CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 29, 2010

KARTUNIS MIE BURGER


GELARAN Mie Burger diberi kepada kartunis ini kerana selain berkarya, beliau juga membuka gerai burger. Malah, subjek kartun yang dipaparkannya dalam karya berkisar pengalaman berniaga.Kisah ragam manusia, kerenah pelanggan dan situasi berdepan agensi penguat kuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah dipaparkan dalam siri Burger Corner yang dihasilkan Mie Burger atau nama sebenarnya, Ahmad Fadlullah Suhaimi, 53.


Mie Burger yang pernah berkarya dengan majalah humor seperti Mat Jenin, Gelihati dan Batu Api, bukan saja memiliki bakat dan kemahiran melukis kartun malah berjiwa usahawan.


Tidak hairanlah, ketika menjadi kartunis dulu, Mie Burger sempat meluangkan waktu rehat tengah hari untuk membuka gerai burger selama sejam atau dua jam. Habis waktu pejabat, beliau singgah ke Pasar Seni pula untuk menguruskan gerai kemeja-T yang diusahakannya.“Saya seorang business minded. Apa saja perkara yang saya lihat boleh menjana wang, saya akan ambil peluang hingga ada rakan memberitahu, jika diberi pen dan kertas, saya akan mencurahkan kreativiti dan ‘membuat duit’ daripadanya,” kata Mie.


Begitulah kecenderungan Mie Burger hingga hari ini. Biarpun tidak lagi menjual burger atau berkarya sebagai seorang kartunis, Mie Burger mengembangkan perniagaan rekaan dan cetakan kemeja-T yang dikendalikannya. Selain itu, beliau turut menganjurkan kursus bagi mereka yang ingin mempelajari teknik rekaan, cetakan dan perniagaan kemeja-T.Seperti yang ditampilkan ketika menjadi kartunis sepenuh masa, Mie Burger masih mengekalkan konsep karya berunsur positif serta memberi motivasi kepada khalayak. “Dalam siri Burger Corner, saya selalu menerapkan idea yang dapat memberi sesuatu yang positif kepada individu yang membacanya. Ini sama ada secara langsung atau tidak.“Ketika menghasilkan kemeja-T pula, saya lebih suka kemeja-T yang tertera kata-kata hikmat yang memberi inspirasi dan motivasi kepada si pemakai atau mereka yang membaca kata-kata itu.“Bagi saya, tidak mengapa jika pengkarya tidak dapat memberikan sesuatu yang positif, namun elak daripada menghasilkan sesuatu yang bersifat negatif,” katanya.


Bagaimana anda memilih subjek atau cerita yang ingin diketengahkan dalam karya?


Saya sering menggunakan pengalaman sendiri dan kisah benar yang berlaku di sekeliling setiap hari. Untuk siri Burger Corner, saya gunakan kisah yang berlaku ketika berniaga burger dan paparkannya dalam karya.Saya tidak pandai mereka-reka cerita ataupun fantasi untuk dijadikan subjek dalam karya, jadi saya tampilkan kisah realiti. Siri Burger Corner secara tidak langsung adalah gambaran kisah anda sendiri sebagai pengusaha gerai burger.


Adakah ia memberi kelebihan bagi anda untuk mendapatkan idea dalam berkarya?


Itu saya tidak nafikan. Oleh kerana saya memaparkan kisah penjual burger yang sebenarnya menyentuh diri sendiri, saya tidak menghadapi masalah mendapatkan idea untuk siri ini.Saya tidak perlu menanti idea untuk datang kerana sentiasa saja ada idea. Malah terlalu banyak hingga saya terpaksa simpan dulu untuk keluaran akan datang. Selain gerai burger, saya juga banyak menjadikan sitkom di televisyen sebagai rujukan dalam berkarya.


Anda sering mendapat idea ketika berada di luar daripada tempat anda berkarya. Jadi, setiap kali anda memperoleh idea, bagaimana anda menyimpannya sebelum ia dapat diluahkan dalam karya?


Saya mempunyai cara tersendiri untuk merekodkan idea yang saya peroleh. Dulu, saya menaiki bas untuk ke sana-sini. Saya akan sentiasa bersedia dengan pen bersama saya setiap waktu dan saya juga sentiasa menyimpan tiket bas di dalam poket.Setiap kali memperoleh idea, saya akan mencatatkannya di atas tiket bas dan menyimpannya di atas meja tempat saya berkarya.


