CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, November 14, 2008

UJANG - OTAI KARTUN











BUNYINYA janggal mendukung nama Ibrahim Anon, yang pasti aura personaliti ini terserlah dengan nama penanya - Ujang! Dekati insan kreatif ini dan kongsi dunia fantasi... SELAMA lebih 25 tahun mencipta fenomena dalam dunia kartun tempatan, Ujang tidak perlu diperkenalkan lagi. Watak kartun yang dicetuskan personaliti ini membesar seiring kelompok peminatnya sendiri. Selama tempoh itu jugalah nama Ujang dekat di hati peminat dan rakyat Malaysia. Watak kartun lakaran kartunis tersohor ini iaitu Ujang, Atuk, Din Beramboi sehinggalah Usop Sontorian mekar subur hingga peminat ciliknya terus setia menantikan kemunculan setiap watak dalam meniti alam kedewasaan.
Kesempatan bertemu otai kartunis ini di pejabat Creative Enterprise Sdn Bhd yang menerbit majalah humor terkenal, Gila-Gila, XY - Ikon Lelaki berkongsi cerita suka duka Ujang dalam mencurah keringat seni. Ketepikan sebentar episod perit, kami ingin membawa pembaca menyelami sendiri karektor Ujang. "Selagi saya masih mampu memegang pen untuk melukis, selagi itulah saya akan meneruskan minat saya dalam dunia kartun," ungkap Ujang memberi makna cukup mendalam dalam legasi perjuangan seni humor tanah air. Ujang yang menginjak usia 43 tahun, tidak menganggap faktor usia sebagai penghalang menggapai misinya. Semangatnya terus berkobar saat kali pertama beliau memperkenalkan lakaran kartun setebal 24 muka surat bertajuk, Hikayat Ujang Senang tatkala bertemu Ketua Pengarang Gila-Gila, Jaafar Taib di pejabat Creative Enterprise Sdn Bhd pada awal 1980-an.
Pada usia 17 tahun ketika itu, Ujang tidak terfikir watak 'Ujang' mampu mencetus fenomena tersendiri buat peminat majalah humor terkenal itu. Sambil membuka rahsia, watak Ujang itu lahir dalam dirinya waktu membesar sebagai anak Minang dengan pegangan kuat adat pepatih di Negeri Sembilan. Baginya, watak yang cuba disampaikan dalam visual humor itu sama dirasai masyarakat - baik dari segi gaya hidup, budi bahasa dan persekitaran yang secara tidak langsung meletakkan karektor itu lebih dekat di hati pembaca.
"Mulanya secara suka-suka kerana saya tidak mendapat bimbingan secara profesional kecuali di sekolah menengah dalam dunia seni lukis. Dari zaman sekolah, memang saya suka melukis kartun. "Watak Ujang Senang sendiri wujud ketika saya di bangku sekolah lagi," akui Ujang yang pada saat kegemilangannya bergelar jutawan pada usia 30 tahun. Bersama XY - Ikon Lelaki, Ibrahim Ujang membuka ruang lebih dalam untuk diteroka mengenai perjuangan seni kartun dan harapannya meneruskan legasi kartun di Malaysia.
Apa perkembangan terkini Ujang?
Saya kembali berkarya di majalah Gila-Gila kira-kira tiga tahun lalu. Pada masa sama, saya menghasilkan drama televisyen Aku Budak Minang, Atuk dan Aca. Saya juga sibuk menjadi salah seorang anggota panel projek Sekolah Seni anjuran Kementerian Pelajaran membabitkan pelajar sekolah menengah. Selain itu, saya juga mengendalikan perkhidmatan bot bagi kaki pancing di Tasik Kenyir.
Sepanjang lebih 25 tahun berkarya, apakah bidang kartunis ini memberi kepuasan kepada Ujang?
Dunia kartun seiring perkembangan seni visual. Kalau hendak diikutkan, dulu ketika zaman muda-muda dulu memang cukup terkenal bergelar kartunis dan hampir setiap hari saya tanda tangan autograf peminat. Tetapi, tidaklah pada usia 43 tahun sekarang (tergelak). Saya tidak rasa ia kerjaya glamor, tetapi seronoknya apabila karya kita diterima umum.
Apakah karektor pertama anda cipta dan kekuatan karektor itu dalam hidup anda?
Ujang adalah karektor pertama saya perkenalkan dalam dunia humor di majalah Gila-Gila. Sebenarnya watak Ujang mewakili diri saya yang membesar sebagai anak Minang. Boleh dikatakan 80 peratus daripada jalan cerita Ujang datang daripada pengalaman saya hari-hari.
Bagaimana penerimaan keluarga dan teman-teman dengan minat Ujang melukis?
Biasalah, pada era 1980-an ada persepsi negatif terhadap pelukis. Bidang ini dikatakan tidak mempunyai masa depan dan membuang masa. Tetapi, ketika di sekolah, cikgu tidak pula membantah dan memberikan dorongan. Apabila diterima masuk bekerja di majalah Gila-Gila sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), orang tua saya tidak berkata apa-apa. Kiranya bersetujulah!
Kenapa agaknya karektor Ujang itu kuat diterima umum?
Ia berbalik kepada senario masyarakat kita sendiri. Watak Ujang itu sendiri kalau kita hayati, dia seorang budak kampung yang nakal, suka berjenaka, berjoget lambak dan membesar dalam suasana kampung. Jadi apabila berada di kota, Ujang seakan mengalami kejutan budaya. Tidak dinafikan yang ramai juga remaja di luar sana yang melalui detik sebegini secara tidak langsung menjadi lebih dekat dengan diri sendiri.
Senario dunia kartun di Malaysia mengikut pandangan Ujang?
Saya berharap yang kerajaan terus menyokong program penggiat seni dalam dunia kartun di Malaysia. Usaha kerajaan melalui program Sekolah Seni contohnya sangat bagus untuk melahirkan generasi baru yang mampu menghangatkan dunia kartun di negara ini.
Mampukah pelukis kartun di Malaysia menjadi kaya?
Saya mengumpul RM1 juta pertama ketika berusia 30 tahun sebelum timbul masalah membabitkan hak penerbitan watak Ujang... Minat dan bakat harus seiring untuk serius dalam dunia kartun.
Terangkan prinsip hidup Ujang?
Saya tidak pula mempunyai prinsip tertentu. Bagi saya cukup mudah, buat kerja dan melukis.
Sampai bila mahu berkarya?
Selagi terdaya dan tangan ini masih lagi boleh melukis, selagi itulah saya akan terus berkarya. Saya tidak melihatnya sebagai suatu masalah kerana saya sendiri pernah bertemu dengan seorang pelukis dari Jepun yang sudah berusia lebih 70-an tetapi masih gagah untuk melukis. Dia sendiri terkejut kerana saya mempunyai lima buku skrip kartun yang baginya sesuatu yang luar biasa.
Tidakkah mahu membentuk karektor baru untuk disesuaikan dengan persekitaran kini?
Karektor baru tidak semestinya mampu membangkitkan suasana baru tetapi watak sedia ada itu sendiri boleh disesuaikan dengan perkembangan semasa seperti permainan video PS2 dan peralatan teknologi maklumat (IT) yang boleh mendampingi watak atau karektor kartun. Bagi saya, penting untuk mengekalkan watak sedia ada yang semestinya evergreen tetapi disesuaikan dengan persekitaran semasa.
Bagaimana dengan dunia animasi pula?
Projek animasi Usop Sontorian pernah cuba untuk disiarkan tetapi atas sebab tertentu projek itu tidak dapat direalisasikan. Bayangkan ketika itu ada 100 pelukis animasi dan akhirnya terpaksa dibubarkan kerana kekurangan sumber kewangan. Tetapi, hari ini perkembangannya jauh lebih baik dan saya sendiri dapat merasakan kehangatannya.
Adakah anak-anak mengikut jejak bakat Ujang dalam dunia kartun ini?
Setakat ini anak sulung saya, Mohd Syafiq mengikuti jurusan animasi di Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) dan muncul pelajar terbaik dalam bidang itu.
Harapan Ujang dalam dunia kartun?
Selama lebih 25 tahun dalam bidang ini, adalah menjadi harapan saya untuk membantu generasi muda yang minat dalam dunia kartun dan memastikan mereka meneruskan kesinambungan ini. Inilah yang menjadi keutamaan saya selain memastikan dunia seni ini tidak terpinggir daripada kehangatan dunia hiburan. Memang kesal juga apabila bidang seni lukis ini seolah-olah terpinggir serta tidak diberi perhatian.
Biodata Nama: Ibrahim Anon
Nama Komersial: Ujang
Umur: 43 tahun
Tarikh lahir: 18 Oktober 1965
Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Info sikit tentang Ujang

