CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, November 20, 2009

KARTUNIS DEEN.



KETIKA berkarya, kartunis Nordin Misnan atau lebih dikenali sebagai Deen, sering menampilkan elemen kehijauan alam sebagai latar kartunnya. Ini kerana, selain seni lukis dan muzik, Deen amat mencintai keindahan alam. Bagi Deen, elemen alam semula jadi pada karya mampu impak dan keistimewaan tersendiri, berbanding kartun luar negara yang lazimnya sangat ringkas.


Elemen keindahan alam semula jadi jelas dilihat dalam siri kartun yang dihasilkan Deen, Cerita Atuk yang disiarkan dalam sisipan Sabtu terbitan Berita Harian. Kata Deen, sambil menghibur pembaca, beliau mengajak audiens menghayati persekitaran desa menghijau, bersih dan nyaman seperti yang dipaparkan dalam karyanya itu.


Bagi Deen, andai mesej mencintai alam semula jadi itu sampai kepada pembaca, sudah pasti mereka juga akan mengambil inisiatif untuk memastikan persekitaran indah, bersih dan nyaman. Tidak cukup itu, Deen cenderung mengutarakan isu alam sekitar sebagai topik perbualan watak dalam Cerita Atuk. Deen juga menyelitkan mesej kekeluargaan dan kemasyarakatan serta isu semasa.


Sebelum berkarya untuk akhbar Berita Harian, Deen yang bertugas sebagai artis grafik akhbar ini pernah berkhidmat di pelbagai organisasi akhbar, majalah hiburan dan humor seperti Variapop, Gelihati, Boom dan Gelagat.


Selain itu, sentuhan kreatif Deen sering menghiasi kad ucapan hari raya. Kad raya kartun cukup popular di kalangan remaja dan kanak-kanak. “Sekarang, sambutan untuk kad raya kartun sudah berkurangan, namun permintaannya masih ada. Ramai beralih kepada kad ucapan elektronik yang tidak membabitkan kos dan lebih mudah dihantar. “Namun, dari sudut sentimental, kad ucapan lebih tinggi nilainya kerana ia boleh disimpan,” kata Deen.


Masih ingat bila karya pertama anda disiarkan dalam majalah?


Ketika menuntut di sekolah menengah, saya sering menghantar karya ke pelbagai majalah. Jika tidak silap, karya pertama saya disiarkan di majalah Variapop pada 1984. Ketika itu, saya masih menuntut di tingkatan lima. Saya sudah lupa watak dan cerita kartun itu, tapi apa yang pasti, saya masih ingat perasaan saya cukup teruja melihat karya saya disiarkan di majalah itu.


Berbeza dengan majalah, ruangan kartun di akhbar agak terhad. Bagaimana anda mempersembahkan idea dalam ruang terhad seperti ini?

Disebabkan cerita perlu disampaikan dalam ruang kecil, selalunya saya akan merancang subjek yang hendak ditampilkan serta bagaimana lukisan jalan ceritanya. Proses ini menguji kreativiti kerana kadangkala, banyak perkara yang hendak disampaikan tetapi ruang tidak cukup.


Dari mana datangnya sumber ilham anda ketika berkarya?

Ilham selalunya muncul apabila saya melakukan aktiviti membabitkan alam semula jadi. Misalnya, apabila saya meneroka hutan atau memancing. Mungkin disebabkan itulah, subjek yang selalu saya ketengahkan berkisar alam semula jadi. Antara pengalaman peribadi yang pernah saya paparkan dalam karya adalah lawatan saya ke hutan Belum. Mungkin sebelum ini ramai yang menyangka hutan ini masih terpelihara sepenuhnya. Namun, ketika saya melawatnya, saya dapat melihat aktiviti kemusnahan alam di beberapa lokasi di hutan Belum.
Kekecewaan melihat kemusnahan alam itu saya luahkan dalam karya.


Siapa kartunis dan karya kartun yang banyak memberi inspirasi kepada anda?

Saya suka karya yang dihasilkan kartunis Lat dan Nan. Idea yang dipersembahkan kartunis Nan dalam siri Din Teksi sarat dengan mesej, namun disampaikan dengan bersahaja. Karya kartunis Lat pula berjaya menghiburkan pembaca dengan paparan kehidupan budak kampung. Ini secara tidak langsung membangkitkan kenangan kebanyakan pembaca yang pernah melalui kehidupan di desa. Jika karya luar negara pula, saya suka komik Groo dan komik Calvin and Hobbes.


Apa yang membuatkan anda beralih daripada melukis kartun sepenuh masa kepada kerjaya dalam bidang grafik?

Kegawatan ekonomi sekitar 1997 dan 1998 sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri kartun yang sebelum itu berkembang maju. Ketika itu, saya sudah menjangka sukar untuk bergantung kepada kerjaya kartunis saja. Ini kerana kebanyakan penerbit mula ‘liat’ memberi bayaran dan penjualan bahan bacaan berunsur humor juga makin suram. Kebetulan ada peluang, saya membuat keputusan bekerja di Berita Publishing. Di bawah syarikat ini, saya membuat ilustrasi untuk majalah serta melukis kartun untuk majalah BIP. Beberapa tahun kemudian, saya berpindah ke Berita Harian hingga sekarang. Sejak detik itu, sedikit demi sedikit saya belajar memahirkan diri dengan teknologi komputer dalam berkarya. Mujur terbuka hati saya untuk beralih ke bidang sekarang. Jika saya masih berharap kepada kerjaya kartunis saja, mungkin sekarang saya menetap di kampung saja.


Apa perbezaan berkarya secara manual berbanding digital?

Kaedah mana yang lebih memberi kepuasan? Sudah semestinya kaedah manual lebih memberi kepuasan. Sebelum ini, saya pernah menghasilkan Cerita Atuk menggunakan komputer. Tetapi, rasanya tidak puas seperti melukis dan mewarna di atas kertas. Hasilnya juga tidak memuaskan, tidak ‘hidup’ seperti yang kita hasilkan secara lukisan tangan. Berkarya menggunakan komputer, pada saya, banyak unsur ‘penipuan’. Jika tersilap sedikit, kita boleh betulkan dengan mudah. Tidak seperti karya manual, jika tersilap, terpaksa buat yang baru. Namun, tidak dinafikan teknologi sebenarnya banyak membantu mempercepatkan kerja. Namunm, jika ingin menghasilkan karya kreatif bernilai tinggi, kaedah manual adalah yang terbaik.


Apa perancangan anda di masa depan?

Seperti kebanyakan kartunis lain, ‘impian emas’ mereka adalah melihat siri karya dihimpunkan atau dikompilasikan. Selain itu, saya berharap industri ini akan lebih aktif melalui usaha dan kerjasama berterusan dari semua pihak, terutama penerbit dan media. Penerbit diharapkan lebih aktif menghasilkan karya bermutu dari kartunis berbakat. Ini bagi memastikan khalayak menikmati karya yang berkualiti lalu menyemarakkan semula industri ini. Media pula dapat membantu dengan sentiasa menyiarkan karya dan memberi publisiti membabitkan industri kartun tempatan. Jika ini terjadi, tidak mustahil arena kartun tempatan akan kembali meriah seperti dulu.

Profil Kartunis Deen.

Nama : Nordin Misnan
Tarikh lahir : 1 Mac 1968
Umur : 41 tahun
Asal : Segamat, Johor.

0 comments: