CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, November 12, 2009

MAC3 MSC Malaysia jana dunia kreativiti Animasi anak tempatan.

*Dengan kadar sewa yang minimun bakal usahawan kreativiti dan animasi berpeluang menggunakan kemudahan yang ada di MAC3.


DUNIA kreativiti dan inovasi kini merupakan satu alam yang bukan asing di kalangan anak muda negara ini, bermula dengan cerita pendek Upin & Ipin yang mendapat sambutan hangat bukan saja di kalangan kanak-kanak malah golongan dewasa.
Ekoran itu filem Pengembaraan Bermula: Upin & Ipin membuka lembaran baru dalam dunia animasi tempatan.


Justeru, penubuhan Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) sememangnya membantu memaju perkembangan industri animasi negara.
Mengikuti perkembangan dan cabaran dunia dalam teknologi maklumat (IT), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melebarkan aktivitinya dengan membangunkan MSC Inisiatif Kreatif Multimedia MSC (M-CMCI).


Ketua MAC3 MDeC, Hasnul Hadi berkata, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dilihat dapat menyediakan kandungan animasi yang sesuai bagi kebudayaan dan sejarah negara.
"Berbekalkan tenaga kerja yang mempunyai pelbagai latar belakang serta pengalaman, kami percaya program ini akan berjaya.


"Di sini (MAC3), kami memberikan kesedaran kepada penuntut dan mereka yang berminat dengan dunia animasi," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Cyberjaya baru-baru ini.
Bertindak sebagai inkubator kepada usahawan muda yang mula berjinak-jinak dalam dunia animasi, MAC3 juga merupakan tempat latihan bagi pelajar yang berminat.
MAC3 dibina di Cyberjaya sebagai hos dan menawarkan kemudahan animasi kepada syarikat animasi tempatan.


Diilhamkan daripada Pusat Animasi Seoul di Korea Selatan, MAC3 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih berteknologi tinggi.


Menterjemahkan idea
"Di sini bakat-bakat baru tempatan akan dilatih untuk menterjemahkan idea mereka kepada produk yang dapat memikat pasaran antarabangsa," katanya.
Di sini mereka diajar bagaimana kandungan digital digunakan seperti IT, tanpa wayar dan media fizikal.


Selain itu juga mereka juga dibimbing bagaimana kandungan berkenaan dizahirkan sama ada dalam bentuk animasi, permainan komputer, filem, interaktif atau kesan visual.
Hasnul berkata, peserta di pusat tersebut juga akan dibantu dalam aspek pengedaran dan pemasaran.


Matlamat MDeC adalah bagi membangunkan industri kreatif dan inovasi tempatan.
MAC3 dilihat sebagai pemangkin dalam membangunkan industri kandungan digital yang mempunyai pasaran besar terutama dalam animasi, permainan dan kesan khas.
Sejak M-CMCI dilancarkan pada 2006, negara telah berjaya melakar nama ke persada antarabangsa dengan projek animasi Saladin.


Hasil cukai industri animasi pada tahun 2006 saja berjumlah RM435 juta dan kerajaan mensasarkan RM1.1 bilion menjelang 2012 dan mampu menjana 13,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, MAC3 mempunyai rakan di peringkat antarabangsa seperti Rythm and Hues, Codemaster dan Tripod bagi membantu penggiat tempatan.


MAC3 dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
1. Zon Digital
2. Pembangunan Bakat
3. Pra-produksi


Di bawah Zon Digital dibahagikan kepada Zon Bisnes dan Zon Pembelajaran.
Di bawah Pembangunan Bakat para graduan, pelajar dan orang awam boleh menggunakan kemudahan yang ada.


Misalnya syarikat berstatus MSC diberikan pelbagai inisiatif menarik apabila mengambil graduan baru bekerja di syarikat mereka.
Selain itu MDeC juga menganjurkan persidangan kreatif bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.


MAC3 juga bertindak sebagai inkubator yang menempatkan dan melatih usahawan sebelum mereka dapat berdikari sendiri.


Ketua Pegawai Eksekutif Studio Caterpillar, Ridhwan Bakir yang membangunkan permainan komputer mudah alih amat berpuas hati dengan kemudahan yang diberikan di MAC3.
"Di sini kami dapat menggunakan segala kemudahan yang ada dengan yuran sewa yang minimum. "Misalnya di sini terdapat perisian, perkakasan, bilik seminar, bilik mesyuarat, kemudahan kafe, yang boleh digunakan bersama-sama penyewa lain," katanya.
Sementara itu rakan kongsinya, Sufyan Bakir berkata, mereka sedang membangunkan permainan Mystic Agriculture menggunakan kemudahan MAC3.


Ketua Pegawai Eksekutif Red Turtle Animation Studios Sdn. Bhd., Hersen Lee turut sangat berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan di MAC3.
"Di sini kami boleh bekerja bila-bila masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa sebarang gangguan. "Kami membangunkan siri animasi Cheekily Cheekily Poom Poom iaitu kisah ahli sihir perempuan," katanya. Di MAC3 mereka menggunakan segala kemudahan yang ada di sini seperti perkakasan dan perisian untuk membangunkan produk.

(sumber Akhbar utusan.)

0 comments: