KEGHAIRAHAN Mohd Nizam Abd Razak bercerita mengenai dunia animasi mengagumkan. Petah menyusun kata, terserlah cita-cita besarnya untuk membawa dunia animasi tempatan ke kelas dunia. Sebagaimana buah tangan terbarunya, BoBoiBoy mula mencipta fenomena baru, jom selami resipi kejayaan anak muda kreatif ini...PADA usia baru 28 tahun, jejaka ini sudah menduduki kerusi Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, syarikat animasi yang diwakili kelompok anak muda kreatif tempatan.
Nekad membangunkan syarikat animasi sendiri bersama tiga rakan kongsi, tiada yang dapat menghalang cita-cita dan visi besar kelompok anak muda berjiwa kreatif sepertinya dalam memacu bidang animasi tempatan ke tahap dunia.
Biarpun hanya beroperasi dua tahun lalu dengan pembiayaan geran kerajan bernilai RM1.9 juta, Animonsta Studios boleh berbangga dengan kemunculan siri animasi BoBoiBoy yang mencipta ‘kegilaan’ baru di kalangan penonton televisyen TV3 dan Astro.Mengakui cukup berbangga dengan hasil buah tangan sulung syarikatnya itu, Mohd Nizam berkata, setakat ini purata 1.2 juta penonton TV3 menjadi peminat setia siri itu yang mengisahkan watak superhero tempatan iaitu BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal.Dua jam tempoh berkenalan, nyata banyak informasi dikongsi Mohd Nizam, sekali gus memberi petanda betapa potensi cukup besar dilakar syarikat tempatan dalam menyaingi dunia animasi. Ikuti temu bual ini...
Segalanya bermula di MMU
PADA mulanya, anak muda ini mengikuti jurusan reka bentuk laman web di Universiti Multimedia (MMU), namun kecintaan Mohd Nizam segera terpaut dalam dunia animasi.Bagi jejaka ini yang dilahirkan di Muar, Johor, ini adalah sesuatu yang begitu mengagumkan apabila dapat mengaplikasikan hasil rekaan yang bergerak selain statik pada komputer.Justeru itu, Mohd Nizam nekad memfokuskan pengkhususan kepada bidang animasi, sekali gus membuka dimensi baru dalam hala tuju hidupnya.“Ibarat jatuh cinta pandang pertama, memang itulah yang saya alami ketika berada di MMU dulu.
Disebabkan saya tidak ada asas langsung dalam dunia animasi, apa yang saya lihat di MMU mengenai teknologi animasi benar-benar mengagumkan.“Berada dalam kelompok mereka yang meminati bidang serupa, menyebabkan saya rasa berbangga kerana dapat mempelajari perkara baru yang mewakili minat saya sepenuhnya,” kata Mohd Nizam yang berjaya menggenggam ijazah sarjana muda dalam jurusan multimedia kreatif pada 2005.
Ujar Mohd Nizam, sentuhan kreativiti dalam dunia animasi sebenarnya sudah mula bercambah sejak di universiti lagi ketika beliau bersama tiga rakan lain menghasilkan satu karektor jalan cerita animasi pendek berjudul, ‘Misi Mustahak’ sebagai projek akhir berkumpulan.Sekadar mencuba nasib, beliau dan rakan-rakan yang bertungkus lumus menyiapkan rakaman animasi sepanjang tujuh minit itu berpuas hati apabila seluruh dewan tayangan bergelak ketawa melihat hasil kerja mereka.“Berbaloilah pengorbanan kami selama lebih enam bulan menyiapkan hasil kerja bagi projek akhir ‘Misi Mustahak’ selepas tayangan selama tujuh minit itu. Kisah tiga orang tua di rumah orang tua yang memaparkan imaginasi serta gabungan elemen fantasi benar-benar membakar semangat untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih inovasi,” katanya.
Ditanya apakah beliau penggemar kartun dan komik ketika zaman kanak-kanak, akui Mohd Nizam, beliau bukanlah fanatik.“Seperti orang lain seusia saya, dunia kartun dan komik memang menjadi sebahagian elemen dalam proses membesar. Tetapi minat itu sekadar minat. Namun, hari ini, saya tidak sangka menjadi sebahagian daripada mereka yang memberi idea, mencipta watak serta menghasilkan karektor animasi,” katanya yang sentiasa berfikiran positif dalam merangka strategi baru dalam pekerjaannya.
Profil: Mohd Nizam Abd Razak
Umur : 28
Tarikh lahir : 14 Ogos 1983
Tempat lahir : Muar, Johor
Tinggi : 168 sentimeter
Berat : 75 kilogram
Status : Berkahwin
Bagaimana boleh teretus idea menghasilkan siri animasi BoBoiBoy?
