CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, August 29, 2009

MENYINGKAP KEBAIKAN KARTUN KEPADA MASYARAKAT.


Komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri


Bagi kartunis terkemuka tempatan, Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 44, komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri.
Maka tidak hairanlah penggemar komik wujud di seluruh dunia dengan jumlah jutaan orang.
Di negara ini sahaja penggemarnya berjumlah ratusan ribu.

Ujang berkata, komik terbahagi kepada pelbagai jenis dan antara yang popular adalah Selapstik serta Editorial. Katanya, jenis Selapstik adalah kartun yang tidak mempunyai dialog seperti Tom and Jerry dan Editorial pula seperti kartun Lat.

"Komik diminati kerana ia seni visual iaitu mudah difahami dan lebih ringkas.
"Bahan bacaan ini mempunyai banyak kesan baik antaranya, menenangkan ketegangan perasaan dan pemikiran, membantu pembaca lebih cepat mendalami cerita, menceriakan, murah serta dapat mengisi masa lapang," katanya.

Selain itu, katanya komik biasanya bukan sahaja mengandungi cerita atau karikatur menarik yang ringkas, tetapi juga iklan, fakta mengenai sesuatu produk atau perkara penting, peraduan dan pelbagai isu berkaitan kehidupan masyarakat.

Tambahnya, walaupun komik diakui mampu membuatkan individu ketagih mengikutinya dan bersikap negatif apabila membabitkan jenis peperangan atau lucah, ia dapat dielakkan dengan mengawal pembacaannya.

Menurut Ujang, pada awal penerbitan komik di negara ini iaitu sekitar tahun 80-an, ia sukar diterima secara meluas kerana ramai ibu bapa yang menganggap komik memberi unsur negatif dan mempengaruhi pemikiran anak mereka.

Namun pada tahun 90-an pasarannya semakin baik kerana masyarakat mulai sedar kebanyakan komik mengajar pembacanya menanam sifat murni dan memberi kebaikan tambahan lain melalui ilustrasi atau visual.

"Penerimaan terhadap komik semakin dapat dilihat apabila kerajaan menubuhkan Sekolah Seni Johor Bahru di Johor dan Sekolah Seni Kuching di Sarawak bagi membantu individu mendalami seni visual dan lukisan. "Penubuhan sekolah ini membantu menyediakan pelapis dalam bidang penghasilan seni visual dan lukisan termasuk untuk komik," katanya.

Sementara itu, jelasnya, sekitar tahun 1995 hingga 2000, komik tempatan mampu dijual lebih 400,000 naskah sebulan yang memberi pulangan ratusan ribu ringgit kepada pengeluar dan kartunisnya. Ditambah hasil pendapatan iklan yang dipaparkan di dalam komik, ia membuatkan penghasilnya hidup senang. Bagaimanapun Ujang berkata, selepas tahun berkenaan, jualannya semakin menurun akibat faktor lambakan komik dari negara luar dan kemudahan membacanya di internet.

"Pembaca tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana dengan strategi yang diambil syarikat luar untuk membukukan rancangan kartun popular sebagai komik, mereka pasti terpengaruh. Ada pula pembaca yang tidak sedar komik yang diikuti adalah komik luar," tambahnya.

Ujang yang sudah berkecimpung sebagai pelukis komik hampir 30 tahun, berkata, kerajaan perlu lebih prihatin dan harus mengambil langkah berkesan untuk membantu kira-kira 2,000 pelukis komik dan animasi tempatan supaya mampu terus menjual karya.


Kartun dan komik tempatan wujud sejak sebelum merdeka

Sejarah kartun dan komik di Malaysia dikatakan bermula sejak zaman sebelum merdeka.
Kewujudan pertama kartun dan komik di negara ini disiarkan di dalam dua akhbar iaitu Warta Ahad sekitar Mei 1936 dan Warta Jenaka pada September 1936.
Sejak itu, kartun dan komik semakin berkembang dan melahirkan ramai kartunis hebat termasuk Raja Hamzah, K. Bali, Osman Kangkong, Mohd. Sallehuddin, Halim Teh, Yusuf Sharif dan Hashim Awang.

Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik), Muhd. Azhar Abdullah berkata, pada tahun 1950-an pula, terbitan Utusan Zaman menghasilkan kartun dan komik Wak Ketuk yang popular ketika itu.

"Pada zaman berkenaan, kartun dan komik disiarkan dalam cerita politik dan berkaitan kehidupan masyarakat tempatan," katanya ketika dihubungi Mega baru-baru ini.
Beliau berkata, komik adalah medium yang digunakan sebagai bahasa komunikasi visual bagi menarik perhatian pembaca. Ia lebih ringkas, banyak gambar dan mudah difahami," katanya.
Muhd. Azahar memberitahu, penerimaan kepada komik dapat dilihat melalui kewujudan Pekomik.

Katanya, Pekomik penting bagi memenuhi kehendak golongan karyawan atau penggiat komik dan peminat tempatan yang kian bertambah.

"Dengan Pekomik, golongan ini akan mendapat faedah sepenuhnya daripada usaha dan minat tinggi mereka terhadap komik.

"Pekomik juga bertujuan mengembangkan dan memartabatkan dunia komik negara melalui penganjuran pelbagai program serta aktiviti termasuk Anugerah Pekomik," katanya.


Komik boleh diibaratkan ubat
KOMIK dianggap ‘ubat’ yang berkesan bagi mengurangkan ketegangan pemikiran dan perasaan seseorang. Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mariani Md. Nor berkata, antara lumrah manusia adalah lebih gemar melihat objek berbanding tulisan.

Beliau berkata, setiap individu tidak kira bayi, kanak-kanak, remaja atau dewasa lebih berminat untuk mengetahui sesuatu maklumat jika ia dipaparkan melalui gambar atau tulisan yang diselitkan lukisan berbanding tulisan sepenuhnya.

“Dengan ini, komik adalah bacaan yang dapat menarik minat seseorang membacanya kerana dipenuhi gambar dan karikatur. “Keindahan dan keunikan lukisan serta ciri-ciri tertentu seperti kelucuan yang dipaparkan di dalam komik membantu pembaca menumpukan perhatian dengannya sehingga melupakan sementara masalah dihadapi,” katanya.

Mariani berkata, setiap peringkat usia dalam masyarakat menggemari komik namun biasanya jenis komik yang dibaca berbeza. “Golongan kanak-kanak biasanya sukakan komik cerita kartun atau siri kartun yang dibukukan seperti Doraemon dan Shin-Chan. “Remaja lebih gemar membaca komik mengenai alam percintaan manakala dewasa lebih tertarik kepada komik yang menerangkan urusan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, komik tidak menyumbangkan kesan negatif selagi pembacaannya dikawal. Menurut Dr. Mariani, komik berbentuk lucah dan ganas perlu dielak bagi memastikan seseorang tidak terdedah dengan nilai negatif.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Jabatan Siswazah Psikologi dan Kaunseling, Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Noor Azniza Ishak berkata, kebiasaannya penggemar komik terdiri daripada golongan individu yang gemar berimaginasi atau berkhayal.
“Golongan ini juga biasanya tidak banyak bergaul dengan orang lain kerana gemar berkhayal mengenai sesuatu perkara. “Individu yang gemar berimaginasi untuk menjadi kaya atau pandai akan meminati komik berbentuk pendidikan manakala yang gemarkan aksi kasar seperti pergaduhan dan peperangan lebih tertarik dengan komik kepahlawanan,” katanya.

Menurut Noor Azniza, kesan positif dan negatif daripada komik bergantung kepada jenis yang dibaca. Segelintir pembaca gemar mencuba apa yang terkandung di dalam komik manakala ada pula yang tidak mengikuti ceritanya,” tambahnya.

Dalam kehidupan ini, jelasnya, individu tidak boleh mengambil sesuatu perkara terlalu serius atau fanatik kerana ia akan menimbulkan kesan negatif.
Pembaca komik mampu bijak dan kreatif

AHLI akademik menyifatkan komik mampu membantu pembacanya berfikir dengan lebih bijak dan kreatif. Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, komik mempunyai banyak kategori dan setiap satu mengandungi kebaikan selagi tidak memaparkan jalan cerita kurang bermoral atau aksi ganas.
"Saya sendiri kerap membeli komik bergambar termasuk berkaitan sejarah untuk pembacaan seorang anak saya yang mengalami masalah autisme iaitu lambat memahami sesuatu cerita atau maklumat.

"Dengan komik ini, anak saya lebih memahami jalan cerita yang dipaparkan dan mengetahui banyak sejarah penting negara," katanya ketika dihubungi Mega, baru-baru ini.
Beliau berkata, golongan pelajar pula boleh membaca komik yang menceritakan mengenai bidang pendidikan seperti Matematik dan Sains supaya lebih mendalami bidang itu.
Menurut Ahmad Atory, individu perlu memandang bahan bacaan itu secara positif dan menggalakkan diri serta keluarga membacanya kerana banyak komik yang dijual di negara ini memaparkan nilai murni dan mesej yang baik kepada pembaca.