Boleh kongsikan pengalaman sebenar anda yang anda tampilkan dalam karya yang anda masih ingat sehingga kini?


Ada satu pengalaman lucu, dulu-dulu, rakan saya pernah berpesan, kalau kita ternampak duit yang tercicir di atas jalan, kita perlu jatuhkan wang kita berdekatan wang berkenaan supaya selepas itu, kita boleh mengaut kedua-duanya (duit tercicir dan duit sendiri) tanpa dipandang serong orang lain.Suatu hari, saya terjumpa syiling 20 sen ketika berjalan-jalan. Jadi, dalam usaha untuk mengambilnya, saya jatuhkan wang syiling 50 sen saya. Malangnya, wang saya itu bergolek dan jatuh ke dalam longkang bertutup. Akhirnya, saya rugi 30 sen semata-mata mengikut ‘amalan’ karut ini. Saya pernah paparkan cerita kartun ini dalam sebuah siri kartun loose.Baik dalam kerjaya sebagai kartunis dan juga perniagaan yang anda jalankan sekarang ini,


Adakah keuntungan yang menjadi dorongan utama bagi anda?


Ketika kartunis menjadi pekerjaan tetap manakala perniagaan burger dan kemeja-T dijadikan sumber pendapatan sampingan, saya menggunakan bakat yang saya ada untuk menjana pendapatan.Di luar tanggungjawab sebagai kartunis, saya memanfaatkan kreativiti untuk menghasilkan produk yang boleh dijual. Bagi saya, mengapa kita perlu serahkan hasil kerja kreatif kita kepada pihak lain dan membiarkan mereka yang mendapat untung lebih daripada kita, sedangkan kita boleh menjualnya sendiri dan menikmati keuntungan sepenuhnya?Apa yang saya pelajari dan amalkan dulu, saya manfaatkan dalam menguruskan perniagaan saya. Namun, selain berniaga, saya ingin melakukan sesuatu yang memberi manfaat berpanjangan kepada diri sendiri dan masyarakat. Sebab itulah, saya memilih menghasilkan karya dan produk yang memberi mesej positif.


Untuk produk kemeja-T yang dihasilkan, bagaimana anda memperoleh kata-kata semangat yang ditampilkan di atas kemeja-T?


Saya bersyukur kerana saya sentiasa sensitif dalam perkara yang membabitkan motivasi dan inspirasi ini. Kadangkala, kata-kata semangat yang dipaparkan dipetik daripada ucapan seseorang, tidak kisah sama ada beliau seorang yang berpengaruh ataupun orang biasa.Kata-kata semangat ini juga ada yang datangnya dari pemerhatian saya dalam kehidupan. Bagaimana saya melihat sesuatu perkara, saya terjemahkannya dalam bentuk kata-kata semangat begini. Pada pendapat saya, anda tidak perlu menjadi seorang guru untuk mendidik orang lain, dengan cara ini juga anda boleh berkongsi sesuatu yang baik.


Selepas sekian lama meninggalkan dunia kartunis, tidakkah anda terfikir untuk berkarya semula?


Sekarang, saya tidak terasa untuk kembali berkarya dalam bidang kartun. Industri kartun tempatan pun nampaknya tidak dalam keadaan yang dapat memberi jaminan jika saya ingin berkarya semula.Namun, saya masih melukis kartun lagi, khususnya bila ada tempahan kemeja-T yang memerlukan saya melukis watak kartun bersama-sama kata-kata semangat. Saya juga masih berhubung dengan rakan kartunis dan apabila berkesempatan, memberi sokongan jika ada acara yang berkaitan dengan industri kartun tempatan.Sekarang, saya ingin memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan dan bercadang melatih lebih ramai individu yang berminat dalam perniagaan ini mengusahakan bisnes sendiri.


Profil


Nama: Ahmad Fadlullah Suhaimi

Tarikh lahir: 12 Oktober 1957

Umur: 53 tahun

Asal: Serdang, Kedah



SUMBER: BHARIAN

0 comments: