila kita memilih bergiat dalam bidang ini. Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, ia tidak memberi tekanan kepada saya. Ini saya bekerja bersama rakan-rakan yang rata-ratanya sentiasa memberi sokongan dan memahami.

Apa pengalaman manis anda sepanjang menjadi kartunis?

Kartun saya pernah menjadi bahan dalam ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kartun berkenaan dijadikan contoh, untuk menegur sebuah persatuan tempatan berhubung masalah dalaman mereka. Kartun itu juga digunakan untuk bercakap mengenai isu membanteras gejala rasuah. Ketika itu, saya tidak sangka, ada juga pemimpin negara yang membaca kartun dan menjadikan ia bahan rujukan dalam ucapan.

Bagaimana anda menghadapi golongan yang memberi kritikan negatif terhadap karya anda?

Saya tidak ada masalah dengan kritikan. Ia lebih baik daripada kehadiran karya kita langsung tidak disedari. Di peringkat awal pembabitan saya dalam industri ini, kartun mempunyai ramai pengikut. Namun, kebanyakan ibu bapa tidak begitu bersetuju jika anak-anak mereka terlalu leka dengan bahan bacaan seperti ini. Berbeza dengan keadaan sekarang, apabila wujudnya pelbagai hiburan seperti permainan digital dan internet. Rata-rata ibu bapa merasa lebih baik anak-anak mereka menjadikan majalah humor sebagai bacaan sampingan daripada menghabiskan terlalu banyak waktu dengan permainan digital atau internet.

Bagaimana reaksi anda terhadap pendapat segelintir pihak yang mendakwa kartun sebagai hiburan yang tidak berfaedah?

Saya tidak nampak pula kartun ini tidak berfaedah dan merosakkan minda masyarakat. Malah, ia secara tidak langsung dapat memupuk tabiat membaca. Mungkin ketika usia muda, kebanyakannya lebih berminat membaca komik dan kartun. Tetapi apabila meningkat dewasa, tentu mereka akan beralih kepada bahan bacaan yang sesuai dengan peningkatan usia. Banyak perubahan yang dapat saya lihat sepanjang pengalaman saya dalam bidang ini. Sekarang, golongan kartunis tidak lagi diberi perhatian istimewa seperti suatu ketika dulu. Dulu kartunis dijemput hadir dalam pelbagai acara, diminta memberi ceramah dan sebagainya. Pembaca kartun zaman dulu juga cukup teruja untuk pergi ke acara yang membolehkan mereka melihat wajah dan berjumpa dengan kartunis yang diminati. Sekarang, banyak yang sudah berubah.

Menyaksikan naik turun industri kartun ini, pernah anda terfikir untuk meninggalkan karier ini?

Saya pernah nekad meninggalkan kerjaya ini pada 1988 hingga ‘membawa diri’ ke bidang perguruan. Sebagai guru, saya ditempatkan pula di Kuala Lumpur. Ini membuatkan saya masih berpeluang bertemu rakan-rakan yang bergiat dalam bidang ini. Jadi, tarikan dunia kartun masih dekat dengan saya. Ketika di maktab dan sewaktu bertugas sebagai guru, saya masih melukis kartun hingga saya kembali semula ke bidang ini lalu meninggalkan kerjaya guru pada 1998.

Dari mana anda memperoleh inspirasi berkarya?

Boleh dikatakan, saya jenis yang memerlukan ‘tekanan’ apabila hendak menghasilkan sesuatu karya. Apabila kurang tekanan yang diterima, susah juga saya hendak menjadi kreatif. Apabila tahu deadline yang diberi kepada saya singkat, lebih mudah dan cepat untuk saya melahirkan idea dan lukisan kartun. Sebab itulah, saya menetapkan deadline untuk diri saya sendiri selain deadline yang diberi syarikat akhbar. Melalui pembacaan isu-isu yang dipaparkan di akhbar, saya akan terus fikir sudut cerita yang perlu saya tampilkan. Proses ini agak sukar dan mengambil masa.

Apa kekuatan yang ada dalam siri Salesman dan Dialog Kota Raya?

Bagi Salesman, ia mudah untuk sampai kepada masyarakat. Ini kerana semuanya berlaku dalam kehidupan kita. Maksudnya, rata-rata kita sudah biasa bertemu dengan jurujual. Begitu juga dengan golongan yang bekerja dalam bidang jualan. Kadang kala mereka memberi maklum balas apabila terasa ada antara karya saya merujuk kepada mereka. Kebanyakan perkataan khusus dalam bidang jualan selalunya saya ambil daripada apa yang saya belajar dalam pertemuan dan perbincangan bersama mereka yang bekerja sebagai jurujual. Untuk siri Dialog Kota Raya pula, ia lebih bersifat kritikan sosial. Untungnya, karya saya disiarkan setiap hari jadi isu yang dipaparkan tidak basi. Tidak hairanlah, jika ada yang berpendapat, berkarya untuk akhbar harian lebih senang daripada akhbar mingguan.

Apa perubahan yang ditampilkan pada strok dan persembahan kartun anda dulu dan sekarang?

Tidak dinafikan, pada peringkat awal, saya mencuba pelbagai strok hinggalah bertemu dengan teknik yang dirasakan sesuai. Apabila sudah biasa, secara automatik kita akan melukis menggunakan strok yang sama dengan mudah. Secara tidak langsung strok ini akan menjadi identiti kita. Lazimnya, orang akan mengenali kita melalui strok yang dipaparkan.

Profil Nama : Mohd Desa Omar
Umur : 44 tahun
Tarikh Lahir : 18 Mei 1965
Asal : Batu Kurau, Perak

(SUMBER- B.HARIAN)

Saturday, January 2, 2010

KINI DIPASARAN GILA-GILA 707