CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, March 28, 2008

CIKLI, MANJALONG DAN KURMA DAGING ANITA.





Bagi peminat kartun Majalah Gila-Gila pasti masih ingat dengan satu watak kanak-kanak yang cute bersama pakciknya.

MANJALONG boleh dianggap satu sentuhan yang terbaik pernah dihasilkan oleh kartunis Cik Li. dengan lukisan kartun yang kemas dan menyakinkan Cik Li berjaya menghidupkan watak MANJALONG agar terus kekal dan segar diingatan pembaca.

Cik Li juga berjaya menghasilkan satu koleksi MANJALONG dalam KURMA DAGING ANITA. perjalanan ceritanya masih berkisar tentang hubungan kekeluarga, Cinta , setia kawan dan masyarakat sekeliling. Sentuhan karya Cik Li dalam koleksi KURMA DAGING ANITA berjaya membuat pembaca tergelak dengan gelagat Manjalong dan pakciknya, disamping tersentuh emosi dengan sedikit konflik yang muncul dalam hidup mereka.

sedikit info juga untuk pengetahuan korang bahawa kartunis Cik Li merupakan salah seorang kartunis yang menganggotai kumpulan GG Group dalam album pertama mereka bertajuk 'Hairan' dan pernah tampil berlakon dalam telemovie bertajuk 'POYO' bersama kartunis lain.

Walaupun kini agak sukar melihat karya terbaru beliau namun begitu sentuhan Cik Li melalui karya MANJALONG sukar ditandingi oleh kartunis lain kerana karya ini seakan-akan mempunyai jiwa yang agak luar biasa sehinggakan MANJALONG kekal dihati peminat-peminatnya.

Jika anda rindukan Manjalong anda boleh mendapatkan koleksi BIOKARTUN GG Group kerana terdapat koleksi MANJALONG di dalamnya. Tahniah buat kartunis Cik Li.

Wednesday, March 26, 2008

BERKARTUN DAN MENYANYI.

KARTUN OLEH : KARTUNIS KULAT

GG GROUP- Gabungan kartunis kulat, boy pj, Ramzahurin, Aloy dan Cik Li


LALAQ - Gabungan kartunis Soya, A an dan Hairi.



Dua Album yang dinyanyikan Oleh Kartunis Taugeh.

Mereka berjaya di kertas dan kini mereka mencuba di pentas...
kemunculan kumpulan kartunis yang menceburi bidang nyanyian suatu masa dulu seakan mewarnai bidang seni nyanyian. kemunculan mereka mungkin agak berbeza dengan penyanyi lain kerana mereka mempunyai keunikan menyanyi sambil melukis. dipentas mereka menyanyi kemudian mereka mendekati peminat dengan lakaran-lakaran kartun dan karikatur.
Namun begitu kemunculan mereka hanya seketika. tetapi memberi secalit kenangan manis buat peminat mereka. GG group adalah kumpulan yang tercetus daripada kartunis Majalah Gila-Gila. mereka berjaya menghasilkan beberapa album yang kini masih terjual di creative corner iaitu di pejabat urusan creative enterprise, jln bangsar.
LALAQ pula adalah kartunis yang muncul daripada Majalah Gelihati. Soya, A an dan Hairi (lembu Rock).
Album blues Untuk aku 'the album' dan Bersama Selamanya 'the album'- merupakan tajuk yang diambil daripada karya kartunis Aie dan Gayour yang popular di Majalah UJANG. Album ini dinyanyikan oleh seorang kartunis dari majalah itu iaitu Taugeh.

Wednesday, March 19, 2008

KOLEKSI I.B.C

PREVIEW SIKIT TENTANG I.B.C:-



Kenangan yang paling bermakna buat semua orang ialah di zaman persekolahan. Di situlah pelbagai peristiwa mengusik jiwa dapat dirasa. kadang kala membuatkan kita tertawa sendirian apabila terkenangkan telatah kengkawan dan guru-guru.
Kalau anda rindukan kenangan itu, anda boleh dapatkan koleksi I.B.C ini yang bakal terbit di pasaran di jangka pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, awal bulan April nanti.
I.B.C ialah singkatan bagi perkataan INTELIGENT BLUES CLUB. Ianya merupakan sebuah karya kartunis Ujang di Majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd. Cerita ini berkisar tentang telatah sekumpulan budak sekolah yang melalui pelbagai peristiwa yang melucukan.
Mungkin sesetengah peristiwa yang ditonjolkan oleh pelukis, pernah kita lalui juga ketika zaman persekolahan dulu. Jangan biarkan kenangan itu berlalu begitu sahaja. Abadikan kenangan itu dengan memiliki Koleksi I.B.C ini. Anda pasti tersenyum sendirian.


Friday, March 7, 2008

JIBAM BIKIN FENOMENA BARU.

JIBAM- cover Terkini.





Setelah sekian lama menyepikan diri dari arena kartun tanah air akibat isu intelek property (Hakcipta) karyanya dengan pihak tertentu. Kini Ujang muncul kembali. Baru-baru ini, beliau telah dijemput sebagai tetamu khas– Rancangan Temujanji (ASTRO AWANI). Dalam rancangan tu Ujang telah menceritakan perkembangan terkini dan projek terbarunya iaitu JIBAM. Selain itu berlangsung sesi soal jawab dengan penonton tentang kerjaya sebagai kartunis. Kebiasaannya, orang ramai menganggap bahawa kerjaya sebagai kartunis kurang memberi pendapatan lumayan dan tidak mampu menjamin masa depan. Tetapi pendapat itu disangkal oleh Ujang. Menurut beliau kerjaya kartunis boleh memberi pendapatan yang lumayan dan ianya pernah dibuktikan oleh beliau melalui kejayaannya sebelum ini. Malahan Pelukis kartun tersohor Dato Lat juga telah membuktikannya. Ianya terpulang kepada kartunis itu sendiri untuk berusaha menjadikan dirinya berjaya ataupun tidak. Ujang juga berpesan agar kartunis mengambil tahu tentang intelek property (hakcipta).

Bercakap mengenai JIBAM ni, maka aku nak info kan sikit tentang- JIBAM.

JIBAM merupakan tajuk sebuah novel yang ditulis oleh Ibrahim Anon (Ujang) dan diterbitkan oleh Creative Enterprise sekitar tahun 1992. Di dalam novel JIBAM, Ujang berjaya mengolah cerita ini dengan begitu menarik sekali sehinggakan ianya mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca. Sehingga kini, Novel JIBAM masih diulang cetak dan ditampilkan dengan cover terkini yang dilukis oleh pelukis muda yang berbakat besar iaitu Syaffeq Syahman Jaafar (anak Jaafar Taib) . Selain novel JIBAM, Ujang juga pernah menulis novel lain yang tak kurang hebatnya seperti ‘Cinta Terakhir’-terbitan CESB dan ‘Fiona’- terbitan MELATI Publisher (Ahadiat Akashah).




Terkini, Novel JIBAM ini akan diadaptasikan kepada sebuah filem iaitu ‘JIBAM The Movie’. Menurut beberapa sumber lagi, JIBAM juga akan di animasikan seperti karya ciptaan Ujang sebelum ini-USOP SONTORIAN.

Kita semua sudah sedia maklum bahawa tahap pembikinan animasi Negara kita sekarang sedang berkembang pesat dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Kerajaan telah melihat bahawa Industri animasi ini mampu menjana keuntungan dan mencungkil kreativiti bakat anak tempatan. Oleh itu, sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia di Cyberjaya telah ditubuhkan bagi meningkatkan pembangunan animasi digital serta kepakaran tempatan dalam bidang tersebut. Pelbagai lagi usaha telah dirancang oleh kerajaan bagi meneruskan usaha meningkatkan animasi Malaysia melalui Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec).

Nak story panjang pun tak guna. Oleh itu aku previewkan sikit gambar-gambar serta cover novel JIBAM ni.

Maka kalau korang hendak tahu lebih lanjut tentang JIBAM - layari website- http://jibam.cesb.net.my/

-DAPATKANLAH SEGERA NOVEL JIBAM NI DIPASARAN SEKARANG !!! -


Tuesday, March 4, 2008

OTAI MAJALAH KARTUN DAN HUMOR TEMPATAN.

PST - Maskot Legenda Gila-Gila

Penampilan Gila-Gila merentas pelbagai Generasi

koleksi Gila-Gila

Watak Dalam Gila-Gila

Minahleter dan Mat Romeo dalam Gila-Gila


Bila sebut Majalah Gila-Gila, semua golongan kenal!
Namanya cukup gah suatu masa dulu dan menjadi perintis kepada terbitnya majalah humor hari ini.

Majalah Gila-Gila boleh dikatakan sebagai otai majalah humor tempatan. Kemunculannya pada akhir dekad 1970-an sehingga kini telah melahirkan banyak kartunis-kartunis tanahair yang berketrampilan dan berjaya.

Majalah Gila-Gila telah merentas beberapa generasi dan kekal terbit sehingga kini. Jarang sekali keadaan seperti ini berlaku pada majalah humor yang ada di pasaran. Kebanyakkan yang pernah terbit dan meletup hanya seketika, kemudian perlahan-lahan lenyap di pasaran.

Apakah yang istimewa pada Majalah Gila-Gila hinggakan ia masih kekal di pasaran?

Menurut tulisan Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood, Majalah Gila-Gila merupakan majalah humor tempatan yang banyak menekankan kepada teras kemelayuan dan keMalaysiaan. Ianya dapat dilihat dalam kartun-kartunnya, bukan semata-mata pada gaya lukisan malahan pada penceritaan. Hal ini memungkinkan ia agak berbeza daripada majalah-majalah humor yang lain. Majalah Gila-Gila bukan menghidangkan jenaka yang membuta tuli sebaliknya ianya ada bersifat pendidikan, sindiran, pedoman, teguran, nostalgia, dan hiburan sebagaimana yang tercermin dalam karya-karya Nuds, Rejabhad, Ujang, Aza, Amir Astar, Long, Cabai, Aloy dan lain-lain.

Contohnya Allahyarham Rejabhad yang digelar Raja Kartun Malaysia memang terkenal dengan kekuatan jati diri dan identiti kemelayuan. Pelbagai cerita diolahnya menerusi pendekatan bersifat kesusasteraan melalui penampilan elemen syair, pantun dan gurindam. Begitu juga karya kartunis Cabai yang mengambarkan suasana kehidupan masyarakat desa dengan halus dalam siri “Tiga Dara Pinggitan”. Manakala kartunis Nuds terkenal dengan siri nostalgia “Once Upon A time”. Ujang pula bersama siri “Atuk”. Semua karya-karya ini dekat dengan masyarakat tempatan dan ianya dapat diterima dengan mudah oleh semua golongan.

Maka tidak hairanlah, walaupun berlaku perkembangan pesat dunia penerbitan majalah humor dan kartun dewasa ini yang menyuntik pelbagai pengaruh pada karyanya serta lambakan komik-komik luar yang bertentangan dengan norma dan budaya tempatan, Majalah Gila-Gila masih kekal bertahan dengan gayanya yang tersendiri dan masih mempunyai pengaruh yang kuat. Majalah Gila-Gila boleh diibaratkan sebagai wira yang menyelamatkan maruah dan martabat kartun berjiwa tempatan.