Tuesday, September 29, 2009
Tuesday, September 22, 2009
Din Teksi Popularkan Nan.
NAN menunjukkan koleksi karya yang masih diminati hingga hari ini.
Suka duka Nan cipta kemasyhuran sebagai kartunis tersohor"SAYA masih ingat, ketika menjadi kartunis dulu, setiap kali menjelang raya, pasti ada dua tiga beg besar berisi kad raya yang dikirim peminat. Sampai saya tidak sempat melihat satu persatu, lebih-lebih lagi membalasnya kerana terlalu banyak kad ucapan diterima. “Selalunya, rakan sepejabat yang membaca semua kad itu. Tetapi selalu saya berpesan pada mereka, usah menyamar menjadi saya untuk berhubung dengan peminat.
“Masalahnya, entah bagaimana ada juga yang menyamar dan melayan surat atau kad ucapan yang dikirim peminat,” kata kartunis Zainal Osman atau lebih dikenali dengan nama penanya, Nan mengenang zaman kemasyhurannya dulu.
Terus bercerita, Nan teringat insiden berdepan seorang gadis yang datang ke pejabat dengan ditemani ibu, untuk bertemu lelaki yang dikenalinya sebagai ‘Nan’.
“Ketika saya turun, saya nampak gadis itu menangis hendak berjumpa Nan. Apa yang pelik, gadis itu mendakwa tidak mengenali saya biarpun saya betul-betul di depan beliau.
“Pengawal keselamatan beria-ia memberitahu sayalah kartunis Nan, tapi gadis itu tetap kata bukan... Rupa-rupanya ada yang menyamar jadi saya dan berkenalan dengan gadis itu hingga dia datang ke pejabat mencari ‘Nan’. “Tak tahulah saya, berapa ramai lagi yang menjadi mangsa... Sampai sekarang, saya tak tahu siapa yang menyamar menjadi diri saya,” katanya. Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan. Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.
Mengenang detik awal menuntut di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara), Nan mengakui pada mulanya beliau ingin mengikuti jurusan grafik pengiklanan tetapi akhirnya ‘tercampak’ dalam jurusan seni halus. “Namun, saya meneruskan pengajian dan selepas tamat, nekad menceburi bidang grafik pengiklanan,” katanya. Pada masa sama, kata Nan, beliau menghantar karya kartunnya ke majalah Gila-Gila. Dari situ, bakat Nan dikesan Utusan Melayu yang mengundang Nan menghasilkan kartun untuk akhbar terbitannya secara tetap. Hampir enam bulan juga Nan berfikir untuk menerima tawaran itu. Puas berfikir, Nan menerima tawaran itu dan masih menyumbang kepada majalah Gila-Gila secara sambilan menggunakan nama pena, Nonama. Selepas 10 tahun bersama Utusan Melayu, Nan tergerak hati bekerja sendiri. Lalu, beliau dan beberapa rakan kartunis lain menerbitkan majalah humor Batu Api hingga beberapa tahun kemudian mengalih tumpuan kepada bidang pengiklanan. Cerita Nan, sudah hampir 20 tahun beliau tidak melukis kartun kerana lebih tertumpu kepada tugasan grafik pengiklanan bagi syarikat swasta dan institusi perbankan tempatan. Cuma, kadang-kala, apabila ada permintaan, beliau kembali melakar kartun.
Ditanya apakah beliau tidak berminat menyambung semula legasi kartunnya, Nan berkata, beliau masih menimbangkannya.
Dekati personaliti ini dan kongsi suka duka hidup kartunis Nan bersama kolum Di Sebalik Nama...
Sudah hampir 20 tahun anda tidak menghasilkan kartun di akhbar atau majalah, apa perkembangan terkini anda?
Sekarang, saya lebih tertumpu kepada kerja membabitkan pengiklanan. Ini meliputi kerja rekaan grafik, ilustrasi dan penerbitan. Sudah lama saya membabitkan diri dalam kerja begini. Sejak berhenti melukis kartun, saya tubuhkan sebuah syarikat grafik pengiklanan yang beroperasi kira-kira 10 tahun tetapi disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja, syarikat terpaksa ditutup. Lalu saya terus membuat kerja dari rumah.
Mengapa anda beralih dari kartun ke bidang pengiklanan?
Inilah minat saya sebenarnya. Lagipun, saya fikir ketika itu, sudah tiba tahap atau high time untuk saya (terus berkecimpung) dalam melukis kartun. Sudah tiba masanya untuk generasi baru bergiat dalam bidang ini, lagipun bilangan kartunis semakin ramai.
Boleh anda ceritakan, bagaimana timbul idea mencipta watak untuk siri Ayop Anak Tulakang dalam majalah Gila-Gila?
Itu memang dihasilkan khusus untuk majalah Gila-Gila. Disebabkan mereka meminta saya menghasilkan kartun bersiri, saya perlu mereka cerita dan watak bersiri. Saya memang sukakan watak budak-budak yang banyak kerenah, tidak berpenghujung dan pemikiran mereka juga bebas. Dari situlah datangnya watak Ayop, seorang budak yang berasal dari Kampung Tulang Belakang. Ayop dikenali kerana kemahiran mengurut yang memberi sumber pendapatan untuknya.
Bagaimana anda mengembangkan cerita dalam siri kartun dan apakah kesudahan cerita Ayop Anak Tulakang?
Dalam menghasilkan kartun yang bersiri atau bersambung, tidak dapat tidak, kita perlu memperbesarkan-besar dan mereka-reka ceritanya. Berbagai cerita diselitkan walaupun kadangkala tidak logik, tetapi kita jadikan ia logik. Misalnya kisah Ayop berniaga katak di padang pasir untuk panggil hujan. Namun, itulah sayangnya, apabila terbit Batu Api, ia menjadi saingan dengan Gila-Gila. Ketika itu, siri ini berhenti begitu saja. Di Batu Api, saya cipta kartun baru iaitu Tuan Kecik di mana kisahnya mengenai budak-budak. Lalu kisah Ayop tergantung begitu saja. Saya pun tidak pasti apa kisah terakhirnya. Kalau tak silap, ceritanya sampai ke peringkat Ayop menjual senjata.
Mengapa anda berhenti melukis selepas Batu Api?
Mungkin disebabkan sudah letih hendak melukis kartun, letih mencari idea dan sebagainya. Kerja pengiklanan lebih bebas sedikit tetapi cabarannya lain pula. Orang kata, jika melukis kartun, kita melayan otak sendiri. Tetapi dalam bidang pengiklanan, kita terpaksa melayan kehendak dan selera orang, jadi susah sikitlah. Lalu, saya kembali menawarkan perkhidmatan berkaitan bidang pengiklanan bersama rakan kongsi. Dalam situasi kerjaya kartunis tempatan, ada yang masih kekal sebagai kartunis dan ada yang beralih bidang.
Bagaimana anda boleh membuat keputusan untuk meninggalkan bidang ini?
Dulu, bidang kartun ibarat periuk nasi bagi saya. Tetapi sekarang, ia lebih kepada hobi... Bukanlah tidak melukis langsung. Apabila ada permintaan, saya akan hasilkan karya. Cuma disebabkan kesibukan kerja pengiklanan, saya agak takut berjanji dengan mereka yang meminta karya saya. Ini kerana saya faham, mereka di akhbar atau majalah bekerja berdasarkan deadline. Saya bimbang tak dapat tepati waktu yang ditetapkan. Mengenai segelintir kartunis yang masih setia dengan kerjaya, mungkin itu sudah menjadi kelebihan mereka dan sumber rezeki.
Antara semua bidang yang anda ceburi, mana satu paling serasi dengan jiwa?
Bagi saya, yang kena dengan jiwa saya adalah kerja pengiklanan dan penerbitan. Kurang sikit ‘pecah kepala’. Lagipun, apabila melihat hasil akhir buku yang diterbitkan, kita akan merasa puas. Ini kerana semuanya kita lakukan sendiri... Baik artikel, susun letak halaman dan sebagainya. Banyak pengalaman ketika bekerja dengan syarikat penerbitan saya gunakan apabila bekerja sendiri. Cara kerja kartunis dulu, kita melalui setiap peringkat proses penghasilan sesebuah kartun. Jadi, kita bangga kerana karya yang direka adalah 100 peratus hasil kerja kita.
Profil
Nama penuh : Zainal Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Nama penuh : Zainal Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Posted by Jonjenin at 7:52 AM 1 comments
Saturday, September 5, 2009
Otai kartun- ZAINAL BUANG HUSSIEN
Kembara seni Zainal Buang Hussein , SIRI lukisan kartun seperti Kutu, Wak Punk, Tong Kosong serta novel berjudul Debu-debu Kasih, Gelombang, Kasanova dan Serakah cukup sinonim dengan insan seni bernama Zainal Buang Hussein. Karya Zainal - baik kartun, novel atau lukisan cukup diminati ramai. Malah sebahagian besar peminat kartunis ini masih setia mengikuti perkembangan Zainal biarpun beliau sekarang tidak seaktif dulu.
Ketika ditemui XY - Ikon Lelaki, Zainal berkata, aktiviti seninya ketika ini banyak tertumpu kepada lukisan. Kata Zainal, sepanjang perjalanan dalam bidang seni yang diceburinya sejak bangku sekolah, beliau sering bereksperimen dengan bakat seni yang dimilikinya. Disebabkan itulah, karyanya tidak terbatas kepada seni visual seperti ilustrasi, kartun dan lukisan semata-mata sebaliknya diperluaskan kepada penulisan novel. Cerita Zainal, sejak di bangku sekolah lagi minatnya cenderung ke bidang seni. Mengimbau kenangan pada 'fasa permulaannya', Zainal berkongsi rahsia, tempat pertama yang dijadikan 'galeri' lukisannya ialah reban ayam di sebelah rumah. Di situlah Zainal menggantung dan mempamerkan semua lukisan yang dihasilkannya.
Zainal yang sudah hampir 40 tahun bergelumang dalam bidang seni, berkongsi faktor membuka matanya untuk menjadikan seni sebagai profesion. "Ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Jitra, Kedah, saya terbaca sebuah buku yang menghimpunkan koleksi lukisan pelukis tersohor Indonesia yang dimiliki bekas Presiden Indonesia, Soekarno serta buku yang mengisahkan mengenai Picasso dan Rembrandt. "Saya tidak pernah terfikir, seorang pelukis boleh berjaya, diminati dan disanjung hingga tahap begitu. Dari situlah terdetik hati saya untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya. Selepas tamat sekolah, beliau sempat menimba pengalaman sebagai pengilustrasi di beberapa syarikat sebelum berkhidmat dengan Creative Entreprise Sdn Bhd (CESB).
Di bawah CESB, beliau bersama pelukis seperti Jaafar Taib dan Azman Yusof menjadi pelopor penerbitan majalah lawak Gila-Gila. Pembabitan mereka menyemarakkan lagi industri seni kartun tempatan yang sebelum itu dipelopori kartunis lebih senior seperti Rejabhad dan Datuk Lat. Zainal masih ingat, kulit muka depan majalah Gila-Gila pertama yang dihasilkannya. Beliau menampilkan karikatur pelakon yang sedang popular ketika itu, iaitu AR Badul yang muncul dengan filem baru.
Selain karikatur pelakon itu, Zainal turut menyelit lukisan kereta dalam lakaran berkenaan. Imej kereta dan motosikal sering menghiasi lukisan kartun yang dihasilkan beliau, bagai sudah menjadi identiti karya kartunnya. Mengapa beliau memilih kereta dan motosikal?
Apa lagi cerita menarik mengenai Zainal yang belum anda ketahui? Kolum Di Sebalik Nama berbicara lebih lanjut dengan insan kreatif ini...
Kenapa anda memilih subjek kereta dan motosikal pada siri kartun anda?
Saya begitu berminat dengan kereta dan motosikal terutama dalam aspek rekaannya. Ketika hendak memulakan Gila-Gila dulu, Jaafar sudah pun ada identiti kartunnya iaitu haiwan dan alam semula jadi. Manakala Azman Yusof pula dengan watak kartun wanita cantik. Kedua-dua mereka mempunyai strok lukisan yang mantap. Untuk menampilkan sesuatu yang berlainan daripada mereka, saya memilih mengenengahkan kereta dan motosikal.
Bagaimana anda memperoleh ilham dalam berkarya?
Kita sebenarnya tidak boleh menanti hingga ilham datang kerana ilham sebegitu boleh datang dan pergi begitu saja. Kita harus memaksa ilham untuk datang. Biasanya faktor luar seperti deadline dan tekanan di sekeliling juga kadangkala boleh memaksa idea untuk muncul. Pernah sebelum ini, ketika memegang jawatan penting dalam CESB yang menuntut saya melaksanakan pelbagai kerja, saya masih lagi dapat menyiapkan kartun dan menulis novel dengan ilham yang mencurah-curah.
Ada atau tidak ilham yang lahir daripada rasa marah ataupun tidak puas hati diri sendiri?
Ada juga. Pada saya, ilham begitu lebih bagus. sekurang-kurangnya perasaan seperti itu dapat diluahkan dalam bentuk karya kreatif. Kalau diamati, karya novel saya dari dulu hingga yang terbaru ini banyak yang mempunyai unsur seperti ini. Sejak remaja lagi, saya suka membaca novel. Saya sukakannya kerana bagi saya, novel merakam sejarah. Pembaca novel dapat masuk ke dalam latar masa cerita yang dihasilkan novelis dan menyelami kisah dan imaginasi mereka.
Jika tidak menjadi pelukis, novelis atau kartunis, apa agaknya pekerjaan yang anda lakukan?
Maklumlah, dulu bukannya ada pilihan sangat dalam bidang pekerjaan. Selepas tamat sekolah, saya ada menerima tawaran untuk menyertai pegawai kadet tentera. Tidak pasti sama ada untuk menerimanya atau meneruskan cita-cita mencari pekerjaan dalam bidang seni, saya merujuk kepada rakan saya yang sedang berkhidmat dengan angkatan tentera ketika itu. Beliau katakan kepada saya, tidak perlulah masuk tentera kerana saya mempunyai bakat dalam bidang seni dan lebih baik saya teruskan saja cita-cita saya dalam bidang ini. Katanya, takut kalau-kalau saya bosan dengan latihan ketenteraan yang perlu dijalani
Anda dikenali sebagai pelukis yang teliti. Bagaimana anda menjaga ketelitian dalam berkarya?
Untuk menjadi seorang yang teliti dalam berkarya, ia memerlukan masa dan diasah menerusi latihan dan pengalaman. Bercakap mengenai ketelitian, saya masih ingat lagi, pelanggan saya, seorang individu korporat yang meminta saya melukis potret beliau dan keluarganya sebelum ini. Beliau hanya mengambil lukisan berkenaan selepas 25 kali saya tunjukkan kepadanya dan setiap kali ditunjuk, ada saja yang tidak kena pada pandangannya. Ini menunjukkan, soal ketelitian juga banyak menerima pengaruh daripada faktor keadaan dan permintaan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan itu.
Ada sebarang kenangan, kritikan atau pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang perjalanan karier dalam bidang ini?
Satu kenangan yang agak menyedihkan pernah saya lalui ketika mewakili negara ke Jepun dalam suatu program usaha sama antara kerajaan Malaysia dengan negara Jepun. Apabila terpilih, seperti biasalah, mesti ada rasa bangga dalam diri kerana dipanggil untuk mewakili negara. Jadi, apabila berjumpa dengan penganjur pihak Jepun di sana, saya hadiahkan beberapa karya saya kepada mereka sebagai cenderahati dari Malaysia. Apa yang menyedihkan, keesokan pagi, saya ternampak lukisan saya itu diletakkan di tepi dinding begitu saja. Kemudian ia dipungut pekerja pembersihan untuk dibuang ke dalam tong sampah. Saya akui, insiden membuatkan saya cukup sedih. Tapi pada saya, apa yang penting saya sudah berikannya dengan ikhlas. Terpulanglah bagaimana orang yang menerima itu hendak menghargainya.
Apa pandangan anda mengenai hala tuju kartunis dan industri kartun masa kini?
Industri kita sememangnya sudah berkembang. Ini dapat dilihat daripada pengukuhan pelbagai watak kartun yang masih menjadi perhatian penggemarnya, biarpun dari segi penjualan majalah lawak sudah menurun. Negara kita mempunyai ramai kartunis berbakat yang memiliki hidden asset masing-masing. Itu yang perlu kita jana dengan cara pemasaran dan medium yang betul serta berkesan. Selain itu, industri seni tempatan juga amat memerlukan masyarakat untuk memberi sokongan penghargaan yang sewajarnya supaya industri ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi seperti industri luar. Jika tidak, sampai bila-bila pun bakat seni kartunis atau pelukis atau penggiat seni yang ada dalam negara kita serta industri ini akan berada di tahap sama.
PROFIL:
Nama penuh : Zainal Buang
Nama penuh : Zainal Buang
Umur : 55 tahun
Asal : Kluang, Johor
Tarikh lahir : 29 Oktober 1954
Isteri : Noraini Mohd Yunus
Anak : Wira Izzat, Ayu Adiratna, Muzammil, Zaffan Shahirah, Tharwa Wajiha
Posted by Jonjenin at 9:23 PM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)