CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, August 15, 2009

PAMERAN KARYA ASAL DATUK LAT-Kartun Lat papar 1Malaysia






DR MAHATHIR diiringi (dari kiri) Anthony Firdauz, Zainul Arifin dan Mohamed Jawhar mendengar penerangan Lat mengenai pameran sempena Hari Kemerdekaan Ke-52 di Bangsar.


Peminat koleksi kartun Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat kini berpeluang untuk melihat sendiri karya asal kartunis terkenal itu yang bakal dipamerkan di Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC) sempena sambutan kemerdekaan.

Sebanyak 60 koleksi karya asal kartunis sebelum disiarkan menerusi akhbar New Straits Times (NST) itu dipamer di ruang legar BSC hasil kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Bandar Raya Developments Berhad (BRDB).

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohammed Isa, berkata pameran berakhir sehingga 31 Ogos itu akan memaparkan kepelbagaian hasil kerja Lat yang seiring dengan semangat satu Malaysia.

Memulakan lakaran pertamanya pada 1974, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat bukan lagi nama asing kepada peminat kartun tempatan, bahkan terus memberi sumbangan kepada pendidikan bagi generasi muda melalui karyanya. Sempena kedatangan Hari Kemerdekaan Ke-52, The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP) dan Bandar Raya Development Berhad (BRDB) menganjurkan pameran Lat’s Malaysia Exhibition di Bangsar Shopping Centre sehingga 31 Ogos ini. Pameran dirasmikan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP; Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohamed Isa; Pengerusi BRDB; Datuk Mohamad Moiz dan Pengarah Eksekutif BRDB, Datin Seri Bettina Khan.


Menampilkan lebih 60 karya asal Lat, pameran yang memberikan tumpuan khusus kepada memantapkan Gagasan 1Malaysia itu memberikan peluang kepada generasi muda mendekati dan memahami lebih mudah mengenai sosiobudaya dan suasana politik tempatan. Dr Mahathir dalam ucapan perasmiannya, menyifatkan penyampaian mesej lebih mudah diterima melalui lakaran dihasilkan kartunis dan memberikan kesan lebih mudah. “Generasi muda ini lebih senang dididik melalui medium yang dekat dengan mereka. Melalui hasil lakaran kartunis ini, banyak mesej boleh disampaikan secara ringan tapi mempunyai impak tersendiri.

Pameran seperti ini jelas menunjukkan betapa banyaknya elemen 1Malaysia yang sebenarnya sudah wujud sekian lama di sekeliling kita. Kesepakatan inilah yang dihasilkan melalui pelbagai cara seperti melalui bidang sukan dan inilah sebenarnya wajah kita (Malaysia) yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Bagi Lat sendiri, pengalaman dikutip sepanjang lebih 40 tahun menghasilkan karya memberikan kesedaran kepadanya untuk melihat lebih ramai generasi muda memahami realiti di sekeliling mereka. “Banyak benda berlaku dalam Malaysia sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini. Ia semua saya luahkan melalui lakaran sebagai catatan peribadi saya terhadap negara tercinta. Mendidik generasi muda memahami betapa uniknya kita hidup di Malaysia ini bukan tugas mudah. “Atas sebab itu, pameran ini mahu menjadi medan terbaik menggalakkan semangat perpaduan, meningkatkan rasa patriotik serta mendedahkan kepada generasi muda mengenai kekayaan budaya Malaysia,” katanya.

Mohamad Moiz pula menyatakan komitmen syarikat itu untuk meneruskan kerjasama dengan NSTP untuk masa akan datang dalam menganjurkan pameran seperti itu. “BRDB memulakan kerjasama pertama dengan NSTP pada 2005 menganjurkan pameran bersempena Hari Kemerdekaan. Kami sentiasa komited dan selesa dengan kerjasama ini serta sentiasa berharap dapat meneruskannya,” katanya. Selain melihat sendiri karya Lat, pengunjung juga berpeluang membeli buku ‘Lat The Early Series’ terbitan Pusat Sumber NSTP serta baju-T dan beg edisi terhad. Pameran kali ini mensasarkan lebih 10,000 pengunjung dan tidak mustahil dicapai berdasarkan sambutan diterima pada pameran yang menggunakan pendekatan sama tahun lalu.


Sumber : Bharian dan metro.

1 comments:

Unknown said...

i really wana be there...yup,insyaAllah...