Ujang mula berkarya pada usia 17 tahun di majalah Gila-Gila
Ujang berkhidmat bersama majalah Gila-Gila hampir 10 tahun (1984-1993) sebelum berkarya semula sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Antara karya ciptaan Ujang yang popular ialah Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian.
Ujang juga menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir dan Fiona.
Pernah menubuhkan majalah humor, Ujang.
Sepanjang lebih 25 tahun berkarya, Ujang melalui pelbagai suka duka bergelar anak seni.
Ujang masih lagi meneruskan legasi dunia kartun sebagai Pengurus Promosi di Creative Enterprise Sdn Bhd.
Karya tersohornya, Atuk masih boleh dihayati sehingga kini di majalah Gila-Gila.
Ujang mengenai....
1. Ujang - Budak remaja yang lahir daripada suku Minang dan mengamalkan adat Pepatih di Negeri Sembilan. Dia nakal, suka berjenaka dan mengalami kejutan budaya dengan kemajuan di kota. Tetapi dia masih lagi terdidik sebagai anak muda kampung.
2. Din Beramboi - Saya mula mengenali karektor ini ketika mengikuti pengajian seni halus di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1987. Saya mendapat kaset daripada pelajar jurusan psikologi mengenai seorang lelaki sakit jiwa dari Klang Selangor. Bermula daripada situlah saya menghidupkan wataknya sehingga watak itu mencetuskan fenomena suatu ketika dulu.
3. Atuk - Watak ini sebagai pelengkap karektor Ujang dan pengaruhnya besar dalam hidup Ujang.

SUMBER:
Aku budak Minang
Oleh Fairuz Zaidan fairuzaidan@bharian.com.my
BERITA HARIAN

3 comments:

ainzoo said...

Tahniah...anda sememangnya Otaiku. Aku ikut seme citer dari GilaGila, Ujang, Lanun...Semenya best belaka.
Aku tak membesar bagai johan macam iklan susu tu..tapi aku membesar bersama majalah katun nih...sukeee sangat. Kipidap bro!

Jonjenin said...

elok la tu ainzoo..jgn minum susu bbyk sgt..ada melamin ...karang mati keas je hehe..

Teruskan sokongan anda thadap industri kartun tempatan beb! kipidap!!!

P'su said...

salam berkunjungan..