"Penggemar komik membabitkan setiap peringkat usia masyarakat dan ia bukan sesuatu yang pelik kerana komik mampu menenangkan pemikiran. "Ada pelajar genius juga amat gemar membaca komik kerana ia boleh membantu mengurangkan tekanan selepas penat mengulangkaji pelajaran terutama pada minggu peperiksaan," katanya.

Namun dalam soal ini, katanya, individu perlu tahu memilih jenis komik yang dapat mendedahkan mereka dengan ilmu yang baik. Atory berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau komik yang dibaca anak mereka dan membelikan komik yang bersesuaian dengan usianya supaya tidak terdedah dengan cerita tidak bermoral atau keganasan.

"Individu juga perlu membaca komik pada waktu terluang bagi mengelakkannya ketagih sehingga menjejaskan tanggungjawab lain," tambahnya.
Selain itu, jelasnya, bidang penghasilan komik perlu dikembangkan menjadi sebuah industri yang penting di negara ini.

Tambahnya, bidang itu yang terbukti mempunyai ribuan penggemar setia adalah satu cabang seni penting dan boleh digelar seni pembacaan. "Ketika ini, penggiat dalam bidang komik termasuk kartunis adalah kurang dan negara perlu memikirkan cara untuk mencari pelapis berkebolehan," katanya.

Pakar Budaya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Abdullah Hassan pula berkata, pembaca komik ada dua kumpulan.
"Ada pembaca yang memilih komik yang dipenuhi perkataan manakala ada pula yang gemarkan komik yang banyak gambar bagi menerangkan jalan cerita di dalamnya.

"Jika ada yang anggap komik negatif, ia salah kerana sama ada positif atau negatif sesebuah bahan bacaan itu, ia bergantung kepada bentuk perkataan atau gambar yang dipaparkan, " kata beliau. Komik, tambahnya, memudahkan pembaca memahami isi kandungannya kerana dijelaskan secara ringkas melalui tulisan dan gambar jadi tidak hairan sejak puluhan tahun lalu ramai cerdik pandai yang belajar serta menerangkan hasil teori atau ilmu mereka melalui komik.
Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, komik mampu menarik minat individu untuk membaca terutama di kalangan generasi muda. "Pelbagai jenis komik yang mempunyai kandungan bermutu boleh diperoleh di pasaran dan ia akan membantu pemikiran seseorang dan memberi banyak pengetahuan kepada mereka.
(SUMBER-akhbar tempatan.)

Friday, August 28, 2009

kontroversi MAJALAH GEDUNG KARTUN.


'GEDUNG KARTUN '
Majalah pimpinan kartunis politik terkemuka tanah air Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque yang menyentuh pelbagai isu semasa.
Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran dan dijual dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar dalam lidah pengarangnya menyebut, kelahiran majalah itu bertujuan "menawarkan kandungan dengan mesej berat yang disampaikan dalam bentuk santai."Karya-karya dalam terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd, katanya lagi, bukan hanya lucu tetapi juga "turut menyadur mesej yang mengkritik, mengulas, mengolah, memberi informasi dan kesedaran tentang isu semasa."

"Dan yang paling penting, kartunis sendiri harus tampil menzahirkan sikap dan pendirian jelas dalam soal-soal pokok yang berkisar di minda dan bibir masyarakat serta jadi bahan perdebatan dari Parlimen ke warung-warung kopi," pengantar edisi sulungnya dipetik.

Namun begitu, Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyerbu secara mengejut ke pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang dikatakan menyindir perdana menteri. Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Ketua pengarangnya Zunar berkata rampasan itu bermotif politik kerana pihaknya telah mendapat kelulusan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.. Beliau berkata mencetak majalah tersebut tanpa mendapat surat kelulusan untuk mengelak karenah birokrasi. "Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari. "Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi," katanya.“Masalahnya tidak ada surat. Sepatutnya mereka keluarkanlah surat, selesailah masalah,” katanya lagi.

Pemangku pengarah penguatkuasa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN cawangan Selangor menjelaskan penerbit masih tidak berhak menerbitkan majalah sekalipun telah mendapat nombor rujukan permit penerbitan (PP). "Ini bukan sebab formaliti. Kalau tidak ada surat, janganlah dia terbitkan dulu. "Bila dah dapat nombor dan ada kelulusan rasmi, barulah boleh cetak," kata Zainal Abidin Osman, yang turut mengesahkan operasi berkenaan yang turut melibatkan pegawai-pegawainya. "(Surat rasmi) ini macam kita ambil ujian memandulah. Kalau kita dah lulus semua dan diberitahu sudah lulus, kita masih tidak boleh memandu selagi belum dapat lesen," katanya
SUMBER: MALAYSIAKINI.

Saturday, August 15, 2009

PAMERAN KARYA ASAL DATUK LAT-Kartun Lat papar 1Malaysia






DR MAHATHIR diiringi (dari kiri) Anthony Firdauz, Zainul Arifin dan Mohamed Jawhar mendengar penerangan Lat mengenai pameran sempena Hari Kemerdekaan Ke-52 di Bangsar.


Peminat koleksi kartun Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat kini berpeluang untuk melihat sendiri karya asal kartunis terkenal itu yang bakal dipamerkan di Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC) sempena sambutan kemerdekaan.

Sebanyak 60 koleksi karya asal kartunis sebelum disiarkan menerusi akhbar New Straits Times (NST) itu dipamer di ruang legar BSC hasil kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Bandar Raya Developments Berhad (BRDB).

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohammed Isa, berkata pameran berakhir sehingga 31 Ogos itu akan memaparkan kepelbagaian hasil kerja Lat yang seiring dengan semangat satu Malaysia.

Memulakan lakaran pertamanya pada 1974, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat bukan lagi nama asing kepada peminat kartun tempatan, bahkan terus memberi sumbangan kepada pendidikan bagi generasi muda melalui karyanya. Sempena kedatangan Hari Kemerdekaan Ke-52, The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP) dan Bandar Raya Development Berhad (BRDB) menganjurkan pameran Lat’s Malaysia Exhibition di Bangsar Shopping Centre sehingga 31 Ogos ini. Pameran dirasmikan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP; Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohamed Isa; Pengerusi BRDB; Datuk Mohamad Moiz dan Pengarah Eksekutif BRDB, Datin Seri Bettina Khan.


Menampilkan lebih 60 karya asal Lat, pameran yang memberikan tumpuan khusus kepada memantapkan Gagasan 1Malaysia itu memberikan peluang kepada generasi muda mendekati dan memahami lebih mudah mengenai sosiobudaya dan suasana politik tempatan. Dr Mahathir dalam ucapan perasmiannya, menyifatkan penyampaian mesej lebih mudah diterima melalui lakaran dihasilkan kartunis dan memberikan kesan lebih mudah. “Generasi muda ini lebih senang dididik melalui medium yang dekat dengan mereka. Melalui hasil lakaran kartunis ini, banyak mesej boleh disampaikan secara ringan tapi mempunyai impak tersendiri.

Pameran seperti ini jelas menunjukkan betapa banyaknya elemen 1Malaysia yang sebenarnya sudah wujud sekian lama di sekeliling kita. Kesepakatan inilah yang dihasilkan melalui pelbagai cara seperti melalui bidang sukan dan inilah sebenarnya wajah kita (Malaysia) yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Bagi Lat sendiri, pengalaman dikutip sepanjang lebih 40 tahun menghasilkan karya memberikan kesedaran kepadanya untuk melihat lebih ramai generasi muda memahami realiti di sekeliling mereka. “Banyak benda berlaku dalam Malaysia sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini. Ia semua saya luahkan melalui lakaran sebagai catatan peribadi saya terhadap negara tercinta. Mendidik generasi muda memahami betapa uniknya kita hidup di Malaysia ini bukan tugas mudah. “Atas sebab itu, pameran ini mahu menjadi medan terbaik menggalakkan semangat perpaduan, meningkatkan rasa patriotik serta mendedahkan kepada generasi muda mengenai kekayaan budaya Malaysia,” katanya.

Mohamad Moiz pula menyatakan komitmen syarikat itu untuk meneruskan kerjasama dengan NSTP untuk masa akan datang dalam menganjurkan pameran seperti itu. “BRDB memulakan kerjasama pertama dengan NSTP pada 2005 menganjurkan pameran bersempena Hari Kemerdekaan. Kami sentiasa komited dan selesa dengan kerjasama ini serta sentiasa berharap dapat meneruskannya,” katanya. Selain melihat sendiri karya Lat, pengunjung juga berpeluang membeli buku ‘Lat The Early Series’ terbitan Pusat Sumber NSTP serta baju-T dan beg edisi terhad. Pameran kali ini mensasarkan lebih 10,000 pengunjung dan tidak mustahil dicapai berdasarkan sambutan diterima pada pameran yang menggunakan pendekatan sama tahun lalu.


Sumber : Bharian dan metro.