CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 22, 2007

KARTUN LAGI...










Sesekali layan lukis kartun ni best jugak...kadang2 tengah lepak sesaja...datang idea, mula la capai pen terus lukis...
kartun ni aku lukis direct pakai pen. itu sebablah nampak celaru dan tak kemas...
kalau ikut panduan betul la..nak draw kartun ni kena pakai pensel dulu..supaya bila masuk ink nanti kemas...ketelitian dan kesabaran perlu ada dalam melukis kartun. Selamat membaca..!!!



Friday, September 21, 2007

BUDAK LAPOK Di Pawagam !!!




Sekarang sana sini orang memperkatakan tentang BUDAK LAPOK...dari kedai kopi sampai lah ke bebudak sekolah...semua memperkatakan tentangnya....Sama-samalah kita saksikannya sebagai tanda menyokong animasi tempatan.
BUDAK LAPOK-Animasi yang bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Filem animasi Budak Lapok terbitan Matahari Animation & Production Sdn. Bhd. Filem animasi arahan Anwardi Jamil yang bakal ditayangkan pada musim Hari Raya Aidilfitri ini itu merupakan filem yang diinspirasikan daripada alam kehidupan P. Ramlee. Dalam filem berdurasi 90 minit itu, penonton dibawa kepada kisah pertemuan antara P. Ramlee dengan Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsuddin. Budak Lapok merupakan filem ketiga animasi tempatan selepas Silat Legenda dan Putih.
Menurut Anwardi, filem yang didedikasikan kepada seniman legenda itu dibuat berdasarkan penceritaan semula oleh Aziz Sattar dan S.Shamsuddin. Kata Anwardi, projek Budak Lapok telah dimulakan sejak tujuh tahun lalu dan kira-kira dua tahun lalu barulah siap sepenuhnya. "Filem animasi memerlukan ketelitian. Dari masa ke semasa kami banyak belajar dan memperbaiki kelemahan yang ada. Lakaran karakter yang dicipta mirip kepada kartun ciptaan Datuk Lat. Semua kerja untuk filem ini menggunakan kepakaran tempatan," katanya yang memilih MIG Production Sdn. Bhd., sebagai pengedar.
Filem yang menampilkan karakter Ramlee, Ajiz dan Sudin dengan kos pembikinan RM2.589 juta itu bukan sahaja sesuai ditonton oleh kanak-kanak tapi seisi keluarga kerana ia ada mesej dan menghiburkan.
Sinopsis Budak Lapok
Kisah bermula apabila tiga sahabat dari Kampung Sebatang Pinang iaitu Ramlee, Ajis dan Sudin menyertai pertandingan bola sepak. Mewakili kampung mereka, Ramlee, Ajis dan Sudin terpaksa berdepan dengan pemain-pemain dari Kampung Semerah Padi yang diwakili oleh Sarip Dol, Megat Komeng dan Brahim.
Dalam masa yang sama mereka cuba memikat hati tiga anak gadis; Nani, Salmah dan Eton dengan menyertai pertandingan drama antara sekolah-sekolah walaupun Ajis dan Sudin gerun berada di atas pentas berhadapan dengan orang ramai. Keadaan bertambah rumit apabila kedua-dua pertandingan tersebut jatuh pada hari yang sama.
*(Sumber : Akhbar Berita dan Utusan)

- Moh kita ramai-ramai ke pawagam sepanjang Aidilfitri nanti.

VARIASI KARYA...


Majalah MATO-MATO dalam kenangan.
(Aku sempat menyumbang sedikit karya dalam kartun dan artikel)


Brader Umbut lah kartunis yang sudi menerima karya aku dan memberi ruang untuk aku berkarya dalam majalah dan surat khabar skit2...terima kasih banyak-banyak kerana menghargai karya saya. SEMUGA SUKSES SOKMO !!!

















Sebahagian karya aku sekitar tahun 2005 dalam Akhbar mingguan BULETIN UTAMA. (tutup dah akhbar tu)

Saturday, September 15, 2007

CERITA RAKYAT MALAYSIA Creative competition


‘Cerita Rakyat Malaysia Creative Competition 2007’merupakan satu lagi usaha untuk mengangkat animasi Malaysia yang telah dirintis oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam menghidupkan kembali cerita-cerita rakyat Malaysia. Pertandingan ini dibuka pada seluruh rakyat Malaysia yang berminat dengan menghasilkan lukisan karikatur berdasarkan cerita rakyat termasuklah cerita mitos, cerita lipur lara, cerita legenda, serta jenaka dan cerita binatang yang pernah diperdengarkan dari satu generasi ke satu generasi.
Menurut Kamil Othman (Timbalan Presiden Creative Multimedia MDeC) pertandingan ini mulai dibuka pada bulan Mei lalu dan akan berakhir pada bulan November 2007. Pertandingan ini dibuka kepada dua kategori iaitu untuk bawah dan atas 18 tahun. Mereka yang berminat boleh menghantar karikatur watak cerita rakyat yang dipilih sama ada yang dilukis melalui lukisan tangan, lukisan digital, ataupun gambar menggunakan perisian 3D. Perserta juga perlu menghantar 3 reka cipta karikatur animasi daripada sebuah Cerita Rakyat dengan pembangunan jalan cerita yang ringkas. Sekiranya terpilih, karikatur itu akan dibawa ke fasa kedua iaitu membangunkan dalam bentuk cerita animasi menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh pihak MDeC.
Hakim pertandingan ini ialah pakar cerita rakyat yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Aripin Said dan kartunis terkemuka dengan majalah Gila-Gila, Jaafar Taib.
KATEGORI 18 TAHUN KE ATAS:
Tempat pertama : RM 15,000
Tempat kedua : RM 10,000
Tempat ketiga : RM 5,000
Ima hadiah Saguhati : RM 3,000
KATEGORI 18 TAHUN KE BAWAH:
Tempat pertama : RM 5,000
Tempat kedua : RM 3,000
Tempat ketiga : RM 1,000
Ima hadiah Saguhati : RM 500

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan boleh didapati dengan melayari laman web : http://cmc.msc.com.my/ceramy.html
Tel: 03-83123014 atau 03-83123016

Tuesday, September 11, 2007

RAJA KARTUN MALAYSIA -ALLAHYARHAM REJABHAD.





http://main.cesb.net.my/

Rata-rata jika ditanya pada kartunis di Malaysia SIAPA RAJA KARTUN MALAYSIA? Semua pasti akan mengenalinya. Baik kartunis yang masih baru ataupun mereka yang sudah lama mengharungi kerjaya ini. Rejabhad layak di gelar Bapa Kartun Malaysia yang terulung. Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had. Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera. Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.
Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.. Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.. Dia mengakhiri hayatnya pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.
Di antara koleksi kartun Rejabhad yang popular dan diminati oleh pelbagai peringkat umur sehingga hari ini ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).
Perjuangan dan pergorbanan Raja Kartun Malaysia ini harus diteruskan oleh kartunis-kartunis masa kini sampai bila-bila dengan meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa -Al-Fatihah buat Allahyarham Rejabhad.-
(sumber-alifstyles)

Monday, September 10, 2007

KEUNIKAN KARTUN- KARTUNIS SIREH.


*gambar terkini kartunis Sireh.


*gambar sireh masa muda dulu.


sentuhan jiwang dalam majalah APO?










Anuar Hassan (Sireh), merupakan anak ke lima daripada enam orang adik beradik ini memulakan kerjaya sebagai kartunis setelah tamat persekolahannya. Beliau mula mengembangkan bakatnya apabila telah diberi peluang berkarya dalam Majalah humor terkenal Gila-Gila, secara sambilan sebelum diambil bekerja sepenuh masa, apabila beliau menunjukkan inisiatif dalam membawa rekaan kartun yang menarik. Kartunis Sireh merupakan kartunis yang berpelajaran tinggi. Beliau pernah mendapat pendidikan di Matrikulasi USM, kemudian melanjutkan pelajaran di Uitm Shah Alam dalam jurusan Seni Halus. Kartunis Sireh juga pernah melanjutkan pelajaran di New Zealand dalam Jurusan Computer Graphic Design. Ketika itu beliau telah mula menghantar karya ke Majalah UJANG. Di New Zealand, beliau belajar sendiri melukis karikatur dan kerap berkunjung di pasar seni di Negara itu.
Pada tahun 1997, Kartunis Sireh telah ditawarkan untuk berganding dengan kartunis Petai dalam menjayakan ‘Majalah APO?’ terbitan MOY Publication Sdn Bhd yang juga merupakan penerbit Majalah UJANG. Bermula dari jawatan kartunis biasa sedikit demi sedikit beliau melonjak menjawat jawatan Chief Editor kemudian Penolong Pengarah dan akhirnya menjadi Pengarah Penerbitan Majalah pada tahun 2002.
Kini beliau menjawat jawatan sebagai pensyarah filem dan animasi di Universiti Multimedia, Cyberjaya. Namun begitu kecenderungan beliau pada lukisan kartun masih menyerlah. Dimana pada setiap bulan, beliau teap akan menghantar bahan-bahan kepada majalah UJANG dan APO?. Beliau juga kreatif dalam mengusahakan idea unik untuk siri lukisan kartun sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, yang akan dipertontonkan di Galeri Shah Alam, Selangor. Karya-karya popular kartunis Sireh ialah Student Life, Cinta Gadis Bunian dan loving Couple. Kartunis Sireh bercita-cita untuk menjadi setaraf dengan popularity yang dikecapi oleh Kartunis terkenal Lat dan beliau berharap suatu hari nanti walaupun beliau telah tiada karya-karya beliau akan tetap diingati sampai bila-bila.

Sunday, September 9, 2007

DUNIA BISU YANG KELAKAR.

Di antara koleksi-koleksi hebat Aza...




Kartunis Popular- Aza.










Karya :Aza yang tetap best.

Aza...satu nama yang cukup besar dalam arena kartun khususnya bagi kartun bisu. kartunis Aza ni anak peneroka kat Felda Padang Piol. Dekat dengan felda aku (Felda Sg. Retang) tapi aku tak penah lagi jumpa beliau. kartunis Aza sememangnya berbakat besar dalam lukisan kartun bisu. ini kerana bukan mudah hendak menghasilkan kartunis bisu ni...silap-silap orang tak paham.


Nama sebenarnya Abdul Razak b. Sofhi @ Subhi. Beliau dilahirkan di Sanglang, Kedah pada tahun 1966., dan kemudiannya dibesarkan di Jerantut, Pahang Darul Makmur. Beliau mula berkarya sejak zaman persekolahan lagi. Kartun pertama beliau terbit buat pertama kalinya di Majalah Gila-Gila pada tahun 1984. Aza satu nama yang cukup popular dengan kartun-kartun bisu. Beliau boleh di umpamakan seperti jelmaan Sergio Aragones iaitu salah seorang pelukis kartun mexico yang terkaya di USA.

Hingga kini Aza masih setia berkarya untuk Majalah Gila-Gila walaupun ramai rakan seangkatannya dulu sudah membawa haluan masing-masing. Aza tetap Aza yang dulu penuh dengan karya tanpa suara yang menghiburkan hati . Antara karya Aza yang cukup popular dan diminati ramai hingga kini ialah Belek Belek, Aza Looks At…, Aza’s Jokes, Fiesta, GG Looks At… dan satu karya hasil Kolaborasi beliau dengan kartunis Ujang iaitu Welcome to Malaysia. Aza boleh dikatakan juga sebagai Otai dalam menghasilkan kartun tanpa suara. Karya-karya beliau menjadi rujukan kepada pelapis-pelapis baru yang ingin menhasilkan kartun bisu.

Aza berjaya menyebabkan pembaca tertawa dengan jenaka bisunya yang cukup bersahaja. Kini Aza cuba menghasilkan karya berdialognya yang terbarunya di dalam Majalah Gila-Gila iaitu Sesat Di Kuala Lumpur dan mencipta satu lagi sejarah baru dengan karya KOMANNA hasil sentuhan beliau dan rakan lamanya Ujang.


Ketika saya pulang ke Felda, di Jerantut. Saya berasa amat bangga dan kagum dengan Aza kerana kartun beliau menghiasi papan tanda Kempen anti Dadah di kawasan Felda.


Kehebatan kartunis Aza berjenaka melalui karya kartun bisu masih belum dapat ditandingi. So, kepada yang malas membaca...boleh dapatkan koleksi Aza yang penuh dengan keceriaan. kini beliau sedang merancang satu projek bersama kartunis Don dan rakan-rakan. maklumat lanjut ada di - http://blog.oraet.com/2007/08/29/dons-gang-cartoon-caricature/




Tuesday, September 4, 2007

SELAMAT BERPUASA.


PELUKIS : Johan.
Sempena kehadiran bulan Ramadhan ini aku sempat melakar satu gambar yang penuh dengan kenangan mengusik kalbu. Rindu betul aku dengan suasana macam ni.
Apapun kehadiran bulan yang penuh kesucian ini memang amat di rindui...Dan janganlah kita mencemarinya dengan perkara-perkara yang kurang elok. Semoga kita semua berjaya menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh rasa bersyukur.
Selamat berpuasa!!!

AIE yang Blues.



*LAKARAN KARTUN AIE YANG MENARIK.


SENTUHAN AIE YANG POWER PADA MAJALAH g3.


SENTUHAN AIE PADA COVER MAJALAH UJANG.




KOLEKSI AIE BERSAMA MAJALAH STARZ.


* Koleksi kolaborasi dengan kartunis Ujang. tangkap nangis beb.





*Fenomena blues melanda.


Shaari bin Sulong (Aie) adalah satu nama yang cukup gah dalam arena kartun dan komik tanahhair. Beliau lahir pada 24 Februari 1973, di Kampung Baru Kuala Lumpur. Bakat semulajadi yang lahir dalam dirinya diperolehi dari ayahnya yang juga merupakan seorang guru lukisan. Namun begitu, kartunis Aie tidak pernah mendapat sebarang pendidikan secara formal di dalam bidang ini. Beliau hanya belajar secara tidak langsung melalui persekitaran dan tunjuk ajar dari sesiapa saja yang boleh. Kartunis Aie mula berjinak dengan bidang lukisan ini sejak berada dibangku sekolah lagi,iaitu apabila beliau diberi tanggungjawab oleh gurunya untuk menguruskan majalah sekolah. . Beliau mula terlibat secara serius dalam arena kartun tanahair bermula pada tahun 1991-sebagai kartunis di Majalah Jenakarama terbitan Evergreen Publisher Sdn. Bhd. Dari situ beliau bertekad untuk pergi ke peringkat yang lebih baik. Kartunis Aie telah menjadikan kartunis Don dan kartunis kerengge sebagai idolanya kerana beliau berpendapat karya mereka mendahului masa dari segi kualiti, idea dan penyampaian. Aie kemudian dilantik sebagai ketua studio Majalah Jenakarama dan sebuah Majalah berkonsep pendidikan iaitu Disney-Mickey.

Pada tahun 1993- Aie ditawarkan menjadi Animator bagi Animasi ‘Usop Sontorian’-terbitan Kharisma picture. Semasa beliau menjadi animator…beliau telah diajak oleh kartunis Ujang untuk membuat majalah. Kartunis Aie merupakan diantara tiga orang pelopor utama Majalah UJANG disamping kartunis Gayour dan kartunis Ujang sendiri Maka bermula pada Oktober 1993, kartunis Aie telah menjadi kartunis tetap di Majalah UJANG. Dalam tempoh tersebut nama kartunis Aie telah melonjak dengan koleksi ABE, iaitu hasil kolaborasi beliau dengan kartunis Ujang. Tidak ketinggalan juga karya-karya beliau yang lain seperti AKU HIDUP DALAM BLUES,TOYON, PAK ANDAK, DIN BLUES turut berjaya menambat hati para peminat kartun. Disamping itu, Kartunis Aie juga turut terlibat dalam voice over bagi animasi ‘Usop Sontorian’ untuk watak Singh dan Arba.

Namun pada November 1996, berlaku perpecahan antara kartunis Ujang dengan Kharisma Publication sekaligus terhentinya penerbitan Majalah UJANG. Kartunis Aie kemudian bergerak secara solo selama 6 bulan sebagai-freelancer illustrator,part time designer dan bermacam-macam kerja lagi.

Pada Jun 1997, beliau dipanggil semula untuk menerajui Majalah UJANG dan dilantik sebagai Pengarah Seni dibawah penerbitan baru, MOY Publications Sdn. Bhd. Kartunis Aie sekali lagi mencipta sejarah yang tersendiri apabila komik ciptaan beliau- ‘BLUES UNTUK AKU’ yang disiarkan secara bersiri dalam Majalah UJANG mendapat sambutan yang paling hangat daripada pembaca. Koleksi komik ‘BLUES UNTUK AKU” jilid 1 dan 2 telah terjual melebihi 150,000 naskhah dan masih dijual sehingga ke hari ini.

Pada November 2000, kartunis Aie telah meletak jawatan di MOY Publications Sdn. Bhd dan beliau telah menubuhkan Unlimited Productions bersama rakan kongsinya iaitu En. Nazan Mohd. Noor. Pada Januari 2001 maka lahirlah komik solo ‘AKU DAN SESUATU’ yang berjaya memecahkan monopoli konsep majalah humor berkumpulan yang sebelum ini menjadi trend penerbit tempatan. Komik ini turut mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat kartun dan komik tanahair. Komik solo tersebut hanya dapat dikeluarkan sebanyak 29 keluaran dan berakhir pada tahun 2003. Beliau kemudian menyumbang untuk majalah komik STARZ dan berjaya menghasilkan satu koleksi iaitu ‘LOVEVILLE”.

Kini komik AKU DAN SESUATU tersebut telah diterbitkan semula dalam bentuk buku novel grafik dibawah terbitan Al-Ameen serve holdings sdn bhd. Disamping itu, Kartunis Aie juga turut menyumbangkan karya beliau untuk Majalah g3 terbitan Karangkraf Sdn Bhd.

Hasil kerja Aie bukan sahaja dapat dilihat dalam komik, malah pada cover CD,poster dan inlay artis famous. Antara cover album artis yang mendapat sentuhan kartunis Aie ialah Kumpulan Wings, Kristal, dan Def Gab C.

Impian kartunis Aie yang masih belum tercapai sebagai kartunis ialah beliau ingin menghasilkan animasinya sendiri dan ingin karyanya diterima lebih baik dari sebelumnya. Kartunis Aie berpendapat “ Jika sesiapa yang ingin menceburi bidang komik janganlah menghasilkan karya di mulut saja, sebaliknya tunjukkan melalui kayakinan pada karya anda sendiri. Biarpun orang mengatakan karya anda buruk dan kotor, janji anda berbangga dengan apa yang anda buat. Dalam dunia komik tiada siapa dapat mengajar anda untuk menghasilkan karya yang terbaik, guru yang paling baik adalah karya anda sendiri. Buatlah kerja bersungguh-sungguh, sekiranya mendapat peluang, jangan sia-siakannya”.

Saturday, September 1, 2007

PABILA SYAWAL MENJELMA...


Tak lama lagi bulan Ramadhan akan menjelma...Alhamdulillah syukur kerana masih diberi kesempatan oleh Nya menikmati bulan penuh kesucian ini.
bila sebut pasal raya maka kita akan teringat pada kad ucapan. walaupun teknologi makin canggih. kad ucapan hari raya masih lagi mendapat sambutan. maka time ni la bermacam kad raya akan muncul, tak terkecuali kad raya yang berunsur humor atau kartun.
yearghhhh...mari bikin kad raya!!!

REKOD LUKISAN KARTUN TERPANJANG

REKOD PERTAMA -57 METER PADA TAHUN 1998.








REKOD KEDUA - 330 METER PADA TAHUN 2005.
*(keratan Akhbar Buletin).

Pada tahun 1998, seramai 30 orang kartunis Majalah LANUN telah mencatat sejarah dengan menghasilkan lukisan kartun terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 57 meter. Peristiwa ini berlaku di Pasar Budaya Kuala Lumpur dan di hadiri oleh Menteri Kebudayaan dan Kesenian iaitu Dato’ Sabaruddin Chik.

Pada tahun 2005 pula, satu lagi rekod telah dibuat yang melibatkan semua kartunis tanahair. Peristiwa ini berlaku di Hang Tuah Mall, Melaka Bandaraya Bersejarah. Lukisan kartun sepanjang 330 meter ini telah berjaya memecahkan rekod yang dibuat sebelum ini. Lukisan kartun terpanjang ini adalah hasil gabungan dan kerjasama kartunis-kartunis yang datang dari pelbagai syarikat penerbitan yang berlainan. Perkara ini sekaligus memupuk semangat berkerjasama dan setiakawan dikalangan semua kartunis.

Dengan adanya program sebegini secara tidak langsung juga dapat memeriahkan dunia kartun tanahair.