Ketika mula membangunkan Animonsta Studios, memang misi awal ialah menghasilkan siri animasi baru. Sebenarnya, idea untuk mewujudkan karektor superkids tempatan ini wujud melalui soal selidik dengan orang ramai.Kita sudah ada siri Cicakman, kita juga ada Upin & Ipin dan Kampung Boy. Disebabkan itu, saya lihat kena ada watak superkids yang boleh menghidupkan elemen tempatan. Ini kerana, dengan cara ini, ia lebih dekat kepada penonton.
Boleh jelaskan bagaimana ini semua dilakukan - baik dari aspek produksi hingga ditayangkan?
Dari segi kapasiti tenaga pasukan yang kita miliki, kita berbangga kerana mampu menghasilkan siri animasi dalam tempoh singkat. Meskipun baru dua tahun operasi, siri BoBoiBoy sudah disiarkan di TV3, April lalu dan kini baru menemui penonton di Astro.Setakat ini, empat episod sudah dihasilkan dengan baki sembilan lagi yang sedang giat diusahakan. Memang terpaksa mengulang tayang episod yang ada kerana kekangan tenaga kerja kreatif, tetapi untungnya, kita boleh mendapat maklum balas segera dari peminat BoBoiBoy yang ketika ini mencecah 88,000 orang di Facebook.
Boleh anda berkongsi aspek teknikal di sebalik pembikinan BoBoiBoy?
Banyak idea yang kita peroleh ketika peringkat awal pembinaan karektor hingga memperincikan empat watak penting mewakili kelompok masyarakat setempat, selain elemen fantasi iaitu makhluk asing yang menguatkan lagi jalan cerita.Ketika awal dulu, kita memilih kopi sebagai salah satu elemen penting tetapi akhirnya bersetuju menggantikan koko kerana ia lebih dekat dengan jiwa kanak-kanak.Kita juga asalnya mensasarkan kelompok penonton sasaran dari usia tujuh tahun hingga 12 tahun tetapi berdasarkan sambutan yang diterima kini, kanak-kanak seawal usia dua tahun hinggalah yang berusia 30 tahun menggemari siri ini.
Berapa lama tempoh diperlukan untuk menghasilkan satu episod dalam siri animasi?
Bagi menyiapkan satu episod dengan jangka masa 30 minit siaran, sebenarnya ia mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan. Bayangkan untuk menyiapkan semua 13 episod dalam satu siri memang sukar sebenarnya dengan kos keseluruhan mencecah RM2.6 juta.
Apakah kekuatan siri animasi mengikut pengamatan anda?
Di Malaysia, bidang ini masih baru dan berpotensi untuk berkembang pesat berdasarkan kemunculan syarikat animasi. Saya lihat ini cukup baik dan sihat untuk kemajuan industri animasi ini sendiri.Berbanding drama, siri animasi cukup lama bertahan dan mampu membentuk watak yang dapat digemari semua. Pada masa yang sama, prospek penjanaan pendapatan juga boleh dilakukan berdasarkan jualan barangan seperti pakaian, logo, mainan kanak-kanak dan pemakanan yang kita sedang usahakan.
Melihat kepada siri kartun dan animasi di Jepun contohnya, bagaimana anda perincikan kejayaan dunia kreatif itu di sana?
Kekuatan itu ditekankan menerusi elemen kemasyarakatan yang cukup dekat dengan jiwa penonton. Sebagaimana kita lihat Doraemon dan Naruto sendiri, penonjolan watak serta jalan cerita yang ada nilai-nilai jiwa kemasyarakatan.Bagaimana siri Doreamon yang dihasilkan pada 1970-an masih kekal relevan dan disukai penonton terutama kanak-kanak. Itulah yang menjadi cabaran pereka 3D untuk menghasilkan sesuatu yang baru hari ini!
Selepas muncul dalam projek animasi, apakah mungkin ada perancangan untuk keluar daripada kepompong sedia ada?
Dengan kepakaran yang kami miliki, rasanya memang kebergantungan dan fokus utama hanyalah pada bidang animasi. Jika ada pun, mungkin berkaitan permainan video kerana kita tidak boleh mengejar sesuatu yang kita tidak pakar dalam bidang seumpamanya.Melainkan jika kita membina usaha sama dengan rakan kongsi yang boleh menguntungkan kedua belah pihak. Biarlah untung 50-50 daripada ambil 100 peratus tetapi akhirnya tidak tahu apa yang kita lakukan.
Apakah perancangan serta misi masa depan Animonsta Studios?
Tentunya dengan kejayaan memasarkan siri ini bukan saja di Malaysia. Ini kerana BoBoiBoy sudah dipasarkan di negara 16 negara termasuk Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, malah siri ini juga sudah mula ditayangkan di Korea.Selepas pelancaran siri televisyen serta pasaran DVD, menjadi strategi kita untuk menghasilkan BoBoiBoy dalam bentuk filem pula. Tetapi, jika menghasilkan filem, ia tidak semudah yang disangka. Ini kerana selain kos yang lebih dan masa, jalan cerita juga menjadi faktor lain yang memastikan penonton terhibur.